Berita

Pendaftaran Kad SIM Diperketat: Langkah Baharu MCMC Lindungi Keselamatan Digital Rakyat Malaysia

Share

Pendaftaran Kad SIM Diperketat Untuk Kawal Jenayah Siber

Pendaftaran kad SIM diperketat! Lepas ini hanya dua nombor prabayar setiap telco sahaja untuk rakyat Malaysia. Langkah baharu yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengawal penyalahgunaan nombor telefon untuk tujuan jenayah siber dan penipuan dalam talian.

Garis Panduan Baharu MCMC Hadkan Dua Nombor Prabayar

Menurut laporan Kosmo Online, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang meneliti garis panduan baharu yang mengehadkan setiap individu warga Malaysia hanya boleh memiliki maksimum dua nombor prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi (telco). Manakala bagi warga asing, mereka hanya dibenarkan memiliki dua nombor prabayar sahaja tanpa mengira telco yang digunakan.

Cadangan ini dijangka dilaksanakan pada suku pertama tahun depan, menggantikan garis panduan sedia ada sejak 2017 yang membenarkan individu mendaftar sehingga lima nombor prabayar bagi setiap telco. Menurut Nie Ching, jumlah itu terlalu besar dan boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan nombor bagi aktiviti haram seperti penipuan, penyebaran maklumat palsu dan ugutan.

Peraturan Baharu Demi Keselamatan Digital Pengguna

Beliau menjelaskan, peraturan baharu ini penting bagi memastikan keselamatan digital pengguna dan memudahkan pihak berkuasa menjejaki identiti sebenar pemilik nombor yang terlibat dalam aktiviti mencurigakan. Langkah pendaftaran kad SIM diperketat ini juga menyokong usaha kerajaan memperkukuh keselamatan siber negara.

MCMC Perangi Kandungan Palsu dan Deepfake

Dalam masa sama, MCMC juga melaporkan peningkatan besar dalam jumlah kandungan palsu dan ‘deepfake’ di media sosial. Dari 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober 2025, sebanyak 3,074 permohonan dibuat untuk menurunkan kandungan deepfake dan lebih 46,000 kandungan palsu telah berjaya dipadamkan.

gambar via pexels

Kajian Pengesahan Umur dan Identiti Dalam Talian

Selain memperketat pendaftaran kad SIM, MCMC kini turut mengkaji kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna di platform dalam talian bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pendedahan kepada kandungan berbahaya. Langkah ini juga dapat membantu mengurangkan penipuan dalam talian melibatkan perniagaan dan akaun palsu.

Kesan Kepada Pengguna Aktif dan Peniaga Muda

Bagi anak muda yang aktif berniaga atau menggunakan lebih daripada satu talian, peraturan baharu ini mungkin sedikit menyulitkan, tetapi tujuannya jelas — melindungi keselamatan digital rakyat Malaysia. Dalam dunia serba pantas dan penuh risiko siber hari ini, setiap pengguna perlu lebih bijak menjaga data peribadi dan memastikan identiti mereka tidak disalahgunakan.

Keselamatan Digital Adalah Tanggungjawab Bersama

Jadi, sebelum daftar nombor baharu, semak dulu berapa kad SIM prabayar yang sudah didaftarkan atas nama anda. Pendaftaran kad SIM diperketat ini bukan sekadar langkah kawalan, tetapi usaha bersama memastikan keselamatan digital menjadi keutamaan semua.

Keselamatan digital bukan lagi pilihan, tapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.

Published by
Nana