Pelajar SMJK Chung Hwa Tenom Dinobat Juara Dunia, Meriahkan Pentas Istanbul Menerusi Tarian Magunatip

Share

Baru-baru ini, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom, Sabah telah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya muncul juara dalam Festival dan Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye.

Dalam pertandingan yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun itu, pelajar-pelajar berkenaan mempersembahkan tarian Magunatip, iaitu tarian tradisional masyarakat Murut yang memerlukan ketangkasan dan koordinasi tinggi.

Dalam pada itu, tarian tersebut bukan sahaja berjaya memikat hati penonton, malah memukau juri sehingga membolehkan pasukan dari Sabah ini mengatasi 13 pasukan lain dari pelbagai negara untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Kredit foto: Warta Oriental

Lebih membanggakan, kumpulan tersebut turut menerima Anugerah Persembahan Terbaik, satu pengiktirafan yang menegaskan reputasi mereka sebagai antara pasukan kebudayaan terbaik dunia.

Menurut jurulatih kebudayaan sekolah, Siti Faridah Lawadin, kejayaan itu adalah hasil usaha gigih para pelajar serta sokongan padu pihak sekolah dan komuniti.

“Mereka berjaya mengatasi 13 pasukan lain dari seluruh dunia dan muncul sebagai juara. Ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah dan Sabah, tetapi juga meletakkan seni tradisional kita di pentas dunia,” katanya.

Pada masa yang sama, Siti Faridah turut menjelaskan bahawa penyertaan ini menjadi platform penting dalam usaha memartabatkan budaya tempatan ke peringkat global, selain menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda terhadap seni warisan negara.

Kredit foto: Warta Oriental
Kredit foto: Warta Oriental

“Persembahan hebat ini mendapat tepukan gemuruh daripada penonton antarabangsa dan delegasi kebudayaan yang hadir. Ia secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye melalui pendekatan budaya serta warisan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, kejayaan mereka kali ini juga berjaya menamatkan dominasi juara bertahan dari Rusia yang memenangi pertandingan tahun lalu. Kemenangan ini sekaligus membuka lembaran baru buat pasukan tersebut dalam arena tarian antarabangsa.

Sekadar info, tarian Magunatip sinonim dengan masyarakat Murut dan terkenal dengan persembahan lompatan di antara batang buluh yang diketuk mengikut irama. Ia bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal dan disiplin tinggi, malah mencerminkan warisan budaya yang unik dan penuh simbolik.

Sumber: Sinar Bestari

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
ZOE