
Baru-baru ini, empat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencuri perhatian apabila terpilih menjadi imam sempena Program Qari in Residence di United Kingdom (UK), Australia dan Singapura sepanjang Ramadan kali ini.
Pemilihan tersebut sekaligus mengangkat nama universiti itu ke persada antarabangsa dan membuktikan bahawa anak muda institusi tempatan juga mampu berdiri sebaris di pentas global.
Memetik laporan Bernama, Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff memaklumkan pemilihan pelajar terbabit bagi program yang berlangsung dari 16 Februari hingga 21 Mac itu menjadi bukti jelas keupayaan UPSI melahirkan pelajar tahfiz berkualiti tinggi yang mendapat pengiktirafan institusi Islam luar negara.
BACA: Ramadan Di Bumi Sakura, Dua Pelajar UTM Galas Amanah Imam Tarawih Di Osaka
“Ini satu pengiktirafan yang bukan sahaja membanggakan UPSI, malah memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global,” katanya.
“Ia juga selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam,” jelasnya lagi.
Difahamkan, antara pelajar yang terlibat ialah Adib Farhan Baharudin, penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), yang berkhidmat sebagai imam di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom. Penempatan di institusi berprestij itu bukan sahaja membuka ruang pengalaman antarabangsa, malah memberi peluang memperkenalkan pendekatan pendidikan tahfiz Malaysia di pentas dunia.
Manakala di Australia, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi pula menggalas tanggungjawab sebagai imam di Malaysian Hall Perth, dan Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli serta Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing berkhidmat di Masjid Al-Ghufran, Singapura. Peranan yang dipikul sepanjang Ramadan ini bukan sekadar memimpin solat tarawih, tetapi turut melibatkan pengisian tazkirah dan interaksi bersama komuniti setempat.
Lebih menarik lagi, tenaga pengajar merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI, Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK, turut diberi kepercayaan berkhidmat sebagai imam di Masjid Dar al-Iman serta Malaysian Hall Sydney, Australia. Penglibatan pensyarah bersama pelajar ini menggambarkan kesinambungan bimbingan akademik dan praktikal yang kukuh.
Dalam perkembangan lain, Md Amin memaklumkan UPSI kini dalam proses pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (Al-Furqan) di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjong Malim, yang bakal menjadi pusat kajian komprehensif pendidikan tahfiz negara.
Sumber artikel: Bernama
Sumber foto: UPSI
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.