
Sempena sambutan Hari Puja Usia Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah pada 17 Februari lepas, sebuah lukisan eksklusif bertatah emas tulen dan batuan kristal Swarovski telah dihasilkan oleh seorang anak jati Kelantan.
Jejaka berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Muhammad Darwisy Mustafani itu melakar sejarah apabila air tangan berseni beliau telah menarik minat ahli kerabat diraja Brunei tersebut.
Pada 13 November 2025, dia telah menerima mesej menerusi aplikasi Instagram daripada pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk menghasilkan lukisan berkenaan.
Awalnya, Darwisy yang berasal dari Pantai Cahaya Bulan, Kelantan telah dimaklumkan sebagai cadangan pelukis pada saat akhir lalu membuatkannya tidak meletakkan harapan yang tinggi.
Tempoh dua minggu menunggu akhir membuahkan hasil apabila pegawai yang sama menghubungi semula Darwisy untuk memaklumkan dia terpilih bagi menghasilkan lukisan potret Putera Mahkota Brunei sempena sambutan Hari Puja Usia baginda.
Difahamkan, Darwisy melukis potret separa badan Pengiran Muda Mahkota menggunakan cat akrilik di atas Kain Jong Sarat Tenunan Asli Brunei dengan corak Silubang Bangsi sebagai latar belakang potret itu.
Menariknya, Darwisy yang merupakan bekas pelajar jurusan seni bina hanya diberi masa kira-kira 20 hari untuk menyiapkan lukisan; satu tempoh masa yang secara signifikan lebih pendek berbanding tempoh masa sebulan setengah yang selalu diperlukannya untuk menyiapkan satu lukisan.
Oleh itu, Darwisy tidak mempunyai pilihan melainkan bekerja tanpa henti bangi menyiapkannya.
Menurut kenyataannya kepada Sinar Harian sewaktu dihubungi, dia hanya berkesempatan tidur selama sejam sehari pada tiga hari terakhir dia menyiapkan lukisan berkenaan.
Hasilnya, Darwisy berjaya juga menghasilkan lukisan tersebut di mana ia ditaburi 1,000 batuan kristal Swarovski hitam. Selain itu, dia turut memotong 20 keping emas wafer 999 menjadi 52 kepingan kecil sebagai lambang usia Pengiran Muda Mahkota.
Setibanya Darwisy di Brunei untuk menghantar sendiri lukisan itu untuk diserahkan kepada Pengiran Muda Mahkota, anak muda ini berpeluang menghadiri sesi sembah kenal sebelum menghadiri majlis santapan bersama baginda.
Daripada ruang Istana, baginda berkenan agar lukisan itu dipindahkan ke pejabat baginda di Jabatan Perdana Menteri Brunei di mana baginda berkhidmat sebagai seorang Menteri Kanan.
Terdahulu, Darwisy pernah menghasilkan empat buah lukisan untuk dipamerkan di ruangan Istana termasuklah di Istana Negeri Pahang pada Januari 2026, di Istana Negeri Kedah pada November 2025, di Istana Negeri Selangor pada 5 Julai 2025 dan di di Istana Negara pada akhir Oktober 2024.
Selain itu, antara pelanggan Darwisy yang menempah projek komisyen termasuklah penyanyi Ernie Zakri yang menerima potret wajahnya pada kain songket.
Tahniah anak muda!
SUMBER: Sinar Harian
FOTO: Facebook // Muhammad Darwisy Mustafani