Pindah Baki Ke Semester Depan, UiTM Umum Pulang Yuran Kolej Kediaman Sepanjang PKP

Share

Berita baik untuk pelajar-pelajar Uitm.

27 Mei lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengeluarkan satu kenyataan yang mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua kampus Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini.

Terbaru, Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan IPT pertama yang umum akan memulangkan yuran kolej kediaman dikenakan terhadap pelajar sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 18 Mac lalu.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata pemulangan yuran kolej kediaman itu akan dibuat menerusi kaedah pemindahan baki ke semester seterusnya.

Bagaimanapun, katanya, yuran pelajaran tidak akan dipulangkan berikutan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih diteruskan secara dalam talian.

“Pelajar mungkin perlu memohon (untuk mendapatkan pemulangan yuran kolej kediaman) dan permohonan akan dibuka selepas kita memuktamadkan perkara ini.

“Setakat ini itulah pendirian kami walaupun ada pelajar tidak menggunakan kemudahan di universiti seperti makmal dan sebagainya kerana caj dikenakan secara keseluruhan perkhidmatan dan bukannya secara berasingan.

“Bagaimanapun, kita tunggu pendirian kerajaan dan UiTM akur dengan setiap keputusan berkaitan perkara ini, walaupun kadar ditetapkan UiTM adalah terendah berbanding institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain,” lapor BH

Dengan pelaksanaan PdP, ramai daripada pelajar IPT memohon agar yuran pengajian diturunkan kerana kemudahan di universiti tidak digunakan secara sepenuhnya termasuklah asrama, fasiliti sukan, makmal, internet dan bilik kuliah.

Sebelum ini, Bekas Menteri Sukan dan Belia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mendesak agar yuran pengajian dikurangkan memandangkan kebanyak kelas terpaksa dihentikan ketika PKP berlangsung.

So apa pendapat korang tentang isu pemulangan yuran IPT ini?

Sumber : Berita Harian

IKLAN