Piala AFF 2022: Pengadil Ryuji Sato Teruk Dikecam Peminat Skuad Harimau Malaya

Share

Skuad Harimau Malaya mengalami kekalahan yang ‘tragis’ selepas tewas 0-3 kepada Vietnam pada aksi peringkat Kumpulan B saingan Piala AFF 2022 di Stadium National My Dinh, dengan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato melakukan beberapa keputusan yang dianggap kontroversi.

Bagaikan berdendam dengan skuad negara apabila pengadil tersebut buat hal lagi dengan membuat beberapa keputusan tak masuk akal hingga menyebabkan Malaysia tewas di tangan skuad Naga Emas, pada malam semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat Berduka Legenda Bola Sepak Brazil Pele Semakin Kritikal Di Hospital

Sehubungan  itu, ia sekaligus meledakkan kemarahan dan ketidakpuasan hati para peminat bola sepak tanah air sehinggakan pengadil perlawanan itu teruk menerima kecaman di media sosial.

Rata-rata warganet mula ‘berkampung’ di ruangan komen menerusi platform Facebook Ryuji Sato ekoran pengadil kontroversi itu menghadiahkan sepakan penalti buat Vietnam pada minit ke-60 berikutan pelanggaran melibatkan Azam Azmi Murad dan Doan Van Hau yang dianggap tidak masuk akal.

Bukan itu sahaja, komen di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dipenuhi dengan kritikan terhadap Sato yang menjadi punca Malaysia terpaksa melalui laluan berliku untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya pada saingan Piala AFF 2022.

Ini bukanlah kali pertama pengadil tersebut menjadi dalang di sebalik kekalahan skuad negara, ia susulan tindakan pengadil berkenaan yang pernah mengadili perlawanan Piala Dunia Rusia 2018 itu menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam ketika aksi kelayakan Piala Dunia berbaki 10 minit di Stadium Al Maktoum, Dubai, tahun lalu sekali gus menyaksikan Malaysia tewas 1-2.

Sekadar informasi, skuad negara yang kini meraih enam mata selepas mengharungi tiga perlawanan akan menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 Januari depan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram FAM Malaysia& Twitter Ryuji Sato

IKLAN