Berita

Peperiksaan SPM 2025: Musim Tengkujuh Tak Halang Semangat Pelajar Seluruh Negara

Share

Peperiksaan SPM 2025 bermula hari ini mengikut jadual di seluruh negara, termasuk di negeri yang sedang berdepan situasi banjir, selepas pelbagai langkah kesiapsiagaan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Musim peperiksaan ini menjadi detik paling penting buat pelajar tingkatan lima, menguji bukan sahaja ilmu tetapi juga ketahanan emosi mereka.

Seramai 413,372 calon memulakan peperiksaan bertulis dengan kertas Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, sekali gus menandakan permulaan rasmi peperiksaan utama yang ditunggu sejak awal tahun lagi. Para calon dilihat hadir seawal pagi dengan semangat yang tinggi meskipun berdepan ketidaktentuan cuaca.

CALON SPM mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan bertulis SPM 2025 di SMK Kiaramas, Kuala Lumpur. FOTO Raihana Mansor

Persiapan Awal Demi Peperiksaan SPM 2025

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata walaupun peperiksaan kembali diadakan pada penghujung tahun ketika musim tengkujuh, persiapan rapi telah dibuat untuk memastikan kelancaran peperiksaan.

“Alhamdulillah, hari ini bermula peperiksaan bertulis SPM 2025. Kita kembali kepada jadual asal seperti zaman dahulu walaupun berhadapan musim tengkujuh,” katanya ketika meninjau hari pertama peperiksaan di SMK Putrajaya Presint 11(1).

Bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

Ops Payung & Pelan Kontingensi Bantu Calon

KPM mengaktifkan penyelarasan melalui Ops Payung bersama pelbagai agensi keselamatan termasuk NADMA bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada calon dan petugas peperiksaan yang terjejas akibat banjir.

Semua Pengarah Pendidikan Negeri turut mengesahkan bahawa peperiksaan berjalan seperti dijadualkan berdasarkan laporan yang diterima seawal jam 6.30 pagi.

Selain itu, simulasi pengurusan peperiksaan dalam situasi banjir pernah dijalankan di Kuala Terengganu pada September lalu. Simulasi tersebut bertujuan mengenal pasti risiko sebenar, menguji persediaan pusat peperiksaan berisiko serta memastikan keselamatan calon.

KPM juga bergantung kepada laporan cuaca harian daripada MetMalaysia untuk menyelaras penghantaran kertas soalan, pergerakan calon serta menjamin keselamatan guru pengawas di lokasi berisiko.

Profil Calon Peperiksaan SPM 2025

Daripada lebih 413 ribu calon tersebut:

  • 358,817 calon (87%) dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
  • 8,051 calon (1.9%) dari sekolah agensi kerajaan selain KPM seperti MRSM, Maktab Tentera Diraja dan Sekolah Perantis Tentera.
  • 6,676 calon (1.6%) dari sekolah menengah agama negeri.
  • 13,836 calon (3.3%) dari sekolah swasta berdaftar.
  • 23,741 calon (5.7%) calon persendirian.
  • 2,251 calon (0.5%) dari Sekolah Menengah Agama Rakyat.

Semangat Pelajar Tetap Kental

Walaupun ada calon berada di kawasan banjir dan terpaksa berpindah ke pusat peperiksaan alternatif, semangat mereka tetap tinggi. Ada yang bangun lebih awal untuk bergerak melalui laluan yang lebih selamat, dan ada yang sempat mengulang kaji dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Semua usaha itu dilakukan demi masa depan yang lebih cerah.

Semangat inilah yang sering menjadi kekuatan calon SPM setiap tahun walaupun diuji dengan cabaran, tekad terus mendorong mereka melangkah ke dewan peperiksaan. Guru-guru turut memainkan peranan besar memberikan sokongan moral serta memastikan semua calon hadir dalam keadaan bersedia.

Ucapan Semangat Buat Calon Peperiksaan SPM 2025

Majalah Remaja mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan kepada semua calon SPM 2025. Teruskan fokus, jaga kesihatan, dan percayalah pada usaha sendiri. Setiap langkah kecil anda hari ini menentukan masa depan yang lebih luas dan cerah.

Good luck, calon SPM! Korang boleh!

BACA LAGI : SPM 10 Kali & STPM 2 Kali, Akhirnya Abang OKU Ini Bergelar Guru Pada Usia 37 Tahun

Sumber : Harian Metro

Published by
Nana