
Terbaru, Korea Selatan dikejutkan dengan penemuan mayat seorang pempengaruh media sosial, Yoon Ji-ah, di kawasan pergunungan Muju, Wilayah Jeolla Utara sehingga ia mencetuskan persoalan besar apabila polis mengesyaki pembunuhan yang dilakukan oleh individu berprofil tinggi dalam industri penstriman.
Memetik laporan media Korea Selatan, Yoon yang berusia dalam lingkungan awal 20-an dan memiliki lebih 300,000 pengikut di TikTok, ditemui tidak bernyawa pada 11 September lalu dam beliau dilaporkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas menamatkan siaran langsung terakhirnya dari Pulau Yeongjong, Incheon di mana lokasi yang terletak lebih tiga jam dari tempat mayatnya ditemui.
Dalam pada itu, bedah siasat mendapati punca kematian Yoon adalah akibat lemas disebabkan tekanan pada leher. Selain itu, mangsa turut mengalami lebam dan kecederaan fizikal lain yang menunjukkan tanda-tanda serangan, sekaligus menolak kemungkinan kematian secara tidak disengajakan.
Sementara itu, menurut susulan siasatan, seorang lelaki berusia 50-an dikenali sebagai Choi telah ditahan pada 13 September lalu. Rakaman kamera litar tertutup atau CCTV menunjukkan Choi memaksa Yoon masuk semula ke dalam sebuah kenderaan pada jam 3.27 petang hari kejadian sebelum beredar dari lokasi tersebut.
Choi sebelum ini memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat IT dan menggunakan nama samaran “Black Cat” di platform penstriman. Beliau juga dikenali sebagai penaja VIP yang sering terlibat dalam urusan perniagaan bersama beberapa pempengaruh, termasuk Yoon.
Pada masa yang sama, menurut laporan program penyiasatan SBS Curious Story Y, Choi dipercayai berada dalam tekanan kewangan dan cuba mengawal kerjaya Yoon melalui jadual serta arahan yang bersifat paksaan. Mangsa difahamkan mahu menamatkan hubungan kerja dengan suspek sebelum insiden itu berlaku.
“Dia kelihatan terdesak dan merayu agar Yoon tidak memutuskan hubungan perniagaan mereka,” kata salah satu sumber industri yang enggan dikenali.
Selepas kejadian, Choi dilihat membawa sebuah beg besar ke kawasan pergunungan dan berhenti di lapan lokasi berbeza, dipercayai bagi mengaburi siasatan pihak berkuasa. Walaupun pada awalnya menafikan penglibatan, beliau akhirnya mengaku selepas mengetahui mayat Yoon telah ditemui.
Kes ini kini masih dalam siasatan lanjut oleh pihak polis, yang sedang meneliti motif sebenar di sebalik kejadian tersebut. Tragedi ini turut membuka semula perbincangan mengenai keselamatan serta tekanan yang dihadapi oleh pempengaruh digital di Korea Selatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.