Berita

Populariti Bukan Segalanya, Syafinaz Mahu Hussain Kerja Lebih Keras

Share

Guru muzik profesional, Datuk Syafinaz Selamat berpendapat perkembangan peserta Big Stage Rocketfuel, Hussain, masih belum mencapai tahap yang diharapkannya sepanjang pertandingan berlangsung.

Menurut Syafinaz, Hussain sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri memandangkan dia bukanlah nama baharu dalam dunia pertandingan nyanyian selepas pernah mencipta nama menerusi program Talk To My Manager 2 (TTMM2).

Harapan Tinggi Selepas TTMM2

Syafinaz berkata, pengalaman yang dimiliki Hussain sepatutnya menjadi satu kelebihan untuk menyerlahkan potensi sebenar dalam pertandingan kali ini.

“Saya diberitahu tiap-tiap minggu dia menang (undian). Okay, kadang-kadang populariti itu menyebabkan kita lupa bahawa kita perlu bekerja lebih keras.

“Sebenarnya dia memiliki suara yang sedap, pakej lengkap secara keseluruhan dan saya mengharapkan dia ambil peluang ini untuk tebus semula setiap perkara ketika di TTMM2.

“Jadi, saya berharap dia akan ‘buckle up’ dan kerja keras tapi dia punya perkembangan tidak terlalu besar kalau nak bandingkan ketika sertai TTMM2,” katanya kepada Remaja.

Perlu Lebih Menyerlah Di Pentas

Bertindak sebagai juri jemputan pada konsert minggu keenam Big Stage Rocketfuel semalam, Syafinaz berpandangan Hussain sepatutnya mampu mempersembahkan sesuatu yang lebih mengagumkan, apatah lagi apabila dibimbing oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.

“Sepatutnya dia nampak lebih ‘wow’ tetapi saya masih belum nampak itu.

“Dia juga seharusnya boleh push diri untuk lebih menyerlah. Pada saya, persembahan dia sebagai peserta dari pertandingan lain agak kurang, sepatutnya boleh beri lebih lagi,” jelasnya.

Bukan Persoal Bakat, Tetapi Perkembangan

Dalam masa sama, Syafinaz menegaskan tegurannya bukan bermaksud mempertikaikan kemampuan vokal Hussain, sebaliknya lahir daripada harapan untuk melihat peningkatan yang lebih ketara sepanjang pertandingan.

“Jangan salah faham, saya bukan cakap dia tak bagus atau suara tak sedap sebaliknya mengenai berharap perkembangan yang lebih baik.

“Ini semua disebabkan dia hadir dari TTMM2 berbanding peserta lain,” ujarnya.

Terdahulu, Hussain yang muncul sebagai naib juara Talk To My Manager 2 (TTMM2) berjaya melangkah ke pentas Big Stage Rocketfuel menerusi laluan fast track selepas memperoleh undian tertinggi daripada orang ramai.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath