Tahniah Remaja ucapkan kepada Farah Hannan Abd Nasir yang merupakan pelajar dari Universiti Malaya (UM) kerana telah dipilih sebagai wakil tunggal Malaysia ke pertandingan di peringkat antarabangsa, Young Person’s World Lecture Competition (YPWLC).
Menurut UM, pemilihan Farah Hannan ke pertandingan YPWLC itu berikutan kejayaannya muncul sebagai juara di peringkat kebangsaan dalam Materials Lecture Competition (MLC) 2021.
Pelajar program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Penyelidikan Bahan Dimensi Rendah (LDMRC), Fakulti Sains universiti itu akan menerima penajaan penuh dari Institute of Materials, Minerals and Mining (IOM3) United Kingdom (UK).
Kejayaan ini menjadikan kejuaraan milik UM untuk tiga tahun berturut-turut dalam pertandingan MLC, seterusnya layak mewakili Malaysia ke YPWLC. Untuk rekod, UM pernah meraih tempat kedua dalam pertandingan antarabangsa itu.
Farah Hannan berkata keyakinan dan kebolehan menyampaikan konsep yang kompleks dalam bentuk mudah difahami merupakan satu kemahiran yang sangat penting, terutamanya dalam bidang penyelidikan serta akademia.
“Diharap usaha saya ini menjadi pemangkin untuk saya berbakti kepada negara dan memberi impak kepada dunia. Saya juga ingin menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk turut sama memberanikan diri dengan mengambil bahagian dalam acara-acara seperti ini,” katanya.
MLC dianjurkan bersama Institute Materials Malaysia (IMM) dan IOM3 UK untuk mempromosikan kesedaran mengenai kepentingan kejuruteraan bahan serta kelestariannya dalam kemajuan teknologi dan manusia sejagat.
Menerusi pertandingan itu, penyelidik dan pelajar dari universiti awam dan swasta boleh memanfaatkannya sebagai landasan menunjukkan kemampuan serta keberkesanan mereka dalam menyampaikan hasil penyelidikan atau projek mereka kepada umum.
Sama-sama kita doakan kejayaan buat Farah Hannan Abd Nasir yang bakal membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.