Berita

Pembedahan Otak Robotik, Kejayaan Dunia Pertama Oleh Hospital King Faisal Riyadh

Share

Hospital Pakar dan Pusat Penyelidikan King Faisal (KFSHRC) di Riyadh mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan otak robotik pertama di dunia, sekaligus membuka lembaran baharu dalam bidang pembedahan saraf moden.

Pembedahan Otak Robotik Pertama Di Dunia

Dalam prosedur berimpak tinggi ini, pasukan pakar berjaya mengeluarkan tumor berukuran 4.5 sentimeter daripada otak seorang lelaki berusia 68 tahun yang mengalami sakit kepala teruk dan hilang tumpuan. Pesakit kemudian dibenarkan pulang dalam masa 24 jam — empat kali lebih cepat berbanding tempoh pemulihan selepas pembedahan otak konvensional.

Teknologi Robotik & Ketepatan Pembedahan

Menurut pakar bedah utama, Dr. Homoud Al-Dahash, yang juga perunding tumor pangkal tengkorak di KFSHRC, sistem robotik ini memberikan ketepatan dan kawalan luar biasa. Teknologi ini membolehkan pakar menavigasi struktur saraf dan saluran darah kritikal dengan tahap keselamatan yang tinggi, sesuatu yang sukar dicapai dalam kaedah manual tradisional.

“Pesakit keluar pada hari yang sama, sedar sepenuhnya dan tanpa sebarang komplikasi. Ini menjadi penanda aras baharu dalam inovasi pembedahan saraf,” katanya, menggambarkan revolusi sebenar dalam bidang neurosains moden.

Teknologi 3D & Navigasi Berpandu Imej

Pembedahan selama satu jam tersebut dijalankan menggunakan sistem optik 3D yang menawarkan visualisasi terperinci. Ia dibantu oleh teknologi navigasi berpandukan imej untuk memastikan penyingkiran tumor dilakukan dengan tepat tanpa menjejaskan kawasan otak penting. Pendekatan ini membolehkan pembedahan otak robotik mencapai kadar keselamatan dan keberkesanan yang belum pernah dicapai sebelum ini.

Transformasi Strategik

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KFSHRC, Dr. Majid Al-Fayyadh berkata bahawa kejayaan ini adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi strategik hospital ke arah menjadi peneraju global dalam perubatan berasaskan inovasi.

“Pencapaian ini mencerminkan peranan KFSHRC dalam membentuk masa depan perubatan dunia, selaras dengan visi kami untuk menjadikan inovasi dan penjagaan berpusatkan pesakit sebagai teras utama,” jelasnya.

Rekod Inovasi & Pengiktirafan Global

Kejayaan ini turut memperkukuh rekod antarabangsa KFSHRC yang sebelum ini mencipta sejarah dalam pemindahan jantung dan hati menggunakan teknologi robotik. Hospital ini terus menerima pelbagai pengiktirafan global sebagai antara pusat perubatan akademik terbaik dunia.

Menerusi kejayaan pembedahan otak robotik ini, Hospital King Faisal sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasa inovasi dan keselamatan pesakit, menjadikan Riyadh antara hab utama teknologi perubatan canggih di dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE