Kejayaan Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi, 19, meraih tempat ketiga dunia dalam peperiksaan Merekod Transaksi Kewangan FA1 anjuran ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) bagi sesi Mac lalu menjadi bukti jelas bahawa setiap kejayaan besar bermula dengan langkah kecil yang dipenuhi usaha, doa dan keazaman yang tidak pernah pudar.
Bukan sekadar membanggakan diri sendiri, kejayaan luar biasa ini turut mengharumkan nama ibu bapa, pensyarah, universiti dan negeri kelahirannya, Terengganu.
Gambar dari Universiti Teknologi MARA -Terengganu
Anak Sulung, Harapan Keluarga
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Ahmad Nur Iman membuktikan tiada yang mustahil jika seseorang itu benar-benar bersungguh-sungguh mengejar cita-cita.
Berasal dari Kampung Telaga, Hulu Terengganu, beliau kini menuntut di UiTM Dungun dalam program Asasi Perakaunan. Siapa sangka, impian kecil untuk belajar bersungguh-sungguh telah melonjakkan namanya ke persada dunia, mengharumkan nama Malaysia.
“Masa terima keputusan melalui e-mel ACCA, saya baca berkali-kali. Takut tersalah faham. Bila dah pasti, saya rasa syukur dan bangga sangat,” kongsinya penuh teruja.
Dari Minat Matematik ke Kejayaan Global
Sejak kecil, Ahmad Nur Iman menunjukkan minat mendalam terhadap subjek berkaitan pengiraan seperti Matematik dan Matematik Tambahan. Keputusan cemerlang 9A dalam SPM menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah dalam bidang perakaunan.
Tidak cukup dengan itu, beliau terus melengkapkan diri dengan kelayakan profesional ACCA, antara sijil perakaunan paling berprestij di dunia.
Kunci kejayaan? Menurut Iman, ia terletak pada disiplin diri, pengurusan masa yang baik, membuat nota ringkas, konsisten ulangkaji, dan berani bertanya jika tidak faham.
Ads
Beliau turut berkongsi, latihan berterusan menggunakan soalan tahun-tahun lepas banyak membantu dirinya lebih bersedia.
“Jangan lupa juga doa dan tawakal. Itu senjata utama saya sebagai seorang Muslim,” tambahnya.
Impian Besar, Sumbang Kepada Negara
Bukan sekadar mahu bergelar akauntan bertauliah, Ahmad Nur Iman turut memasang impian untuk memiliki firma perakaunan sendiri suatu hari nanti.
Lebih membanggakan, penerima biasiswa Yayasan Terengganu ini mahu membantu graduan baharu mendapatkan pekerjaan, selain menyumbang kepakaran dalam pembangunan ekonomi negara.
“Saya mahu berkhidmat di firma audit antarabangsa atau syarikat korporat besar dulu. Selepas ada pengalaman, impian saya adalah buka firma sendiri,” jelasnya penuh yakin.
ACCA, Kelayakan Bertaraf Global
Sebagai makluman, ACCA merupakan kelayakan profesional bertaraf antarabangsa yang diiktiraf di lebih 180 negara. Di Malaysia, ACCA setara dengan tahap ijazah sarjana muda, manakala di United Kingdom, ia diiktiraf setara dengan kelayakan peringkat sarjana.
Ads
Walaupun tidak membawa gelaran ijazah, individu yang menamatkan semua kertas dan pengalaman kerja layak bergelar Chartered Certified Accountant dan boleh menggunakan huruf ‘ACCA’ di belakang nama mereka.
Bagi Ahmad Nur Iman, kelayakan ini adalah tiket untuk memperluaskan peluang kerjaya ke peringkat global.
Pesanan Buat Rakan Remaja
Menutup perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan buat mahasiswa dan rakan remaja seluruh negara.
“Jangan takut mencuba perkara baharu. Gunakan peluang belajar sebaiknya, aktifkan diri dalam kokurikulum dan bina jaringan sosial. Itu semua akan jadi kelebihan di masa depan,” katanya penuh bermotivasi.
Ads
Majalah Remaja mengucapkan tahniah buat Ahmad Nur Iman. Semoga kejayaan beliau menjadi inspirasi buat remaja Malaysia untuk terus berusaha, mengejar impian dan tidak pernah berhenti percaya pada potensi diri.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Amaran hujan lebat Kelantan dan kawasan sekitarnya semakin membimbangkan apabila MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya hingga esok. Kelantan dan Terengganu kini antara negeri yang paling teruk terjejas, dan remaja di kawasan terbabit perlu lebih peka kerana risiko banjir meningkat dengan sangat cepat.
Dalam kenyataan rasmi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa beberapa daerah di Kelantan seperti Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, serta Besut di Terengganu, kini berada di bawah Amaran Bahaya (Merah). Keadaan ini membawa maksud hujan dijangka turun tanpa henti sehingga esok, menyebabkan paras air sungai boleh meningkat secara drastik dalam masa singkat.
Kawasan Berstatus Amaran Bahaya (Merah)
Daerah-daerah berikut kini mencatatkan hujan berterusan tahap paling kritikal:
Tumpat
Pasir Mas
Kota Bharu
Bachok
Pasir Puteh
Besut (Terengganu)
Penduduk kawasan ini diminta bersiap-siaga kerana hujan berterusan boleh menyebabkan limpahan sungai, banjir kilat, hakisan tebing sungai dan gangguan keselamatan awam.
Negeri Lain Turut Menerima Amaran Buruk (Jingga)
Selain Kelantan dan Terengganu, beberapa negeri lain yang turut terjejas berada di bawah Amaran Buruk (Jingga), iaitu:
Perlis
Kedah
Pulau Pinang
Perak (Kerian, Larut, Matang & Selama)
Beberapa daerah tambahan di Kelantan dan Terengganu
Amaran Buruk bermaksud hujan lebat dijangka berterusan, dan kawasan rendah berisiko tinggi dinaiki air. Orang ramai disaran mengelakkan sebarang aktiviti luar, terutama yang melibatkan sungai, tasik atau laluan berbukit.
Foto: Malaysia Dateline
Amaran Waspada (Kuning) Untuk Kawasan Pedalaman
Hulu Perak, Manjung, Gua Musang dan kawasan tanah tinggi serta pedalaman Pahang seperti Cameron Highlands, Lipis, Jerantut dan Kuantan pula berada di bawah Amaran Waspada. Walaupun risiko banjir tidak setinggi kawasan merah dan jingga, keadaan cuaca tidak menentu boleh berubah dengan cepat.
MetMalaysia turut mengingatkan bahawa hujan berterusan di kawasan tinggi boleh menyebabkan kejadian kepala air atau tanah runtuh.
Amaran MetMalaysia Untuk Orang Awam
MetMalaysia menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan rendah, tepi sungai dan laluan yang sering dinaiki air supaya mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Ini termasuk:
Mengelakkan kawasan berbahaya ketika hujan lebat.
Menyimpan dokumen penting dalam bekas kalis air.
Bersedia untuk pemindahan jika keadaan memerlukan.
Menyimpan lampu suluh, powerbank dan radio kecemasan.
Memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat.
Penduduk juga disarankan memeriksa kemaskini cuaca setiap dua jam melalui aplikasi MyCuaca atau Telegram MetMalaysia bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat dan terkini.
Untuk Remaja Di Kawasan Terjejas, Tolong Jangan Ambil Risiko
Untuk remaja khususnya, banjir bukan masa untuk bermain air atau merakam konten media sosial. Arus deras yang nampak cetek boleh membawa serpihan berbahaya, kabel elektrik terdedah, malah haiwan berbisa seperti ular dan lipan yang mencari tempat selamat.
Jika tidak perlu keluar rumah, kekal di dalam rumah. Sentiasa utamakan keselamatan diri dan keluarga. Pastikan telefon sentiasa dicas, maklumkan lokasi kepada ibu bapa atau penjaga, dan elakkan berada di kawasan sungai atau parit.
Musim tengkujuh tahun ini dijangka lebih agresif daripada biasa. Dengan meningkatnya amaran hujan lebat Kelantan dan negeri lain, semua orang perlu kekal waspada.
Tragedi kemalangan bas pelajar di Gerik, Perak yang berlaku pada awal Jun lalu ternyata meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Malaysia, khususnya apabila kisah dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat, Muhammad Adham Tuan Adnan dan Nur Ain Najwa Mohd Ilias, tular di media sosial.
Terkini, nasib kedua-dua pelajar ini mendapat perhatian istimewa daripada Kerajaan Negeri Terengganu apabila mereka diangkat sebagai anak angkat negeri di bawah Portfolio Kebajikan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, selepas mencapai persetujuan bersama beberapa pihak kerajaan negeri dan agensi kebajikan.
Menurut beliau, sebagai usaha jangka panjang, kedua-dua pelajar ini akan menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 seorang bermula Julai ini sehingga mereka tamat pengajian di UPSI.
“Kerajaan Negeri menerusi portfolio kebajikan tidak membiarkan anak-anak ini menghadapi kesusahan bersendirian. Kita akan bersama mereka hingga mereka berjaya menamatkan pengajian,” jelas Maliaman kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Tambahnya, pemilihan Adham dan Ain Najwa dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk latar belakang keluarga masing-masing yang cukup mencabar.
“Semua sedia maklum ibu bapa Adham adalah Orang Kurang Upaya Penglihatan dan fizikal, manakala Ain Najwa pula anak yatim, lahir dalam keluarga susah dan sedang melalui proses pemulihan yang mencabar,” ujarnya lagi.
Kisah Menyentuh Hati Seluruh Rakyat
Sebelum ini, kisah Adham dan Ain Najwa menyentuh hati ramai setelah tular di media sosial. Bukan sahaja kerana kecederaan yang dialami mereka, tetapi juga kisah ketabahan keluarga masing-masing.
Pengorbanan ibu bapa Adham yang merupakan OKU fizikal dan penglihatan telah mengundang simpati masyarakat yang turut menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggungnya.
Manakala kisah pengorbanan dua adik kembar Ain Najwa pula menjadi tular selepas mereka nekad menangguhkan pengajian semata-mata untuk memberi laluan kepada kakak mereka menyambung pelajaran.
“Adik-adik saya terpaksa tolak tawaran ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana nak kerja dahulu. Katanya, ‘Kakak belajar, kami tanggung kakak. Nanti kita bergilir-gilir’,” luah Ain Najwa.
Difahamkan, keluarga Ain Najwa kehilangan bapa tercinta beberapa tahun lalu yang bekerja sebagai mekanik, manakala ibunya kini uzur dan hanya mampu mengambil upah mencuci rumah jiran untuk menyara keluarga.
Akibat kemalangan tersebut, Ain Najwa mengalami patah bahu kiri dan kecederaan di pergelangan tangan. Kini, dia sedang menjalani proses pemulihan dan dibantu oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk permohonan kad OKU.
Adham juga turut mengalami kecederaan serius dan datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Pelajar UPSI ini telah menjalani pembedahan dan memerlukan rawatan susulan secara berpanjangan.
Untuk rekod, kos rawatan Adham sebanyak RM2,900 turut ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Malaysia Gazatte
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing membuatkan peminat badminton tempatan teruja apabila berjaya merangkul kejuaraan selepas menafikan keupayaan pilihan utama beregu wanita Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 yang berlangsung dari 15 hingga 20 Oktober lalu.
Beregu kebangsaan itu memerlukan tempoh 42 minit untuk menundukkan wakil Taiwan merangkap pilihan utama, Chan Nicole Gonzales-Wei Ye Hong, dengan ‘straight set’ di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.
Namun, lima mata yang dikutip Nicole-Yun Yang meletakkan penghujung set pertama dalam keadaan getir 20-20.
Walau bagaimanapun, situasi yang mendebarkan itu tidak dibiarkan berterusan apabila dua mata akhir ditamatkan beregu negara yang berada di kedudukan ke-112 itu untuk menutup permainan 22-20.
Pei Kee-Mei Xing yang hanya satu mata dipisahkan dengan penyingkiran berikutan kecederaan lutut yang menimpa Ng Qi Xuan.
Mereka konsisten untuk menawan set kedua 21-11 bagi mengesahkan kejuaraan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Khairul Aming Ramadan sekali lagi mencuri perhatian apabila sanggup merakam video 30 hari 30 resipi selama hampir 14 jam walaupun sibuk mengurus restoran Rembayung.