Kegagalan mencapai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang diharapkan bukanlah pengakhiran buat Nurul Amira Wira apabila anak kelahiran Papar, Sabah itu bangkit membuktikan kemampuan dengan memperoleh GPA 4.00 pada setiap semester Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Kejayaan tersebut kini membuka lembaran baharu buat Nurul Amira apabila beliau menerima penajaan pembayaran yuran pengajian dan penginapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Putrajaya.
Momen bermakna itu turut disaksikan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed serta barisan naib canselor universiti awam lain.
Di sebalik pencapaian membanggakan itu, Amira pernah berdepan kekecewaan selepas gagal memperoleh keputusan Straight A’s dalam SPM sehingga hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke institusi pilihan tidak kesampaian.
Ketika rakan-rakan mula membawa haluan masing-masing termasuk menyambung pengajian ke matrikulasi, Amira pula memilih untuk meneruskan pelajaran di Tingkatan 6.
Biarpun bukan laluan yang dirancang pada awalnya, Amira tidak membiarkan kekecewaan tersebut mematahkan semangatnya. Malah, beliau turut aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan 6 (MAPTEN) sebagai Naib Pengerusi sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Pemangku Pengerusi.
Perjalanannya sepanjang STPM juga bukan tanpa cabaran. Pada semester pertama, Amira menggunakan wang simpanan peribadi sebanyak RM300 untuk membeli buku rujukan bagi membantu pembelajarannya.
Namun, segala pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya mencatat GPA 4.00 pada setiap semester.
Ads
“Alhamdulillah, usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila saya berjaya memperoleh keputusan GPA 4.00 setiap semester.
“Pencapaian ini merupakan hadiah terbaik bagi menghargai segala pengorbanan kedua-dua ibu bapa saya,” katanya.
Ibu Bapa Jadi Pembakar Semangat Nurul Amira
Bagi Nurul Amira, kedua-dua ibu bapanya menjadi antara sumber kekuatan terbesar untuk terus mengejar kejayaan.
Bapanya, Wira Maulaha, 56, berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran manakala ibunya, Kamsiah Jual, 55, merupakan seorang jururawat.
Sejak kecil, Amira terbiasa melihat kesungguhan kedua-duanya bekerja sehingga membuatkan beliau lebih menghargai setiap peluang pendidikan yang diterima.
Ads
“Kesungguhan mereka turut menjadi dorongan terbesar untuk saya fokus mengejar cita-cita.
“Disebabkan itu, saya berjanji pada diri sendiri untuk belajar bersungguh-sungguh untuk membalas segala jasa mereka,” ujarnya.
Fokus 100 Peratus Dalam Kelas
Berkongsi rahsia memperoleh keputusan 4.00, Amira berkata antara prinsip yang diamalkannya adalah memberikan fokus sepenuhnya ketika guru mengajar.
Beliau turut menetapkan sasaran memperoleh sekurang-kurangnya 80 peratus markah bagi setiap latihan sebelum menganggap sesuatu topik benar-benar dikuasai.
Selain itu, Amira bersama rakannya akan saling bersoal jawab selepas mengulang kaji bagi menguji kefahaman dan hafalan.
Kini, Nurul Amira bakal meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Pengurusan Perniagaan) di UUM selepas berjaya melepasi sesi temu duga.
Bakal berjauhan daripada keluarga di Sabah demi meneruskan pengajian di Sintok, Kedah, Amira berharap peluang tersebut dapat membawanya lebih dekat dengan impian untuk bergelar seorang guru.
Perjalanan daripada kekecewaan selepas keputusan SPM kepada kejayaan memperoleh GPA 4.00 setiap semester STPM membuktikan bahawa kegagalan pada satu peringkat bukanlah noktah kepada perjalanan pendidikan seseorang.
Bagi Nurul Amira, peluang melanjutkan pengajian ke UUM dengan penajaan KPT menjadi satu lagi langkah penting untuk merealisasikan cita-citanya, selain menjadi peluang untuk membalas pengorbanan ibu bapa yang selama ini menjadi sumber kekuatannya.
“Saya bertekad dan berjanji untuk memberikan komitmen terbaik demi menggembirakan keluarga tercinta,” katanya.
Sumber : Facebook Universiti Utara Malaysia (Official FB)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah akan bertanding pada kejohanan Ski Air dan Papan Luncur Masters ke-64 di Amerika Syarikat mulai Jumaat hingga Ahad ini.
Menurut penganjur dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Aaliyah, 20, layak ke kejohanan berprestij itu hasil prestasi cemerlangnya sepanjang musim ini.
“Selama 63 tahun, Kejohanan Ski Air dan Papan Luncur Masters telah mempamerkan beberapa detik terhebat sukan kami dan bersaing di Tasik Robin memegang tempat istimewa dalam kerjaya setiap atlet yang diberi peluang untuk mengambil bahagian” – Penganjur
Aaliyah yang berkongsi mengenai kelayakannya melalui media sosial di Facebook berkata, ini merupakan satu penghormatan besar bagi dirinya untuk menjadi peserta Asia pertama yang layak ke kejohanan itu.
Kredit: Instagram @aaliyah.yoong
Sementara itu, jurulatih luncur air negara Hanifah Yoong Yin Fah berkata melalui Facebook, Aaliyah berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan bagi acara ‘jump’ iaitu 48.3 meter (m) pada kejohanan Masters LCQ 2 di Sunset Lakes semalam.
“Sebelum hujung minggu lalu, rekod dan PB (terbaik peribadi) ialah 47.2m yang ditetapkan 12 bulan lalu. Aaliyah memperbaikinya empat kali sekarang pada minggu lalu.
Kredit: Facebook Hanifah Yoong Yin Fah
“Aaliyah telah melayakkan diri ke Ski Air Nautique US Masters hujung minggu depan di mana hanya peluncur ski utama dunia akan masuk melalui kelayakan dua hujung minggu sebelum Masters” – Hanifah Yoong Yin Fah
Sekadar info, Aaliyah mula mencipta nama dalam dunia sukan luncur air pada usia muda. Beliau telah memenangi pelbagai pingat di peringkat antarabangsa, termasuk dalam kejohanan seperti IWWF World Under-17 Waterski Championships, Water skiing at the 2022 World Games – Women’s trick, Water skiing at the 2017 Southeast Asian Games – Women’s tricks, Water skiing at the 2017 Southeast Asian Games – Women’s jump, dan Water skiing at the 2017 Southeast Asian Games – Women’s overall.
Aaliyah turut dikenali kerana dedikasi dan kesungguhannya dalam sukan ini, yang telah menjadikannya ikon sukan luncur air di Malaysia dan inspirasi kepada generasi muda.
Kejayaannya bukan sahaja membanggakan negara tetapi juga membuka mata dunia terhadap potensi atlet wanita Malaysia dalam arena sukan ekstrem.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berkongsi khabar gembira selepas dikurniakan cahaya mata pertama mereka yang merupakan seorang puteri.
Menerusi sebuah perkongsian di media sosial milik baginda, Tengku Amir Shah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kelahiran puteri sulung hasil perkahwinan bersama Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
“Alhamdulillah. Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, Beta mengumumkan kelahiran puteri kami.”
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan buat anakanda kami. Terima kasih buat semua yang mendoakan kami sekeluarga,” titah baginda.
Dalam hantaran sama, baginda turut memperkenalkan nama puteri sulung mereka iaitu Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah, sebuah nama yang dipilih dengan penuh makna dan melambangkan keindahan warisan Melayu.
Susulan itu, nama Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah kemudiannya menjadi perhatian ramai apabila warga internet memuji pemilihan nama tersebut yang disifatkan mempunyai elemen Melayu klasik, lembut serta penuh kesopanan.
Sementara itu, di ruangan komen media sosial rasmi Raja Muda Selangor turut dipenuhi ucapan tahniah dan doa daripada rakyat serta kenalan yang mendoakan agar puteri sulung baginda membesar dengan sihat, menjadi anak yang solehah serta sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.
Untuk rekod, Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Oktober 2025. Pasangan diraja tersebut dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dengan disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Kelahiran Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah bukan sahaja membawa kegembiraan kepada keluarga diraja Selangor, malah turut diraikan rakyat yang mengikuti perkembangan institusi kesultanan negeri itu. Ramai berharap agar puteri sulung pasangan diraja berkenaan membesar sebagai insan berakhlak mulia, berilmu serta menjadi kebanggaan keluarga diraja dan rakyat Selangor.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sepanyol kembali bertakhta di pentas bola sepak dunia selepas menamatkan penantian selama 16 tahun untuk menjulang trofi Piala Dunia FIFA. Skuad La Roja muncul juara buat kali kedua dalam sejarah apabila menewaskan Argentina 1-0 menerusi aksi final yang penuh dramatik di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey pada Ahad (19 Julai).
Perlawanan akhir itu berlangsung dalam suasana penuh debaran apabila dua kuasa besar bola sepak dunia saling berbalas serangan sejak wisel permulaan dibunyikan. Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan menerusi corak hantaran pendek yang menjadi identiti mereka, manakala Argentina lebih berhati-hati dan menunggu peluang melakukan serangan balas pantas.
Jaringan tunggal Ferran Torres pada masa tambahan memastikan Sepanyol juara Piala Dunia sekali lagi, sekali gus menggagalkan impian Argentina untuk merangkul kejuaraan dunia yang keempat.
Kemenangan itu turut menamatkan impian Argentina untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2022, selain menafikan hasrat Lionel Messi untuk menutup kempen Piala Dunia dengan satu lagi trofi dunia.
Aksi Sengit Sepanjang 90 Minit
Sepanjang 90 minit waktu sebenar, kedua-dua pasukan gagal menemui sentuhan penyudah walaupun beberapa peluang keemasan berjaya dicipta. Lamine Yamal menjadi antara pemain paling menyerlah dengan beberapa gerakan berbahaya dari bahagian sayap, manakala Mikel Oyarzabal turut memaksa Emiliano Martinez bekerja keras mempertahankan gawang Argentina.
Penjaga gol Argentina itu sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai antara yang terbaik di dunia apabila melakukan beberapa aksi menyelamat penting.
Marc Cucurella juga hampir meletakkan Sepanyol di hadapan sebelum tamat separuh masa pertama, namun percubaannya sedikit tersasar daripada sasaran.
Argentina pula tidak sekadar bertahan. Juara bertahan itu beberapa kali melancarkan serangan balas yang hampir menghukum Sepanyol, namun disiplin benteng pertahanan La Roja berjaya mengekang setiap ancaman sehingga permainan terpaksa diheret ke masa tambahan.
Kad Merah Ubah Rentak Perlawanan
Detik penting perlawanan hadir seawal minit ke-93 apabila Enzo Fernandez dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran. Keputusan tersebut mengubah sepenuhnya corak permainan apabila Argentina terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain.
Kelebihan jumlah pemain dimanfaatkan sepenuhnya oleh Sepanyol yang terus meningkatkan tekanan ke atas kubu lawan. Serangan demi serangan dilancarkan sehingga pertahanan Argentina mula menunjukkan tanda-tanda keletihan.
Ferran Torres Muncul Wira Sepanyol
Ferran Torres muncul sebagai wira apabila menyempurnakan peluang terbaik perlawanan untuk menewaskan Emiliano Martinez. Jaringan itu mencetuskan sorakan gemuruh penyokong La Roja yang hadir memenuhi stadium, manakala pemain Argentina jelas kecewa selepas berhempas pulas mempertahankan gawang mereka sepanjang perlawanan.
Selepas mendahului, Sepanyol memperkemaskan benteng pertahanan sambil terus mengawal penguasaan bola. Argentina yang beraksi dengan 10 pemain cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun segala usaha mereka berjaya dipatahkan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan ini menyaksikan Sepanyol juara Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan bersejarah pada edisi 2010. Ia turut menjadi simbol kebangkitan generasi baharu La Roja yang dibarisi gabungan pemain muda berbakat dan tonggak berpengalaman.
Ferran Torres muncul sebagai nama paling diingati dalam final ini, namun kejayaan Sepanyol sebenarnya dibina menerusi persembahan mantap seluruh pasukan. Penguasaan bola yang konsisten, disiplin bertahan serta kesabaran mencari ruang akhirnya membuahkan hasil pada saat paling penting.
Bagi Argentina pula, kekalahan ini pastinya sukar diterima selepas mereka memberikan tentangan hebat sepanjang perlawanan. Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, semangat juang yang dipamerkan tetap wajar diberikan pujian.
Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan Sepanyol sebagai salah satu kuasa besar bola sepak dunia sekali gus menghadiahkan detik yang akan terus dikenang oleh penyokong La Roja di seluruh dunia.
Selain aksi sengit di atas padang, final kali ini turut mencipta sejarah sebagai perlawanan akhir Piala Dunia pertama yang memperkenalkan persembahan separuh masa ala Super Bowl. Persembahan itu diserikan oleh artis bertaraf dunia termasuk Madonna, BTS, Justin Bieber dan Shakira.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!