Siapa sangka, anak muda kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini berjaya mencipta pencapaian membanggakan dalam bidang pengajian al-Quran sehingga ke bumi Mesir!
Berkat kesungguhan dan kecintaan terhadap ilmu al-Quran, Muhd Hazim Zahari berjaya menamatkan pengajian Qiraat Asyarah Sughra secara hafazan menerusi kaedah Jamak bil Ayah, sekali gus menguasai keseluruhan riwayat yang dipelajari dalam cabang ilmu qiraat tersebut.
Lebih membanggakan, pencapaian itu berjaya disempurnakan pada 31 Ogos 2026, selepas beliau mengikuti pengajian secara intensif selama sembilan bulan di bawah bimbingan as-Syeikh Muhammad Zaid di Tanta, Mesir.
Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai memandangkan ilmu qiraat merupakan antara cabang pengajian al-Quran yang menuntut ketelitian tinggi, kekuatan hafazan serta penguasaan terhadap kaedah bacaan yang diwariskan melalui sanad para ulama.
Bukan Sekadar Kuasai Qiraat Asyarah Sughra, Turut Hafaz Dua Matan Agung
Apa yang menjadikan pencapaian Muhd Hazim lebih istimewa adalah kejayaannya menghafaz dua matan utama dalam disiplin ilmu qiraat, iaitu Matan as-Syatibiah dan Matan ad-Durrah.
Kedua-dua matan ini merupakan antara rujukan penting yang menjadi asas dalam pengajian Qiraat Asyarah Sughra, khususnya bagi memahami kaedah dan perbezaan bacaan al-Quran mengikut riwayat yang muktabar.
Untuk rekod, Qiraat Asyarah merujuk kepada sepuluh qiraat yang diiktiraf dalam tradisi pengajian al-Quran, dengan setiap satunya mempunyai kaedah bacaan yang dipelihara melalui rantaian periwayatan.
Dalam disiplin pengajian ini, Matan as-Syatibiah menjadi rujukan bagi tujuh qiraat, manakala Matan ad-Durrah melengkapkan pengajian dengan tiga qiraat tambahan. Gabungan kedua-dua matan tersebut membentuk asas penting dalam pengajian sepuluh qiraat melalui tariq yang dikenali sebagai Sughra.
Ads
Justeru, penguasaan ilmu ini memerlukan disiplin yang tinggi serta bimbingan guru yang berkelayakan bagi memastikan ketepatan setiap bacaan.
Selain menghafaz matan, pelajar juga perlu memahami perbezaan kaedah bacaan serta mengaplikasikannya dengan tepat ketika membaca ayat al-Quran. Proses ini menuntut latihan berterusan, kesabaran dan ketekunan sepanjang tempoh pengajian.
Kaedah Jamak bil Ayah pula melibatkan penggabungan bacaan mengikut riwayat yang dipelajari pada peringkat ayat. Pendekatan ini memerlukan penguasaan yang kukuh supaya setiap perbezaan bacaan dapat dilaksanakan mengikut kaedah yang ditetapkan oleh guru.
Antara Wakil Asia Dalam Himpunan 100 Pemegang Sanad Di Mesir
Tidak terhenti di situ, Muhd Hazim turut menyertai himpunan 100 pemegang ijazah sanad Qiraat Asyarah Sughra yang berlangsung pada 15 November 2026 di Tanta, Mesir.
Ads
Menurut maklumat yang dikongsikan oleh pihak keluarganya, hanya dua individu dari rantau Asia yang terlibat dalam himpunan tersebut, masing-masing seorang wakil dari Malaysia dan seorang lagi dari Indonesia.
Penyertaan ini sekali gus menjadi detik bermakna buat anak muda berkenaan dalam perjalanan menuntut ilmu agama di perantauan.
Dalam tradisi pengajian al-Quran, sanad mempunyai kedudukan yang penting kerana ia merujuk kepada rantaian periwayatan ilmu daripada seorang guru kepada gurunya sehingga bersambung kepada sumber asal bacaan yang dipelajari.
Pengajian secara berguru membolehkan seseorang pelajar memperdengarkan bacaan, menerima pembetulan dan memastikan kaedah yang diamalkan menepati disiplin ilmu qiraat. Oleh sebab itu, proses mendapatkan ijazah sanad lazimnya memerlukan ketelitian serta penilaian daripada guru yang berkelayakan.
Lebih daripada sekadar pencapaian peribadi, kejayaan Muhd Hazim membuktikan bahawa generasi muda Malaysia turut mempunyai potensi besar untuk mendalami dan menguasai bidang pengajian al-Quran pada peringkat yang lebih tinggi.
Kejayaan menamatkan pengajian Qiraat Asyarah Sughra dalam tempoh sembilan bulan, di samping menghafaz dua matan utama, turut memperlihatkan kesungguhan beliau dalam memanfaatkan peluang menuntut ilmu di bumi Mesir.
Semoga pencapaian membanggakan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mencintai ilmu al-Quran, di samping memanfaatkan ilmu serta sanad yang diperoleh demi melahirkan generasi pewaris ilmu qiraat pada masa hadapan.
Tahniah Muhd Hazim Zahari! Semoga terus istiqamah menyebarkan ilmu dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kisah inspirasi ini membuktikan bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk berjaya. Seorang anak muda yang membesar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini berjaya menggenggam gelaran doktor, malah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kuliah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Lebih manis, kejayaan ini sekali gus menunaikan janji yang pernah dibuat kepada bapanya enam tahun lalu.
Dari Kesempitan Hidup Ke Puncak Kejayaan
Beliau ialah Dr Abdul Manaf Abdul Aziz, 24, anak ketiga daripada lima beradik yang membesar tanpa ibu di sisi. Kehidupan mereka serba sederhana di PPR Kampung Temai, Pekan pernah hampir memadamkan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kekangan kewangan.
Namun, semangat juang Abdul Manaf tidak pernah luntur. Sejak memperoleh 10A dalam SPM 2019, dia sudah berikrar kepada bapanya untuk suatu hari nanti bergelar doktor perubatan. Hari ini, janji itu bukan sahaja tertunai, bahkan lebih bermakna dengan pengiktirafan sebagai pelajar terbaik.
Sokongan Pelbagai Pihak
Impian yang kelihatan mustahil akhirnya menjadi nyata berkat sokongan ramai pihak. Bantuan daripada Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Bank Rakyat dan Tabung Penyayang UIAM telah membuka jalan untuknya menjejakkan kaki ke UIAM.
“Saya bersyukur kerana Allah SWT memakbulkan doa saya selama ini untuk menjadi doktor. Kepayahan serta cabaran enam tahun di UIAM akhirnya membuahkan hasil,” katanya penuh syukur pada Majlis Angkat Sumpah Doktor Perubatan Kulliyyah Perubatan UIAM yang turut meraikan 131 graduan lain.
Janji Yang Ditunaikan
Lebih membanggakan, kejayaan ini adalah hadiah buat bapanya, Abdul Aziz Osman, dan kakaknya, Ramlah, yang sentiasa menjadi tulang belakang. “Mereka pembakar semangat saya. Segala penat lelah tidak terasa bila dapat melihat senyuman bangga di wajah mereka,” tambahnya.
Selepas ini, Abdul Manaf akan menjalani latihan kedoktoran selama dua tahun di hospital kerajaan sebelum berkhidmat sebagai pegawai perubatan bertauliah.
Inspirasi Untuk Semua
Selain bergelar doktor, kisahnya turut diraikan bersama rakan baiknya, Dr Nur Affisa Emalin Mohd Roshanaffi, 23, yang menerima Anugerah Tahir Azhar. Kedua-duanya sudah lama menjadi rakan seperjuangan sepanjang pengajian di UIAM.
Bagi remaja di luar sana, perjalanan Dr Abdul Manaf menjadi bukti bahawa kesusahan bukan alasan untuk berputus asa. Dari rumah kecil di PPR, beliau kini melangkah ke dunia kerjaya sebagai seorang doktor muda yang akan berbakti kepada masyarakat.
Tiada mimpi yang mustahil, asalkan berani berusaha.
Baru-baru ini, berita duka menyelubungi tanah air apabila legenda berbasikal negara, Saharudin Jaffar dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun petang Selasa, semalam.
Menurut laporan Bernama, pemergian beliau disahkan sendiri oleh anak sulung Allahyarham, Suhaimi Saharudin (55) yang memaklumkan bapanya mengalami komplikasi ketika menjalani rawatan dialisis pada 18 Mac.
“Ayah pergi menjalani rawatan dialisis macam biasa sekitar jam 9 atau 10 pagi tapi sampai dekat sana macam sudah pengsan, jadi jururawat terus panggil ambulans dan bawa ke Hospital Shah Alam”
“Bila sampai doktor kata jantung ayah sudah berhenti dan bila cuba pakai alat bantuan pernafasan semua pun tak boleh sedarkan dan ayah pergi sekitar jam 2.17 petang,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi mengakui pemergian bapanya yang pernah mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) 1965 memberikan kesan mendalam.
Shaharudin Jaffar menunggang emas pada Sukan SEAP 1965 (Kredit: Free Malaysia Today)Shaharudin Jaffar (tengah), bersama Daud Ibrahim, AB Rahim, AS Fazil dan Omar Saad, pasukan berbasikal Malaysia di Sukan Olimpik Munich pada 1972 (Kredit: Free Malaysia Today)
Lebih lagi apabila ulang tahun perkahwinan ibu dan bapanya yang ke-58 sepatutnya disambut pada 19 Mac, hari ini.
“Ibu saya, Hasmah Ibrahim kini sudah berusia 81 tahun. Sebelum ini, ayah walaupun sudah berusia tetap berpuasa, bersenam dan gemar berkebun. Namun, masalah dialisis kalau terlampau haus tak elok untuk buah pinggang,” jelasnya.
Sementara itu, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Seksyen 8 Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Rabu.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kartunis negara, Datuk Lat baru-baru ini mendapat penghargaan apabila Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan Anugerah Seniman Negara kesembilan kepada beliau pada malam Rabu, semalam di Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024.
Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid (73) turut menerima wang tunai sebanyak RM60,000, watikah, trofi dan sepersalinan pakaian kebangsaan.
Selain itu, beliau turut dianugerahkan status sebagai Seniman Tamu MOTAC serta insentif untuk meneruskan karya seni dan layak menerima rawatan kelas pertama di hospital kerajaan.
Datuk Lat terkenal menerusi seni kartun yang kaya dengan elemen budaya Malaysia yang pelbagai serta gemar menggunakan pendekatan dekat dengan hati rakyat menerusi karyanya.
Antara karya terkenal beliau adalah seperti Kampung Boy dan Town Boy bukan sahaja menyajikan humor yang menggelikan hati, tetapi juga mencerminkan perubahan sosial di Malaysia sepanjang beberapa dekad.
Dalam pada itu, pada majlis yang sama Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut menerima Anugerah Khas Biduan Negara 2024 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus.
Sementara itu, lima pengiat seni tanah air menerima Anugerah Karyawan Seni iaitu Datuk Mokhzani Ismail bagi kategori Karyawan Seni Muzik; Zakaria Ariffin (Karyawan Seni Lakon/Pementasan); Wong Kit Yaw (Karyawan Seni Tari); Bangie Anak Embol (Karyawan Seni Kraf Tangan) dan Wong Hoy Cheong (Karyawan Seni Visual).
Anugerah terakhir, Anugerah Pendukung Seni pula diberikan kepada Radio Televisyen Malaysia bagi kategori media, Yayasan Hasanah bagi kategori korporat dan The Temple Of Fine Arts bagi kategori badan bukan kerajaan.
Sekadar makluman, ASN 2024 merupakan penghormatan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni atas sumbangan mereka dalam kesenian negara dan di peringkat dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!