
Sabah hari ini berduka dengan pemergian salah seorang pemimpin paling lantang memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyatnya. Datuk Seri Bung Moktar Radin disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Sinonim dengan laungan keramat “Radu Tatap Radu” atau “Lawan Tetap Lawan”, Allahyarham dikenali sebagai figura politik yang berani dan tidak pernah gentar menyuarakan isu rakyat, daripada infrastruktur, jalan raya, bekalan air bersih sehinggalah kepada peluang ekonomi luar bandar.
Dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan, Bung Moktar merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kerjaya awal Allahyarham bermula dalam perkhidmatan awam di Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan (1987–1991), sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Luar Bandar MARA Sandakan (1991–1992). Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Sepanjang penglibatan dalam pentadbiran, beliau turut pernah memegang jawatan Pengerusi FELCRA serta Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada September 2020, Bung Moktar memenangi kerusi DUN Lamag sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah.
Pada PRN Sabah Ke-17 baru-baru ini, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Di peringkat nasional, perjalanan politik Bung Moktar bermula apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan pada PRU-10, November 1999 dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan serta Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).
Allahyarham meninggalkan dua isteri, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.
Pemergiannya meninggalkan ruang besar dalam landskap politik Sabah, namun legasi keberanian dan kelantangannya akan terus dikenang oleh rakyat negeri itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama