
Penyanyi legenda Amerika Syarikat, Connie Francis, yang cukup dikenali menerusi lagu viral TikTok, Pretty Little Baby, disahkan meninggal dunia pada usia 87 tahun. Pemergian beliau pada malam Rabu (waktu Los Angeles) disahkan sahabatnya, Ron Roberts, yang juga Presiden syarikat rakaman Concetta Records.
“Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, saya ingin memaklumkan tentang pemergian sahabat tersayang saya, Connie Francis, malam tadi,” tulis Ron dalam satu hantaran di Facebook.
Connie Francis sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat kesakitan pelvis yang berpunca daripada patah tulang. Ketika menerima rawatan, beliau turut didiagnos menghidap jangkitan kuman dalam paru-paru (pneumonia), yang semakin merumitkan keadaannya.
Walaupun sempat memberikan kemas kini positif sempena Hari Kemerdekaan AS pada 4 Julai lalu menyatakan dirinya semakin sihat selepas berehat namun dua hari kemudian, beliau dimasukkan semula ke hospital. Mendiang sempat berkongsi kepada peminat bahawa dirinya sedang menjalani beberapa pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti punca kesakitan.
Connie Francis bukan sekadar penyanyi biasa. Namanya cukup gah sekitar era 60-an dengan lagu-lagu cinta yang malar segar dan menyentuh jiwa. Antara karya yang melonjakkan namanya termasuk:
Pretty Little Baby
Stupid Cupid
Who’s Sorry Now
Namun, menariknya, lagu Pretty Little Baby yang dirakam pada tahun 1962 kini kembali menjadi siulan generasi baharu selepas ia tular di TikTok, 63 tahun selepas diterbitkan. Ia membuktikan bahawa muzik yang jujur dan penuh emosi sentiasa mampu menyentuh hati walau zaman berganti.
Ramai pengguna TikTok dan media sosial meluahkan rasa sedih mereka terhadap pemergian Connie Francis. Meskipun ramai yang hanya mengenali beliau melalui audio yang digunakan dalam video viral, namun aura suara dan gaya nyanyiannya yang unik berjaya mencuri perhatian dan hati generasi Gen Z.
“Selamat tinggal, Connie. Suaramu akan terus mengalun di hati kami.” 💐🕊️
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.