
Skuad Harimau Malaya mengalami kekalahan yang ‘tragis’ selepas tewas 0-3 kepada Vietnam pada aksi peringkat Kumpulan B saingan Piala AFF 2022 di Stadium National My Dinh, dengan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato melakukan beberapa keputusan yang dianggap kontroversi.
Bagaikan berdendam dengan skuad negara apabila pengadil tersebut buat hal lagi dengan membuat beberapa keputusan tak masuk akal hingga menyebabkan Malaysia tewas di tangan skuad Naga Emas, pada malam semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Peminat Berduka Legenda Bola Sepak Brazil Pele Semakin Kritikal Di Hospital

Sehubungan itu, ia sekaligus meledakkan kemarahan dan ketidakpuasan hati para peminat bola sepak tanah air sehinggakan pengadil perlawanan itu teruk menerima kecaman di media sosial.
Rata-rata warganet mula ‘berkampung’ di ruangan komen menerusi platform Facebook Ryuji Sato ekoran pengadil kontroversi itu menghadiahkan sepakan penalti buat Vietnam pada minit ke-60 berikutan pelanggaran melibatkan Azam Azmi Murad dan Doan Van Hau yang dianggap tidak masuk akal.
Bukan itu sahaja, komen di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dipenuhi dengan kritikan terhadap Sato yang menjadi punca Malaysia terpaksa melalui laluan berliku untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya pada saingan Piala AFF 2022.

Ini bukanlah kali pertama pengadil tersebut menjadi dalang di sebalik kekalahan skuad negara, ia susulan tindakan pengadil berkenaan yang pernah mengadili perlawanan Piala Dunia Rusia 2018 itu menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam ketika aksi kelayakan Piala Dunia berbaki 10 minit di Stadium Al Maktoum, Dubai, tahun lalu sekali gus menyaksikan Malaysia tewas 1-2.
Sekadar informasi, skuad negara yang kini meraih enam mata selepas mengharungi tiga perlawanan akan menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 Januari depan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram FAM Malaysia& Twitter Ryuji Sato
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pemandu Lori Kena Serangan Jantung Disangka Mabuk, Ini Bantuan Awal Yang Semua Orang Wajib Tahu

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang wanita dipercayai sedang memarahi dan mendakwa seorang pemandu lori berada dalam keadaan mabuk kerana telah melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di bahu jalan.

Dalam klip video 1.17 minit itu, perakam tersalah anggap pemandu tersebut sedang mabuk. Faktanya, pemandu lelaki itu sedang bertarung nyawa sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
ARTIKEL BERKAITAN : Hentikan Sebar Cara Tangani Serangan Jantung Dengan Cough CPR, Ini Sebenarnya Yang Korang Perlu Buat
Video pendek dimuat naik di media sosial itu mengundang kecaman netizen yang berpendapat wanita itu boleh menyelamatkan pemandu treler tersebut jika pantas menghubungi ambulans dan bukan sibuk merakam kejadian tersebut.

Al – Fatihah (dengan bacaan) buat mangsa.
Siapa kata penyakit jantung hanya akan menyerang golongan tua, ia memang benar-benar silap. Serangan jantung kini bukan hanya dihidapi oleh orang tua, malah penyakit ini juga boleh menyerang golongan yang lebih muda. dan tidak mengira masa, sedang tidur, berkerja dan sebagainya.
Hal ini menunjukkan serangan jantung bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Melihat banyak kes kematian akibat serangan jantung kita seharusnya lebih peka dengan simptom masalah jantung. Jika anda atau terdapat orang awam yang mengalami serangan jantung, ambil langkah berikut:
- Dapatkan bantuan kesihatan atau hantar individu yang mengalami sakit jantung ke hospital berdekatan.
- Jika tidak berkemampuan untuk bergerak kerana sakit atau keadaan lain, hubungi talian 999 atau minta orang awam untuk bawakan anda ke hospital berdekatan dengan kadar segera
- Jangan memandu kereta semasa mengalami simptom sakit dada atau simptom masalah jantung yang lain
- Jika anda tiada sejarah alergi kepada ubat aspirin, ambil pil aspirin 300 mg yang boleh dikunyah dengan kadar segera
- Sebelum ambulans sampai, ikut langkah-langkah bantuan kecemasan yang diberikan melalui talian 999 jika perlu (contoh semasa situasi pesakit pengsan)
- Jika pesakit mempunyai ubat glyceryl trinitrate, kemam sebiji di bawah lidah dan dapatkan bantuan perubatan dari hospital berdekatan
- Bantuan awal ini bukan sahaja dapat membantu menjadikan simptom sakit jantung lebih terkawal, bahkan ia juga berupaya untuk meminimumkan kematian sel kardium (jantung) bagi mengekalkan fungsi jantung pada tahap yang optimum.
Insiden yang berlaku itu turut dijelaskan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar dalam satu kenyataan media. Pada hari sama, pemandu treler berkenaan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sungai Buloh pada kira-kira jam 12.09 tengah hari. Polis turut meminta orang awam tidak membuat spekulasi mengenai insiden berkenaan bagi menghormati keluarga arwah.
Al-Fatihah kepada mangsa, dan takziah buat keluarga.
BACA LAGI : Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Kena Serangan Jantung Walaupun Masih Muda & Aktif Bersukan
Sumber : Hello Doktor, Facebook Polis Daerah Sungai Buloh
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dua Tahun Berlalu, Ini Kronologi Tentang Kes Jangkitan Pertama COVID-19 Di Dunia

Diam tak diam, sudah dua tahun negara kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang pastinya meninggalkan memori paling terkesan di memori seluruh masyarakat dunia. Masihkah korang ingat, bilakah kes pertama COVID-19 dikesan di Malaysia?
Sempena dua tahun berlalu, Astro Awani telah mengimbas kembali detik pertama kali negara mengesan kes COVID-19 di negara kita dan berikut merupakan kronologi permulaan berlakunya pandemik ini dan kes pertama yang dicatatkan di Malaysia.

1 Disember 2019: Seorang lelaki berusia 55 tahun dari daerah Hubei, Wuhan China dilaporkan telah hadir ke hospital dengan simptom seakan penyakit pneumonia tetapi tidak diketahui puncanya. Sejak itu, hospital menerima peningkatan kes sama setiap hari.
8 Disember 2019: 41 orang bergejala diuji dan disahkan dijangkiti oleh virus yang sama menyebabkan masalah pada sistem pernafasan.

16 Disember 2019: Pesakit pertama diwadkan untuk rawatan terhadap simptom pernafasan akut yang dialami.
31 Disember 2019: Apabila peningkatan kes semakin serius dengan dapatan kajian awal yang membimbangkan, Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Wuhan melaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
7 Januari 2020: Pihak berkuasa China mengesahkan letusan wabak itu disebabkan oleh virus korona jenis baharu yang awalnya diberi nama “2019-nCoV”
11 Februari 2020: Secara rasminya penyakit itu dipanggil COVID-19 bawaan virus SARS-CoV-2 oleh WHO.
Perebakan virus tidak dapat ditangani daripada merebak ke luar China menerusi pergerakan manusia.

25 Januari 2020: Kes pertama jangkitan di Malaysia disahkan, dibawa oleh penggembara dari China di Johor yang masuk melalui Singapura.
11 Mac 2020: Apabila kes global melebihi angka 118,000 dengan 4,291 kematian di 114 negara, WHO mengisytiharkan wabak COVID-19 satu pandemik. Vaksin mula dibangunkan, sementara itu usaha pencegahan dibuat dengan disiplin kawalan pergerakan yang disaran WHO.
31 Disember 2020: WHO mengeluarkan senarai vaksin Comirnaty COVID-19 mRNA untuk kegunaan kecemasan. A.S., U.K., China dan Rusia antara pengeluar utama vaksin dunia yang secara langsung sedikit demi sedikit meredakan pandemik ini.
Namun, virus COVID-19 terus bermutasi, menghasilkan varian-varian baharu dengan kebolehjangkitan yang semakin meningkat, bermula dengan Alpha, Beta, Gamma, Delta & yang terbaharu, Omicron serta Lambda.

Setakat Disember 2021, pandemik ini telah mencatatkan 81 juta kes jangkitan dengan 5.4 juta kematian, menjadikannya antara wabak paling dahsyat dalam sejarah. Negara kita pula mencatatkan 2,754,513 kes setakat ini dengan kematian seramai 31,462 orang.
Marilah kita terus berdoa agar pandemik ini segera berakhir dan tidak lagi memudaratkan masyarakat di seluruh dunia. Takziah kami ucapkan kepada individu yang telah kehilangan ahli keluarga atau pun kenalan akibat COVID-19 ini.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kenapa PM Sebut Akta Polis 1967 Semalam? Ramai Faham Perintah Kawalan Pergerakan Tapi Apa Dia Akta Polis 1967

Dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Covid-19 jam 10 malam semalam, PM mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18/3/2020 sehingga 31/3/2020 (14 hari) dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Ramai faham maksud Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 tapi tahukah kita apa dia Akta Polis 1967?
REMAJA kongsikan penulisan peguam Nor Zabetha sekali lagi mengenai isu ini agar ramai yang faham mengenainya.

Perutusan tersebut, tidak dinyatakan secara terperinci, Seksyen yang mana terpakai dibawah kedua-dua Akta ini. Kalau ada perincian Seksyen lebih mudah untuk menjadi garis panduan.
Ada banyak pihak minta kita bertenang. Ini bukan lockdown tetapi ini adalah Perintah Kawalan Pergerakan. Jadi sejauh manakah kuasa perintah ini? Apakah garis panduan dan had pergerakan kita dalam tempoh 14 hari ini?
Saya ingin ingatkan, tujuan kerajaan mengeluarkan perintah ini adalah untuk mencegah wabak penularan. Jadi perintah yang dikeluarkan bukan saja-saja, ada langkah yang bakal diambil untuk membasmi penularan. Misalnya menyahaktifkan kuman, pembersihan dan lain-lain.
Dalam tempoh perintah ini, kita perlu sama-sama akur dengan perintah kerajaan, supaya berjaya membasmi penularan. Lebih cepat lebih bagus. Jangan pula, ada perintah kita pun sama-sama keluar bersuka-ria. Jika kita beri kerjasama, seolah-olah tidak bermanfaat perintah dikeluarkan.
Apakah kesannya jika kita buat tidak faham? Kita ingkar? Apakah tindakan yang akan berlaku?
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB) yang disebut oleh Perdana Menteri adalah berkaitan dengan garis panduan, perlaksanaan dan undang-undang yang perlu bagi mengawal penularan wabak.
Di bawah Seksyen 5 iaitu Bantuan polis, dll memperuntukkan bahawa bagi tujuan mengawal penularan Pegawai polis, kastam dan imigresen dan pegawai dari jabatan dan agensi kerajaan yang lain hendaklah memberikan apa-apa bantuan kepada pegawai yang diberikan kuasa dibawah Akta ini.
Bermaksud, bagi tujuan perlaksanaan mengawal penularan wabak ini polis, pihak kastam akan memberi kerjasama. Mereka akan memantau dan memastikan perintah dipatuhi.
Misalnya sekatan rakyat Malaysia keluar negara atau kemasukkan warga asing dari luar negara. Ini akan dibantu oleh pegawai imigresen dan polis untuk melaksanakannya.Semua pegawai-pegawai penguatkuasaan ini akan memberi kerjasama sewaktu menjalankan tugas.

Kita tidak boleh mengingkari mereka dalam menjalankan tugasan mereka. Seksyen 22 memperuntukkan jenis-jenis kesalahan dibawah Akta ini. Misalnya, menghalang atau mengendalakan tugasan mereka, jenis kesalahan yang lain boleh lihat gambar dibawah.
Contohnya anda diminta oleh pegawai polis untuk menutup premis kerana perniagaan anda bukanlah dalam kategori perkhidmatan penting negara (essential service). Anda melawan dan berdegil dan cuba melengah-lengahkan proses penutupan. Ini adalah kesalahan.
Bagi kesalahan-kesalahan Seksyen 22 ini, adalah dihukum dan didenda di bawah Seksyen 24. Kesalahan kali pertama maksimum penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kesalahan kedua maksimum penjara 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Sila lihat gambar bagi hukuman lain.
Maksudnya begini, hari ini anda ingkar untuk tutup premis seperti diarahkan, keesokan harinya juga sama. Jika dakwaan itu dikira mengikut hari berasingan, maka anda telah melakukan kesalahan kedua dan layak dihukum dibawah Seksyen 24 (b).
Perutusan oleh PM juga menyatakan bawah Perintah ini dikeluarkan selaras juga dengan Akta Polis. Ini bermakna, pihak polis diberikuasa bagi menjalankan tugasnya selaras dengan Akta Polis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini dikeluarkan.
Misalnya Bahagian VII Akta tersebut memperuntukan tugas dan kuasa pegawai polis. Seksyen 20 (1) memperuntukan, tugas am pegawai polis:
(1) Tiap-tiap pegawai polis hendaklah melaksanakan tugas dan menjalankan kuasa yang dipertanggungkan atau diberikan oleh undang-undang ke atas atau kepada seorang pegawai polis, dan hendaklah mematuhi semua arahan yang sah berkenaan dengan pelaksanaan jawatannya yang mungkin diterimanya dari semasa ke semasa daripada pegawai atasannya dalam Pasukan.
Bermaksud pada waktu ini, pihak polis perlu melaksanakan tugas dan menjalankan kuasanya bagi memastikan perlaksanaan Perintah ini.
Saya sangat setuju perlaksanaan ini, bayangkan banyak kedai-kedai yang bukan kategori essential service kepada negara akan ditutup selama 14 hari. Berkemungkinan berlaku kes curi atau pecah maksud. Khidmat polis sangat-sangat diperlukan untuk mengawal situasi dan ketenteraman.
Selain itu, walaupun ini bukanlah perintah Lockdown tetapi polis juga mempunyai kuasa selaras dengan Seksyen 31 (1) iaitu Kuasa untuk membuat perintah (kurang dari 24jam) bagi menghendaki orang berada dalam rumah. Boleh rujuk dalam gambar bacaan penuh.
Seksyen ini memberikuasa kepada polis sekiranya difikirkan perlu untuk kepentingan keselamatan negara atau kepentingan awam untuk supaya berada dalam rumah di antara waktu yang ditetapkan melainkan mempunyai permit bertulis, Seksyen 31(2).
Tetapi ingat elemen atau kata kunci dalam Seksyen ini iaitu “Jika difikirkannya perlu untuk kepentingan keselamatan Malaysia … atau untuk kepentingan ketenteraman awam”. Sekiranya tiada arahan dari kerajaan dan ketenteraman awam tidak diprejudiskan, Seksyen ini tidak akan terpakai.
Malahan selaras dengan Seksyen 31(4) Perintah yang dibuat ini, tidak boleh melebihi 24 jam dari masa ia dibuat. Melainkan sekiranya perintah tersebut mendapat lanjutan dari Menteri tetapi lanjutan tersebut mestilah tidak lebih dari 14 hari, oleh yang demikian polis mempunyai kuasa selaras dengan perintah lanjutan.
Setakat tulisan ini, Seksyen- Seksyen di atas adalah Seksyen yang relevan bagi perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini. Saya harap kita sama-sama patuh dan akur. Usaha dari kerajaan atau dari pihak polis tidak akan menjadi tanpa kerjasama kita untuk tidak sama-sama berada ditempat awam dan membantu penyebaran wabak.
Walaupun perlaksanaan ini akan memberi implikasi kepada kita namun demikian, saya berpendapat ini adalah langkah terbaik setakat ini, setelah kenaikan kes meningkat 300 dalam masa 2 hari. Bayangkan jika kes ini, berlanjutan tanpa langkah pencegahan 10 hari lagi.
Semoga dipermudahkan urusan kita semua.
Ditulis oleh Nor Zabetha
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

