Perdana Menteri Arah KPT Salur Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Kemalangan Libatkan Pelajar UPSI

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa kemalangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan insiden menyayat hati itu sebagai satu pengajaran buat semua agar lebih berhati-hati di jalan raya dan tidak terburu-buru mengejar destinasi.

BACA JUGA: 15 Pelajar UPSI Maut, Bas Bertembung Dengan MPV

“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya.

Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa, dan mendoakan mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan berat itu.

“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar,” katanya lagi.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, menyebabkan bas berkenaan terbalik.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath