Putera Arab Saudi, Al-Waleed Bin Khalid Mangkat Selepas 20 Tahun Koma

Share

Putera Arab Saudi, Al-Waleed bin Khalid bin Talal Al Saud, yang dikenali ramai sebagai ‘Putera Tidur’, disahkan meninggal dunia semalam pada usia 36 tahun selepas berada dalam keadaan koma selama hampir dua dekad.

Perkara itu dimaklumkan bapanya, Putera Khalid bin Talal menerusi hantaran di platform X (dahulu Twitter), yang memohon doa orang ramai agar roh Allahyarham dikurniakan rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Putera Al-Waleed mengalami kecederaan parah dan pendarahan otak selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di London pada 2005 ketika berusia 15 tahun. Sejak itu, beliau koma dan bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan hayat.

Sepanjang 20 tahun lalu, beliau menerima rawatan intensif di King Abdulaziz Medical City, Riyadh. Keluarganya menolak cadangan untuk menghentikan bantuan pernafasan dan terus berharap agar beliau pulih walaupun keadaan kesihatannya tidak menunjukkan perubahan besar.

Beberapa perkembangan kecil yang tular sebelum ini antaranya pergerakan kepala dan tangan membangkitkan harapan ramai. Bagaimanapun, keadaan kesihatan beliau kekal tidak stabil sehingga akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat.

Solat jenazah Allahyarham diadakan di Masjid Imam Turki bin Abdullah, Riyadh selepas solat Asar pada 20 Julai, manakala bagi jemaah wanita pula berlangsung di Hospital Pakar King Faisal selepas solat Zuhur.

Majlis tahlil dan takziah diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini hingga Selasa di Istana Al-Fakhriyah. Kaum lelaki dijadualkan hadir pada waktu siang, manakala majlis bagi wanita berlangsung selepas solat Maghrib.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Fiezreen