
Baru saja dilantik sebagai duta salah satu jenama barangan kemas, pelakon terkenal, Anna Jobling baru-baru ini sempat menitipkan pesanan kepada golongan wanita agar sentiasa berhati-hati semasa menggayakan perhiasan berharga.
Ini berikutan kejadian samun barangan kemas yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan menurut Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman (25), semua pihak perlu mengambil peringatan dan iktibar terhadap perkara ini.
“Sejak dulu lagi dah ada kes-kes macam itu, namun kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Bagi saya, kita kena tengok kita pergi mana dulu”
“Kita juga tak ‘familiar’ dengan tempat itu, orang kat situ macam mana. Di Malaysia pun sama kita kena tengok tempat. Jangan pergi tempat yang mungkin kamu rasa tak selamat bila pakai barangan kemas,” jelasnya.
Menurut pelakon filem Lembayung itu, semua perkara perlu dilihat pada situasi dan masa.
“Ia bergantung. Sebenarnya tak kisah tempat pun. Ada saja tempat yang mungkin kita rasa orang tak akan buat apa-apa tapi sebenarnya boleh kena juga”
“Jadi, elakkan jalan seorang diri, di tempat gelap dan tempat yang kamu rasa tak selamat,” ujarnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita penjual sambal, Norshamira Zainal (37) mati dibunuh semasa melakukan penghantaran sambal kepada seorang pelanggan yang didakwa sebagai pembunuhnya.
Difahamkan, allahyarham ketika itu memakai barangan kemas iaitu gelang emas yang dianggarkan bernilai RM30,000.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.