
- Pengakhiran yang membuatkan penonton tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku kepada Mimi Monira?
- Bagaimana pula dengan nasib Fasha yang memberanikan diri?
- Dan mengapa nama Linda pula dipetik oleh Mimi sehingga berulang kali?
Spoilers Ahead
Drama bersiri Impiana: Karma baru sahaja tamat ditayangkan pada akhir Januari lalu dan seperti diduga, pengakhiran jalan ceritanya telah meninggalkan seribu satu persoalan di kepala penonton yang setia mengikuti 22 buah episodnya selama ini.
Tidak hairanlah jalan ceritanya mampu membuatkan penonton terlopong mulut memandangkan buah akal watak utamanya, Mimi Monira (Ezzanie Jasny) sememangnya tiada kesudahan.
‘Api’ kemarahan yang dirasai Mimi untuk membalas dendam terhadap The Wannababes dan pelajar lain yang pernah membulinya sewaktu berada di Sekolah Menengah Seri Bangsar tidak pernah terpadam.
Meski setiap pelajar telah menginjak ke usia dewasa dan membawa haluan masing-masing, Mimi Monira tidak pernah berhenti merasa terseksa akibat perbuatan The Wannababes.
Akhirnya, Mimi mempergunakan syarikat Impiana milik seorang Datuk untuk membalas dendam terhadap mereka yang berharap kepada Impiana untuk menunaikan impian mereka. Ini termasuklah Linda (Tiz Zaqyah), Diana (Adriana Adnan), Shasha (Yuna Rahim), Nana (Sharifah Haneesya), Paie (Syazwan Razak) dan Fahrin (Lorenzo Irmann) serta isterinya, Farah (Aprena Manrose).

Impiana Sudah Lumpuh, Apa Lagi Yang Mimi Nak?
Episod akhir Impiana: Karma bermula dengan pertemuan Mimi dan Fasha Tan Sri Hisham (Che Puan Juliana Evans) dengan harapan agar Mimi menghentikan semua perbuatan dendam kesumatnya selama ini dan lepaskan kesemua rakannya pergi.
Namun, Mimi mengingatkan bahawa tempoh perlaksanaan ‘impian’ (baca: penyeksaan) untuk Nana dan Paie masih belum mencukupi tiga bulan.
Nana masih terperangkap sebagai tahanan penjara wanita manakala Paie juga dalam tahanan selepas ‘dikambing hitamkan’ terbabit dalam kemalangan maut yang menyebabkan kematian ibu bapa Linda.
Mimi kerap kali mengulang impiannya untuk melihat musuh-musuhnya itu hidup dalam satu penyeksaan.
**Adakah Mimi Monira juga salah seorang yang mendaftarkan diri ke dalam syarikat Impiana selama ini dan bukannya bekerja dengan syarikat misteri tersebut? Hm…
Fahrin Hilang, The Wannababes Pula Jumpa Mimi Depan-Depan
Dalam pada itu, Fahrin terus menjadi mangsa Impiana apabila dilaporkan hilang daripada hospital tanpa sebarang rekod. Malah, isterinya Farah juga tidak tahu-menahu mengenai keberadaan Fahrin.
Ia merupakan satu lagi muslihat Mimi untuk menunaikan keinginannya untuk berjumpa Fasha seorang diri.
Sewaktu pertemuan kedua mereka itu, Fasha memohon agar Mimi berhenti menyeksa mereka semua. Segala hukuman yang telah dihadapi The Wannabes selama ini sudah cukup bagi membalas semula penderitaan yang dihadapi Mimi ketika di sekolah.
Namun buat Mimi, itu semua tidak dapat membalas seksanya perasaan beliau yang kehilangan Shazle, seorang pelajar lelaki berbadan gempal yang menjadi rakan baik Mimi dahulu.
“Dia satu-satunya manusia yang boleh terima aku seadanya!”

Fasha mengingatkan Mimi terhadap perbuatannya sendiri yang menyeksa Fahrin dan isteri, mengakibatkan ibu bapa serta tunang Linda maut dalam kemalangan maut, memastikan Puan Liza (Zarynn Min) ditahan atas tuduhan penipuan wang sumbangan dan mengakibatkan Nana serta Paie dipenjarakan.
Fasha Tidak Ditinggalkan Keseorangan Diri
Sewaktu emosi semakin memuncak, Amir (Nas-T) muncul dengan pistol dan mengarahkan Mimi menjauhkan diri daripada Fasha. Namun perancangan Mimi lebih kalis peluru (pun intended) apabila menjadikan Fahrin yang berkerusi roda sebagai tebusan.
Mimi memaksa Fasha mengikutnya ke dalam bangunan tinggalan sementara Amir menyelamatkan Fahrin yang berada dalam tahanan.
Little did she know, The Wannababes (Linda, Diana, Syasya) turut senyap-senyap mengekori Fasha sejak dari rumah demi memastikan rakan baik mereka itu terselamat.
Debat yang berlaku antara Mimi dan The Wannababes membuatkan penonton sedikit tersentuh apabila Mimi kelihatan amat terseksa dengan kisah silamnya. Disebabkan tidak diterima dalam kalangan rakan sekolah dan mereka di rumah, Mimi selalu menyoal kejadian Tuhan seperti yang tidak dilahirkan cantik dan sempurna seperti The Wannababes.
(Satu ketika, Mimi merasakan lebih beruntung menjadi seekor kucing yang tetap disayangi walaupun berbadan besar).
Bukan hanya keadaan fizikal Mimi yang membuatkannya kurang yakin, situasi hidupnya yang keseorangan selama ini menjadikannya tertekan.

Monolog panjang Mimi itu tanpa disedari membuatkannya alpa dengan keadaan bangunan tinggalan itu yang tidak berdinding. Mimi akhirnya terjatuh…
Adakah Mimi Benar-Benar Sudah Maut?
…namun tangannya sempat digarap oleh Fasha serta The Wannababes yang lain.
“Selagi kita masih hidup, ada masa nak berdamai. Berdendam tak bawa kebaikan. Kasih sayang boleh ubat luka hati kau.” – Fasha
Misi untuk menyelamatkan Mimi itu bagaimanapun tidak berjaya apabila Mimi memilih untuk melepaskan genggaman tangan Fasha.
Agak pelik juga apabila jasad Mimi – yang sempat memohon maaf kepada mereka berempat sebelum terjatuh ke bawah – tidak berjaya ditemui walaupun dua minggu sudah berlalu sejak kejadian tragik itu.


Dalam masa yang sama, pembedahan mata Linda berjalan dengan lancar apabila penglihatannya kembali beransur pulih biarpun sekadar boleh melihat dalam warna monokromatik hitam, putih dan kelabu.
Kejadian yang berlaku kepada Linda selama ini telah mengajar Linda untuk bersyukur walaupun keinginannya tidak 100 peratus tercapai.
Sementara itu, kesemua kegiatan Impiana terhenti apabila operasinya berada dalam pemerhatian pihak polis yang diketuai oleh Amir.
Ternyata, kelompok Impiana dan pemiliknya yang bergelar Datuk itu masih tidak terkesan dengan apa yang berlaku kepada Mimi. Sebaliknya mereka dan fikiran ‘delulu’ mereka ingin kembali beroperasi setelah keadaan bertambah reda.

Pulau Apakah Itu?
Sebulan berlalu dan The Wannabes kembali menemui rakan-rakan sekolah [termasuklah Amir dan Qamil (Jay Iskandar)] di majlis akikah anak Fahrin dan Farah.
Kes melibatkan syarikat Impiana mungkin semakin selesai (hanya Nana dan Faezal sahaja yang masih berada dalam tahanan). Namun, Fasha tetap berdegil untuk membantu membatalkan ‘impian’ mereka berdua daripada Impiana.

Kesannya, The Wannababes menerima satu video daripada nombor rambang dan ia menunjukkan Mimi Monira masih hidup! Mimi menerusi paparan video itu memaklumkan misi dendamnya masih belum berakhir.
“Mimi is back, hi Wannababes! Dunia baru korang akan tiba tak lama lagi…”



Ternyata, keinginan Mimi untuk memastikan hidup mereka kucar-kacir tidak boleh dihentikan daripada insiden maut. Mungkin sekali ia sebahagian daripada perancangan awal Mimi yang inginkan The Wannabes hancur walaupun jika tidak lagi bernyawa lagi.
Mungkin juga Mimi sememangnya belum mati dan Impiana telah memastikan Mimi terselamat di bangunan tinggalan tersebut.
Apa jua yang sebenarnya berlaku kepada Mimi, video yang dihantarkan kepada Linda turut memperlihatkan sebuah pulau kosong yang mencetuskan tanda-tanya.

Di akhir episod ini, Mimi menjelaskan bahawa pulau itu adalah lokasi ibu bapa Linda dan tunang Linda dipenjarakan selama ini! Rupa-rupanya, mereka bertiga masih bernyawa namun berada dalam tahanan yang cukup menyeksakan.
Adakah ‘cliffhanger’ ini memberi bayangan bahawa musim kedua Impiana: Karma sedang dalam pembikinan? Sama-sama kita nantikan.
Strim lebih, jimat lebih dengan Astro One: Epic Pack. Dari RM159.99/bulan, nikmati 140+ saluran, sukan LIVE serta 8 aplikasi penstriman popular seperti Netflix, Disney+, iQIYI, BBC Player dan banyak lagi. Memang puas hati sekeluarga!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












