
Jaguh lumba muda sensasi negara, Putera Adam Halim Muazzam, baru-baru ini mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila menjuarai Perlumbaan 1 dan 2 Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah di Litar Barcelona, Sepanyol di mana kejayaan berganda ini bukan sahaja mengukuhkan reputasinya sebagai pelumba bertaraf dunia. Malah, ia membuka peluang besar untuk beliau mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menjuarai keseluruhan kejuaraan berprestij tersebut.
Menerusi kemenangan tersebut, pelumba yang kini berusia 19 tahun itu telah mengumpul 94 mata, sekaligus berkongsi kedudukan teratas bersama dua pelumba Oregon Team, Enzo Geraci dan Josef Knopp.
“Minggu ini benar-benar luar biasa buat kami. Saya tidak menyangka mampu bersaing untuk gelaran juara keseluruhan pada tahun pertama penyertaan dalam Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo,” katanya.
Dalam pada itu, pada Perlumbaan 1, Putera Adam yang bergandingan dengan rakan sepasukan, Paul Levet, bermula di petak ketiga. Namun, kecekapan taktikal serta rentak konsisten membolehkan mereka mengekalkan kedudukan di kelompok hadapan meskipun diasak hebat oleh pesaing lain. Jentera Huracan EVO2 milik Vincenzo Sospiri Racing (VSR) yang dipandunya jelas memberi kelebihan dalam aspek kelajuan dan kawalan.
Seterusnya, di Perlumbaan 2 pula memperlihatkan kematangan luar biasa anak kelahiran Subang ini. Bermula dari petak ketujuh, beliau bijak mengelak kemalangan awal yang melibatkan beberapa pelumba lain, lalu melonjak ke kedudukan ketiga sebelum giliran pertukaran pemandu. Pada pusingan ke-16, Levet mengambil alih pemanduan dan mengekalkan keunggulan sehingga ke garisan penamat, sekaligus menghadiahkan kemenangan berganda buat pasukan VSR.
Sementara itu, kejayaan Putera Adam turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengucapkan tahniah atas pencapaian luar biasa ini menerusi sebuah perkongsian di Facebook miliknya.
“Menjuarai Perlumbaan 1 dan 2 Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah menjadikannya pelumba Malaysia pertama mencipta sejarah ini, kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 94 mata”
“Tahniah Putera Adam atas kejayaan luar biasa ini. Di setiap selekoh litar Catalunya, bukan sekadar enjin yang bergema tetapi nama Malaysia turut disebut dengan bangga di seluruh Eropah,” tulis beliau.
Dengan hanya berbaki satu pusingan terakhir di Misano, Itali pada 6 hingga 7 November ini, semua mata kini tertumpu kepada Putera Adam dan Levet yang berpeluang besar menutup musim dengan gelaran juara keseluruhan. Namun, cabaran sengit dijangka hadir daripada Geraci dan Knopp yang turut mengintai peluang sama.
Sekiranya berjaya, Putera Adam bukan sahaja akan menutup tirai musim dengan penuh bergaya, malah mengukir sejarah baru buat Malaysia dalam dunia perlumbaan dan kejayaannya bakal menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa tiada halangan untuk anak tempatan mengaum di pentas dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.