
Pernah gagal bukan bermakna pengakhiran. Itulah yang dibuktikan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Nur Syafikah Nazurah Muhd Shaqawi, apabila berjaya menukar pengalaman pahit kepada kejayaan manis dengan muncul juara pertandingan Jalen Star Chef 2.
Kemenangan tersebut sekali gus mengharumkan nama UiTM selepas beliau menewaskan peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dalam Grand Finale Jalen Star Chef 2 yang berlangsung di UiTM Puncak Alam pada Khamis.
Sebagai juara, pelajar Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan itu membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi dan sijil.
Bagi Nur Syafikah, kemenangan kali ini membawa makna yang cukup besar kerana ia hadir selepas kegagalan dalam penyertaan terdahulu.
“Saya cuba lagi dan Alhamdulillah kali ini berjaya menjadi juara,” katanya.
Dalam pertandingan tersebut, Nur Syafikah mengetengahkan hidangan yang diinspirasikan daripada negeri asalnya yang cukup sinonim dengan pelbagai makanan tradisional.
Beliau mengolah elemen warisan tempatan kepada sajian moden bagi mengetengahkan identiti negeri tersebut menerusi hasil masakannya, sekali gus memberikan sentuhan kreatif yang membezakan hidangan berkenaan daripada peserta lain.
Mengulas mengenai cabaran sepanjang pertandingan, Nur Syafikah mengakui tempoh dua jam yang diberikan untuk menyiapkan hidangan pembuka selera dan hidangan utama merupakan ujian paling mencabar.
“Tekanan memang tinggi kerana masa sangat terhad. Bagaimanapun, latihan berterusan dari pagi hingga lewat malam membantu saya lebih bersedia menghadapi pertandingan ini,” ujarnya.
Menurutnya, latihan yang konsisten menjadi kunci utama untuk memastikan setiap hidangan dapat disiapkan dengan baik dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Nur Syafikah berpandangan pertandingan seperti Jalen Star Chef 2 wajar diteruskan kerana mampu menjadi platform terbaik dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang kulinari.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada anak muda yang bercita-cita menjadi cef supaya tidak mudah berputus asa sekiranya berdepan kegagalan, sebaliknya terus berusaha memperbaiki diri.
Selain Nur Syafikah yang muncul juara, tempat kedua dimenangi pelajar UiTM Puncak Alam, Hazeerah Zulaikha Hasan, yang membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta trofi dan sijil.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Nor Ainun Maisarah Abdullah
dari Universiti College Bestari yang menerima wang tunai RM1,000 selain trofi dan sijil.Jalen Star Chef 2 merupakan pertandingan anjuran Nu Ideaktiv dan Remaja dengan sokongan rakan rasmi, Jalen, serta rakan strategik, UiTM, yang bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang kulinari serta memberi ruang kepada generasi muda menyerlahkan kreativiti mereka di dapur.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.