Raih Emas Sukan Dunia, Tan Cheong Min Dedikasi Kemenangan Sempena Hari Kebangsaan

Share

Terbaru, ratu wushu negara, Tan Cheong Min (26) mencipta sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas pertama untuk Malaysia dalam acara wushu di Sukan Dunia yang berlangsung di Chengdu, China pada Sabtu lalu. Apa yang lebih menarik, kemenangan itu didedikasikan istimewa sebagai hadiah sempena sambutan Hari Kebangsaan yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Menurut Cheong Min, pencapaian ini adalah pengiktirafan besar kepada sukan wushu negara, memandangkan buat pertama kalinya acara tersebut dipertandingkan secara rasmi di temasya berprestij itu.

“Pingat emas ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk Malaysia. Ia juga hadiah istimewa untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa sebelum ini wushu tidak termasuk dalam acara rasmi Sukan Dunia. Oleh itu, Asian Games dan Kejohanan Dunia dianggap sebagai pentas tertinggi untuk atlet wushu.

“Saya sangat bangga dan gembira dengan pencapaian ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, kejayaan ini turut diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan atlet lain untuk terus berusaha memartabatkan sukan wushu di pentas antarabangsa.

Pingat emas yang dimenangi Cheong Min turut menyumbang kepada kutipan keseluruhan tiga pingat kontinjen negara di kejohanan tersebut, iaitu satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Sementara itu, jaguh wushu kelahiran Melaka ini kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan bagi menghadapi Kejohanan Wushu Dunia di Brazil pada September dan optimis untuk sekali lagi mengharumkan nama negara dengan meraih emas di kejohanan itu.

Beliau juga turut menyasarkan kejayaan di Sukan SEA yang akan berlangsung di Thailand pada Disember nanti serta melihat kejohanan-kejohanan ini sebagai peluang untuk menambah koleksi pingat emas sebelum 2025 melabuhkan tirainya.

Sekadar rekod, Cheong Min pernah meraih gelaran juara dunia pada 2017 di Kazan, Rusia dalam acara Duilian, sebelum menggandakan kejayaan dengan gelaran kedua pada 2019 di Shanghai, China dalam acara Nandao.

Kemenangan kali ini bukan sahaja menjadi bukti kemampuan Cheong Min di arena wushu dunia, tetapi juga simbol kejayaan sukan tersebut di Malaysia, yang kini semakin mendapat perhatian di peringkat global.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE