
Bahasa dan budaya tempatan adalah identiti yang perlu dipelihara, namun tidak dapat dinafikan, ada sesetengah dialek negeri seperti loghat Kelantan agak sukar difahami, terutama bagi mereka yang bukan berasal dari sana.
Menyedari perkara itu, sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) tampil dengan inisiatif kreatif apabila berjaya membangunkan aplikasi ‘KelantanLingo’, sebuah platform digital yang memudahkan orang ramai memahami dan mempelajari dialek Kelantan dengan lebih sistematik.
Menerusi perkongsian laman Facebook rasmi Universiti Malaya, aplikasi inovatif ini dipersembahkan sempena Festival Idea Prasiswazah UM, iaitu acara tahunan yang menghimpunkan pelajar tahun akhir untuk mempersembahkan hasil projek masing-masing.
Empat pelajar UM yang terlibat dalam pembangunan aplikasi ini ialah Farah Fazlina, Nur Hazirah, Umi Aisyah Amalin dan Nur Liyana. Mereka membangunkan ‘KelantanLingo’ sebagai usaha membantu pelajar institusi pengajian tinggi, orang awam serta pelancong memahami dan menguasai dialek Kelantan secara lebih mudah, teratur dan interaktif.
Menurut mereka, objektif utama aplikasi ini adalah untuk menyediakan platform pembelajaran digital yang mesra pengguna, selain mengangkat dialek Kelantan sebagai satu bentuk warisan bahasa yang perlu didokumentasikan dan dipelihara secara moden.
Pembangunan ‘KelantanLingo’ dilaksanakan menerusi pendekatan Design and Development Research (DDR) yang merangkumi tiga fasa utama, iaitu:
✅ Analisis keperluan pengguna
✅ Reka bentuk aplikasi
✅ Penilaian penggunaan oleh pengguna sebenar
Kajian mereka turut melibatkan soal selidik dalam talian yang disasarkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi serta penduduk tempatan di Kelantan untuk memastikan aplikasi dibangunkan memenuhi keperluan sebenar pengguna.
Melalui poster pembentangan projek berkenaan, aplikasi ini menawarkan fungsi mendaftar masuk dan mengakses kandungan pembelajaran yang terdiri daripada:
🔹 Kata dan frasa asas dalam dialek Kelantan
🔹 Reka bentuk antaramuka yang mesra pengguna
🔹 Ciri interaktif untuk meningkatkan kefahaman dan minat pengguna
Reka bentuk antaramuka aplikasi turut diuji berdasarkan tahap kefahaman dan kepuasan pengguna. Hasil kajian mendapati:
✔️ 74 peratus responden bersetuju aplikasi ini mudah digunakan
✔️ 75 peratus responden berpuas hati dengan susun atur dan reka bentuk aplikasi
Secara keseluruhan, pengguna memberikan maklum balas positif terhadap keberkesanan ‘KelantanLingo’ sebagai alat bantu pembelajaran dialek tempatan.
Walaupun ‘KelantanLingo’ masih berada di peringkat projek tahun akhir, inisiatif ini diharap dapat menjadi platform efektif dalam mempelajari dialek Kelantan secara interaktif. Usaha ini bukan sahaja membantu memudahkan komunikasi, bahkan berperanan mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya negeri Cik Siti Wan Kembang.
Inisiatif ini juga selari dengan keperluan pemeliharaan dialek dalam era teknologi digital, memastikan bahasa tempatan terus relevan dalam kalangan generasi masa kini.
Tahniah kepada pelajar UM atas usaha inovatif ini! Siapa sangka belajar loghat Kelantan kini semudah di hujung jari?
BACA: Anak Kelantan Timbang Bola Hingga Ke Persada Dunia, Minat Bermula Diusia 13 Tahun!
BACA LAGI : Lagu ‘Bae Sobar Bae’ Dah Sampai Ke Jepun! -“Kelantan Mendunia Boh”
Sumber: UG IFEST 2025
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.