
Pelayaran sulung kapal persiaran patuh syariah IslamiCruise AROYA yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun 2026 kini ditunda susulan proses penyusunan semula laluan serta penstrukturan pakej perjalanan.
Menurut kenyataan rasmi IslamiCruise® International, keputusan penangguhan itu dibuat selepas penilaian terkini mendapati perlunya pelarasan jadual bagi memastikan perancangan pelayaran lebih sejajar dengan permintaan pasaran, selain mengambil kira musim cuti persekolahan.
Berikutan perkembangan tersebut, penjualan pakej pelayaran IslamiCruise AROYA telah dihentikan serta-merta dan tempahan baharu tidak akan dibuka sehingga jadual serta konfigurasi pakej baharu dimuktamadkan sepenuhnya.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan serta memastikan setiap pakej yang ditawarkan kelak memenuhi keperluan operasi dan pengalaman ibadah yang telah dirancang.
Pihak syarikat kini sedang mengadakan perbincangan lanjut bersama pemilik kapal AROYA Cruises bagi menetapkan tarikh pelayaran yang lebih sesuai dari segi operasi dan komersial.
Tarikh baharu pelayaran sulung IslamiCruise AROYA akan diumumkan selepas persetujuan rasmi dicapai antara kedua-dua pihak, melibatkan semua aspek teknikal dan logistik.
Untuk rekod, IslamiCruise AROYA sebelum ini mendapat perhatian meluas apabila diumumkan sebagai inisiatif umrah melalui kapal persiaran patuh syariah sepenuhnya, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di Asia yang memperkenalkan konsep tersebut.
Penganjur menegaskan bahawa penangguhan ini dibuat bagi memastikan pelaksanaan pelayaran dapat dijalankan dengan lebih tersusun, berintegriti dan bertanggungjawab.
Kapal persiaran IslamiCruise AROYA direka selaras dengan prinsip syariah, termasuk larangan aktiviti perjudian, penjualan alkohol serta penyediaan makanan halal sepenuhnya kepada penumpang.
Persekitaran atas kapal turut dilengkapi kemudahan ruang solat, pengisian rohani, bimbingan ibadah serta susun atur yang menyokong suasana ibadah sepanjang perjalanan.
Selain menawarkan pengalaman pelayaran yang lebih santai dan selesa, khususnya kepada warga emas dan keluarga, konsep ini turut menjadikan perjalanan laut sebagai sebahagian daripada persediaan rohani sebelum jemaah tiba di Tanah Suci.
Pendekatan ini memberi peluang kepada jemaah untuk menyesuaikan diri secara fizikal dan spiritual sebelum menunaikan ibadah umrah.
Bagi pelanggan yang telah membuat tempahan, IslamiCruise® International memaklumkan bahawa beberapa pilihan fleksibel akan ditawarkan termasuk pemindahan ke pelayaran lain di bawah jenama IslamiCruise® sekiranya bersesuaian.
Jika pelanggan tidak dapat menerima pilihan alternatif yang ditawarkan, proses pemulangan bayaran akan disediakan mengikut garis panduan syarikat.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap mana-mana pihak yang masih mendakwa menjual pakej pelayaran IslamiCruise AROYA.
Sebarang pertanyaan dan pengesahan perlu dibuat terus melalui saluran rasmi bagi mengelakkan risiko penipuan.
IslamiCruise® International menegaskan komitmen mereka untuk terus menyampaikan maklumat secara telus serta memastikan penyusunan semula ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Segala maklumat rasmi dan perkembangan terkini berkaitan pelayaran ini hanya akan diumumkan menerusi laman web www.aroyacruisesmalaysia.com serta platform komunikasi rasmi syarikat.
Sumber : IslamiCruise Pelayaran Islamik
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.