
Industri anime dunia kehilangan seorang figura besar apabila pengarah terkenal Jepun, Tsutomu Shibayama, dilaporkan meninggal dunia pada usia 84 tahun.
Menurut pengesahan daripada studio miliknya, Ajiado, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 6 Mac 2026 selepas bertarung dengan kanser paru-paru.
Berita pemergian beliau hanya diumumkan pada 17 Mac (semalam) selepas satu upacara pengebumian tertutup yang dihadiri oleh ahli keluarga terdekat.
Dalam masa sama, pihak keluarga memaklumkan satu majlis memperingati mendiang akan diadakan pada tarikh lain, namun butiran lanjut masih belum diumumkan.
Nama Shibayama cukup sinonim dengan siri anime popular, Doraemon, apabila beliau mengarahkan filem francais tersebut selama lebih 20 tahun.
Beliau turut memegang peranan sebagai pengarah utama bagi versi televisyen anime berkenaan. Antara karya terakhirnya sebagai pengarah Doraemon ialah filem Doraemon the Movie: Nobita in the Wan-Nyan Spacetime Odyssey yang ditayangkan pada tahun 2004.
Dilahirkan pada 9 Mac 1941, Shibayama merupakan pengasas bersama Ajiado pada tahun 1978 sebelum dilantik sebagai presiden dan CEO studio tersebut.
Selain Doraemon, beliau juga mengarahkan beberapa karya terkenal lain seperti Chibi Maruko-chan dan Nintama Rantaro. Malah, beliau turut mengarah versi asal tahun 1989 bagi Ranma 1/2.
Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya, beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di
Tokyo Anime Award Festival pada tahun 2018.Pemergian beliau memberi kesan mendalam kepada peminat di seluruh dunia. Ramai berkongsi mesej penuh emosi serta mengucapkan terima kasih atas karya Doraemon yang menjadi sebahagian besar zaman kanak-kanak mereka.
Tidak kurang juga yang mengimbau kenangan menonton siri tersebut secara konsisten dan menyifatkan hasil karya Shibayama sebagai sumber kegembiraan serta memori indah yang kekal hingga kini.
Walaupun telah pergi, Tsutomu Shibayama meninggalkan legasi yang cukup besar dalam industri anime.
Karya-karya beliau akan terus hidup dan disayangi oleh peminat dari pelbagai generasi di seluruh dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.