Berita

Pembelian Petrol Bersubsidi RON95 Lebih Fleksibel, Tidak Terikat Pada MyKad Sahaja – Datuk Armizan

Share

Terbaru, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali tampil menjelaskan bahawa pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 tidak hanya bergantung kepada penggunaan MyKad fizikal, namun sebaliknya akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran yang lebih fleksibel.

Menurut Datuk Armizan, rakyat tidak perlu risau jika menghadapi masalah menggunakan MyKad ketika membeli petrol bersubsidi kerana terdapat beberapa alternatif lain yang akan disediakan bagi memudahkan urusan tersebut.

BACA: Perdana Menteri Umum Harga Baru RON95, Warganegara Malaysia Boleh Nikmati RM1.99 Seliter Bermula 30 September Ini

Dalam pada itu, antara pilihan yang akan digunakan termasuklah aplikasi mudah alih yang sudah pun ditawarkan oleh syarikat minyak seperti Setel dan Shell App, yang membolehkan pengguna menikmati subsidi dengan lebih pantas dan mudah.

“Pengguna juga boleh menggunakan kaedah pembayaran di terminal pembayaran di luar atau di dalam stesen minyak untuk membeli petrol bersubsidi itu. Jadi, jangan khuatir, jangan anggap bahawa MyKad (fizikal) hanya satu-satunya kaedah,” katanya.

BACA: Harga RON95 Diturunkan Kepada RM1.99 Seliter, Pastikan Cip MyKad Anda Berfungsi

Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan meskipun kelayakan subsidi tetap disandarkan pada maklumat dalam MyKad, proses pembelian tidak akan terikat pada satu kaedah semata-mata.

Terdahulu, beliau hadir ke Konvensyen Mahasiswa Sabah yang berlangsung selama sehari dan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan kehadiran mahasiswa dari seluruh negeri.

Jelasnya lagi, kerajaan sudah membuat persiapan teliti sejak awal tahun ini bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah besar kepada pengguna.

Langkah ini juga dijangka memberi manfaat kepada rakyat dengan sistem yang lebih teratur, adil serta tidak membebankan, selain mengelakkan situasi seperti beratur panjang di stesen minyak.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE