Berita

Puteri Leonor Cetus ‘Leonormania’, Pewaris Takhta Sepanyol Jadi Inspirasi Wanita Muda!

Share

Puteri Leonor cetus fenomena ‘Leonormania’ sehingga ramai wanita muda di Sepanyol tertarik untuk menyertai tentera dan menjadikannya sebagai ikon inspirasi baharu.

Puteri Leonor, anak sulung kepada Raja Felipe VI dan Ratu Letizia, kini menjadi tumpuan dunia apabila kemunculannya dalam bidang ketenteraan mencetuskan fenomena yang digelar sebagai ‘Leonormania’. Bukan sahaja rakyat Sepanyol, malah anak muda di seluruh dunia turut mengagumi keberanian pewaris takhta yang berusia 19 tahun ini.

Pewaris Takhta Dengan Aura Tersendiri

Dilahirkan pada 31 Oktober 2005 di Madrid, Leonor memegang gelaran Puteri Asturias, gelaran tradisi untuk pewaris takhta Sepanyol. Beliau juga mempunyai beberapa gelaran lain termasuk Puteri Girona, Puteri Viana, Duchess of Montblanc, Countess of Cervera dan Lady of Balaguer.

Leonor dilihat lebih dekat dengan generasi muda melalui pendekatan matang namun mesra. — Instagram/spain_leonor

Pendidikan Leonor bukan calang-calang. Beliau menamatkan persekolahan menengah di United World College of the Atlantic, Wales pada 2023, sebuah sekolah berprestij yang melahirkan ramai tokoh dunia. Tidak lama selepas itu, Leonor memulakan latihan ketenteraan tiga tahun di Akademi Ketenteraan Umum Zaragoza, termasuk di akademi tentera laut dan udara. Latihan ini adalah sebahagian daripada tradisi keluarga diraja bagi mempersiapkan pewaris takhta dengan disiplin dan kepimpinan.

Fenomena ‘Leonormania’ Gegarkan Sepanyol

Sejak menjalani latihan ketenteraan, populariti Leonor melonjak mendadak. Penampilannya dalam uniform tentera menjadi bualan ramai dan mencetuskan fenomena ‘Leonormania’. Fenomena ini menyaksikan peningkatan jumlah wanita muda yang mahu menyertai angkatan tentera kerana terinspirasi dengan keberanian serta karisma bakal permaisuri Sepanyol itu.

Puteri Leonor (kanan) ketika mengangkat sumpah taat setia kepada Perlembagaan Sepanyol pada 2023. — Agensi

Pada ulang tahun ke-18, Leonor mengangkat sumpah taat setia kepada Perlembagaan Sepanyol, sekali gus secara rasmi diiktiraf sebagai pewaris takhta. Beliau turut menerima Collar of the Order of Charles III, penghormatan awam tertinggi negara. Peranan Leonor semakin meluas apabila beliau sering diberi kepercayaan untuk berucap di acara kebangsaan dan menghadiri lawatan diplomatik mewakili negaranya.

Inspirasi Generasi Baharu

Apa yang membuatkan Leonor dekat di hati rakyat ialah sifatnya yang matang tetapi tetap mesra, sesuai dengan generasi digital masa kini. Ramai remaja melihatnya sebagai ikon wanita moden — berani, berdisiplin, dan bersedia memimpin.

Jika Leonor menaiki takhta kelak, beliau akan menjadi ratu pemerintah pertama Sepanyol sejak era Isabella II pada abad ke-19. Kehadiran Leonor dilihat bakal membawa nafas baharu kepada monarki Sepanyol, menjadikannya lebih progresif, inklusif dan dekat dengan rakyat.

Fenomena ‘Leonormania’ ini membuktikan bahawa seorang remaja perempuan boleh menjadi simbol kekuatan dan inspirasi sejagat. Dari seorang pewaris takhta, Leonor kini berdiri sebagai ikon global yang memberi semangat kepada wanita muda untuk yakin pada diri sendiri dan berani melakar masa depan.

BACA LAGI : Dua Puteri Diraja Tamat Pengajian Dalam Bidang Tekstil Di UK, Jadi Inspirasi Anak Muda. Tahniah!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana