
Siapa sangka, penyanyi tersohor negara, Anuar Zain pernah berdepan detik awal yang cukup mencabar dalam dunia seni.
Meskipun kini berdiri gah dengan jenama sendiri, Anuar mengakui pernah dipandang sinis kerana sering membuat persembahan bersama kakaknya, Ziana Zain, ketika mula-mula bertatih dalam industri hiburan.
BACA: Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel Bersatu Di Pentas Empat Live In Kuala Lumpur!
Bercakap kepada Remaja ketika sidang media Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025
, Anuar berkata, ketika itu dia masih bertugas sebagai pramugara dan sebenarnya tidak begitu minat untuk menjadi penyanyi.“Saya pula selalu temani Ziana buat persembahan. Ketika itu, saya tidak minat menyanyi.
“Namun, saya terdengar kata-kata sinis, iaitu ada orang kasihan melihat saya terpaksa ‘menempel’ dengan kakak untuk jadi penyanyi.
“Ketika itu, saya dengar dan senyum kerana mulut orang tidak boleh ditutup. Saya pun tak simpan dalam hati,” ujarnya tenang.
Menurut penyanyi berusia 55 tahun itu, dia sedar pada ketika itu tidak ramai penyanyi lelaki yang benar-benar menyerlah di Malaysia.
“Dahulu tidak ramai penyanyi lelaki hebat di negara kita. Kita ada Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Amy Search, Zamani dan beberapa penyanyi lain,” katanya lagi.
Lebih matang dan tenang dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri, penyanyi lagu Lelaki Ini itu tetap berpegang kepada prinsip untuk tidak melayan sebarang tohmahan, terutamanya yang dilontarkan di media sosial.
“Apa yang orang tak cakap di media sosial? Macam-macam… Kadang-kadang saya tengok rakan-rakan saya suka menjawab dan membalas komen netizen.
“Bagi saya, tidak perlu layan atau baca… ‘Move on’ sahaja. Netizen kadang-kadang sengaja nakal hendak ‘cucuk’ sebab mahu tengok reaksi kita,” katanya lagi.
Anuar turut menitipkan nasihat buat peminat agar tidak melayan provokasi daripada kelab peminat artis lain kerana bimbang ia hanya akan menambahkan lagi ketegangan dalam kalangan penyokong.
Namun begitu, Anuar bersyukur kerana kebanyakan maklum balas yang diterima sepanjang penglibatannya dalam industri muzik masih positif dan memberi semangat untuk terus berkarya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.