
Penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih dikenali sebagai Nubhan, dijangka hadir ke Mahkamah Syariah Sepang pada Khamis esok bagi prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Menurut laporan media tempatan, sumber terdekat pasangan tersebut memaklumkan bahawa permohonan pengesahan lafaz cerai telah difailkan oleh Nubhan pada awal bulan lalu selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga. Prosiding esok merupakan sesi pertama bagi pengesahan lafaz talak berkenaan.
“Setakat yang saya dimaklumkan, esok merupakan prosiding bagi pengesahan lafaz talak yang difailkan Nubhan di Mahkamah Syariah Sepang. Bila lafaz cerai itu dibuat kena tanya kepadanya. Mereka berdua akan hadir bersama peguam masing-masing,” kata sumber berkenaan yang enggan dikenali.
Apabila ditanya mengenai punca permohonan cerai tersebut, sumber berkenaan enggan mengulas lanjut namun memaklumkan bahawa pasangan itu kini sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak Ogos lalu.
“Mereka sudah tinggal berasingan. Tiga anak mereka yang kesemuanya masih kecil kini berada di bawah jagaan isterinya,” jelasnya lagi.
Sementara itu, peguam yang mewakili Dr. Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader, turut mengesahkan bahawa anak guamnya akan hadir ke mahkamah esok bagi prosiding sebutan pertama kes berkenaan.
“Saya difahamkan suami kepada anak guam saya melafazkan talak ketika mereka berdua berada di dalam kereta sekitar akhir Ogos tahun ini,” katanya.
Walaupun begitu, Datuk Akberdin menjelaskan bahawa keputusan pengesahan cerai mungkin tidak akan dibuat serta-merta kerana biasanya mahkamah akan menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum mengesahkan perceraian.
“Saya tak pasti sama ada hakim akan beri keputusan atau mengesahkan perceraian mereka esok kerana biasanya perlu ada siasatan dulu. Punca diceraikan, kita tunggu sahaja esok,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Datuk Akberdin, yang juga peguam syarie terkenal, pernah mewakili beberapa selebriti tanah air termasuk Puteri Sarah Liana, Diana Danielle, Hafidz Roshdi, Sharnaaz Ahmad serta Harith Islander dan bekas isterinya, Dr. Jezamine Lim.
Untuk makluman, Nubhan dan Afifah Hidayah yang juga seorang doktor gigi telah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aafiya (8), Ahmad Aaffan (6) dan Afzan Nayille (3).
Perkembangan kes pengesahan lafaz cerai Nubhan ini pastinya akan menjadi tumpuan ramai memandangkan pasangan ini pernah menjadi antara pasangan selebriti yang mendapat perhatian peminat dunia hiburan tanah air.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.