
Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa akur di pentas final Terbuka Jepun apabila tewas kepada regu utama dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo baru-baru ini.
Perlawanan akhir kejohanan berstatus Super 750 itu menyaksikan Pearly-Thinaah gagal menyaingi kehebatan pasangan China tersebut dalam dua set terus, dengan keputusan 15-21 dan 14-21 dalam masa 45 minit permainan.
Selain itu, persembahan pasangan ranking ketiga dunia itu kelihatan tidak konsisten sejak set pertama lagi, apabila corak permainan mereka tampak teragak-agak dan gagal memecah dominasi Sheng Shu-Tan Ning.
Walaupun cuba bangkit pada set kedua dengan strategi lebih agresif, namun pengalaman serta ketenangan pihak lawan ternyata menjadi pemisah, sekaligus menafikan impian Pearly-Thinaah untuk menjulang gelaran kedua musim ini.
Biarpun kecewa dengan keputusan tersebut, Pearly-Thinaah masih mampu berbangga dengan pencapaian mereka yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$33,250 (RM141,182) sebagai naib juara kejohanan pada kali ini.
Sementara itu, kemenangan penuh bergaya menyebelahi Sheng Shu-Tan Ning yang membawa pulang ganjaran utama bernilai AS$70,300 (RM298,500), sekaligus memperkukuh rekod kemenangan mereka ke atas Pearly-Thinaah kepada sembilan daripada 12 pertemuan.
Sekadar info, pencapaian ini juga menyamai kejayaan beregu lagenda negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang turut muncul naib juara Terbuka Jepun pada edisi 2008. Ini juga satu penanda aras penting buat Pearly-Thinaah dalam mengukuhkan lagi nama mereka dalam sejarah badminton negara.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.