Hiburan

Pecah Amanah 4.3 Bilion Won, Hwang Jung Eum Berdepan Tuntutan Penjara 3 Tahun

Share

Pelakon sensasi Korea Selatan, Hwang Jung Eum (41) kini sekali lagi berdepan cabaran terbesar dalam kerjayanya apabila didakwa atas kes pecah amanah melibatkan jumlah jutaan won. Walaupun beliau telah membayar semula kerugian, pendakwa tetap menuntut hukuman penjara tiga tahun.

Pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Daerah Jeju mengadakan perbicaraan untuk kes tersebut dan pendakwa raya menegaskan Jung Eum perlu dikenakan hukuman penjara kerana melanggar Akta Hukuman Berat Jenayah Ekonomi.

Menurut laporan media Korea Selatan, beliau didakwa menyeleweng kira-kira 4.3 bilion Korea Won daripada agensi miliknya pada tahun 2022. Antara tindakan yang dilakukan termasuk memindahkan dana syarikat ke akaun peribadi sebelum dilaburkan ke dalam mata wang kripto.

Selain itu, wang syarikat turut digunakan bagi melangsaikan bil kad kredit peribadi serta faedah pinjaman cagaran saham dan hal ini menambahkan lagi beban kontroversi terhadap imej pelakon tersebut.

Dalam pada itu, perbicaraan awal Mei lalu, Jung Eum mengaku bersalah dan berjanji menyelesaikan bayaran semula. Beliau berjaya melangsaikan jumlah penuh melalui hasil penjualan aset peribadi, namun pihak pendakwa tetap menekankan perlunya hukuman dikenakan.

Sejak kes ini mencetuskan perhatian, kerjaya Jung Eum semakin tergugat dan penampilannya dalam rancangan realiti Solo Series turut dipotong hingga meninggalkan kesan terhadap rakan selebriti lain dan kru produksi.

Sebelum ini, Jung Eum sering meraih perhatian daripada beberapa drama popular seperti High Kick Through the Roof, Kill Me, Heal Me dan She Was Pretty. Walaupun pernah dikritik, beliau berjaya membuktikan bakatnya sehingga mampu diterima peminat sebagai pelakon versatil.

Perjalanan hidupnya sering dilanda kontroversi. Bermula daripada penceraian, isu salah sasaran hingga percintaan singkat dengan atlet, kini ditambah pula dengan tuduhan pecah amanah.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE