
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga terbaru bagi petrol RON95 akan ditetapkan pada RM1.99 seliter bermula 30 September ini untuk warganegara Malaysia melalui inisiatif BUDI95.
Menurut Datuk Seri Anwar berkata, lebih 16 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada langkah ini dan pengumuman berkenaan dibuat semasa Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri.
“Semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi RON95 ini,” katanya.
BACA: Harga RON95 Diturunkan Kepada RM1.99 Seliter, Pastikan Cip MyKad Anda Berfungsi
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa bukan warganegara dan syarikat besar tidak lagi layak menerima subsidi RON95. Selain itu, bermula tarikh yang sama, harga petrol tersebut untuk golongan ini ditetapkan pada RM2.60 seliter.
“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.” jelas beliau.
Selain dari itu, Perdana Menteri juga mengumumkan penjadualan khas untuk penawaran subsidi ini bagi mengelakkan kesesakan. Warga polis dan tentera akan menikmati harga RM1.99 bermula 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerimanya sehari kemudian pada 28 September.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar sempat menegaskan subsidi ini diberikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengambil kira tahap pendapatan, sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada rakyat.
Langkah ini sekaligus memperkukuh peranan BUDI95 sebagai inisiatif kerajaan untuk memastikan kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan, selain meraikan semangat kebersamaan dalam sambutan bulan kebangsaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.