Penjawat Awam ‘Masyuk’ Dapat Duit Raya, Ayah Ibu Yang Bersara Turut Sama

Share

Saban tahun, musim perayaan Hari Raya Aidilfitri amat dinanti-nantikan oleh penjawat awam di seluruh negara dek kerana bantuan khas kewangan yang bakal diserahkan oleh kerajaan.

Biarpun ekonomi dikatakan sedikit suram akibat pandemik Covid-19, tahun 2021 tidak terkecuali daripada pemberian tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak kerajaan bersetuju memberikan ‘duit raya’ sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Buat golongan ibu bapa kita yang bergelar pesara kerajaan pula, bantuan RM250 akan disalurkan.

Kedua-dua pemberian kepada kira-kita dua juta rakyat Malaysia ini adalah demi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam berkhidmat kepada rakyat terutamanya semasa negara berdepan tempoh yang mencabar ini.

Ia akan mula diagihkan seiring dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021. Pembayaran awal ini dilakukan agar rakyat dapat melakukan persediaan secukupnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 13 Mei ini.

Disamping itu, ia juga dilihat sebagai pemangkin semangat buat penjawat awam untuk terus memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan mereka sebelum cuti perayaan dan pada bulan-bulan seterusnya.

IKLAN