
Penyanyi popular, Taylor Swift atau nama sebenarnya Taylor Alison Swift (37) baru-baru ini dikhabarkan bakal melangsungkan perkahwinan bersama bintang NFL, Travis Kelce dalam sebuah majlis yang dikatakan berlangsung selama dua hari di New York City, Amerika Syarikat, dengan konsep sambutan tertutup dan juga majlis berskala besar.
Memetik laporan The New York Times, pasangan tersebut difahamkan memilih Madison Square Garden sebagai lokasi utama acara, di mana hari pertama dijangka lebih intim melibatkan sekitar 100 tetamu, sebelum disusuli majlis resepsi besar-besaran pada hari berikutnya.
Dalam pada itu, sumber yang sama turut menyatakan bahawa hari kedua sambutan tersebut akan menyaksikan kehadiran tetamu yang jauh lebih ramai, dianggarkan antara 1,000 hingga 2,000 orang, menjadikan ia antara acara selebriti paling besar pernah dianjurkan di lokasi ikonik berkenaan.
Difahamkan, Swift dan Kelce mula menjalinkan hubungan pada tahun 2023 sebelum bertunang pada musim panas tahun lalu selepas hampir dua tahun mengenali antara satu sama lain secara lebih rapat.
Sebelum ini, terdapat pelbagai spekulasi mengenai lokasi perkahwinan mereka termasuk Rhode Island, namun dakwaan tersebut telah dinafikan. Walau bagaimanapun, beberapa individu dilihat berada di kediaman Swift di negeri itu baru-baru ini, sekaligus mencetuskan andaian ia mungkin lokasi bagi majlis pra-perkahwinan seperti ‘bachelorette party’.
BACA: Akhirnya Bahagia! Taylor Swift Bergelar Tunangan Travis Kelce Dengan Cincin Bernilai…
Sementara itu, jika benar Madison Square Garden menjadi lokasi rasmi, Swift tidak mempunyai masalah daripada segi kewangan untuk merealisasikannya. Ini kerana penyanyi yang popular menerusi lagu hit seperti
Love Story, Cruel Summer, Fortnight dan Wildest Dream itu kini berada pada kedudukan sangat kukuh dalam industri muzik global.Untuk rekod, Taylor Swift kini memiliki nilai kekayaan bersih sekitar AS$2 bilion pada Mac 2026, sekaligus mengekalkan statusnya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri hiburan dan muzik dunia hasil kejayaan luar biasa jelajah konsert Eras Tour serta strategi perniagaan semula rakaman katalog muziknya.
Penyanyi itu sebelum ini berjaya mengukuhkan kawalan terhadap hasil karya muziknya sendiri selepas mengambil langkah merakam semula beberapa album lamanya yang memberi kesan besar terhadap aliran pendapatan serta hak miliknya sebagai artis.
Sumber: The New York Times
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.