Berita

Thaipusam: Jalan Sekitar Batu Caves Ditutup, Orang Ramai Disaran Rancang Perjalanan Lebih Awal

Share

Kalau korang ada urusan sekitar Batu Caves pada hujung minggu ini, seeloknya rancang perjalanan dengan lebih awal. Hal ini kerana beberapa jalan utama di kawasan Batu Caves, Gombak akan ditutup sempena sambutan Thaipusam bermula 30 Januari hingga 3 Februari.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Polis Selangor pada 29 Januari, penutupan jalan akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada keadaan trafik semasa bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sambutan perayaan berkenaan.

Difahamkan, penutupan bermula seawal jam 1 pagi Jumaat, 30 Januari sehingga penghujung Selasa, 3 Februari. Untuk pengetahuan, sambutan Thaipusam tahun ini jatuh pada hari Ahad, 1 Februari dan dijangka menarik kehadiran jutaan penganut Hindu serta pengunjung dari dalam dan luar kawasan Lembah Klang.

Kredit: Malaysia Gazette

Antara senarai jalan terlibat adalah seperti berikut:

  • Lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves
  • Susur dari arah MRR2 ke Kuil Batu Caves
  • Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves
  • Susur MRR2 dari Sri Gombak ke Jalan Perusahaan
  • Simpang tiga Jalan Seri Batu Caves 8 / Jalan Batu Caves Lama
  • Simpang tiga lampu isyarat Seri Batu Caves (hadapan Shell)
  • Jalan susur Batu Caves Bypass menghala ke pintu utama Kuil Batu Caves

Pada masa yang sama, pengguna jalan raya turut dinasihatkan untuk mengelakkan laluan utama seperti DUKE, NKVE, Jalan Kuching, Jalan Gombak dan Jalan Sungai Tua bagi mengurangkan kesesakan terutamanya dari arah Rawang dan Selayang.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan seramai 1,520 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal lalu lintas serta menjaga keselamatan awam sepanjang tempoh sambutan.

Kredit foto: IG wildlensstudio & astroulagam
Kredit foto: IG wildlensstudio & astroulagam

Beliau mengingatkan bahawa kawasan Kuil Batu Caves merupakan zon larangan dron. Oleh itu, sebarang pengendalian dron perlu mendapatkan kelulusan daripada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) terlebih dahulu, atau berdepan tindakan undang-undang.

Selain itu, bagi orang ramai yang ingin ke Batu Caves juga disaran supaya merancang perjalanan lebih awal, meletakkan kenderaan di kawasan yang dibenarkan serta sentiasa memastikan keselamatan diri dan kenderaan bagi memastikan kemeriahan sambutan Thaipusam berlangsung dengan lancar dan selamat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE