Pasukan Malaysia Cipta Kejutan! Raih Gelaran Juara Kejohanan Memanah Berkuda IHAA 2025

Share

Baru-baru ini, pasukan Malaysia terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan Kejohanan Dunia Kanak-Kanak Memanah Berkuda IHAA 2025 yang berlangsung di Bogor, Jawa Barat, Indonesia.

Kejohanan anjuran International Horseback Archery Alliance (IHAA) itu menyaksikan kontinjen negara menewaskan saingan terkuat dari Türkiye yang meraih tempat kedua, manakala tuan rumah Indonesia menduduki tempat ketiga.

Dalam pada itu, antara atlet muda penuh potensi yang berjaya mencuri tumpuan ialah Muhammad Muhamad Akmal yang mencatat rekod dunia terbaru tertinggi, Abu Bakr Muhammad Akmal, Abdurrahman Ahmad Mu’az, Hazzil Hamidi dan Heba Nusaybah Ahmad Mu’az.

Kredit foto: Instagram IHAA Official

Kelima-lima mereka berjaya membawa pulang keseluruhan sembilan pingat emas, lima perak dan dua gangsa dalam pelbagai kategori umur, sekaligus menjulang nama Malaysia sebagai kuasa baharu dalam arena memanah berkuda kanak-kanak.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu perkongsian di Facebook, beliau sempat mengucapkan tahniah kepada skuad negara atas kejayaan luar biasa ini.

“Tahniah pasukan Malaysia di atas kejayaan muncul sebagai juara International Horseback Archery Alliance (IHAA) World Kids Championships 2025 di Indonesia,” tulisnya penuh bangga.

“Anak-anak Malaysia terus membanggakan negara di pentas dunia sekaligus membuktikan bahawa potensi atlet kita boleh berkembang di pelbagai ruang,” coretnya lagi.

Kejayaan yang diraih oleh Muhammad Akmal selepas memecahkan rekod baru dunia (Kredit foto: Instagram IHAA Official)

Sementara itu, kejohanan yang menghimpunkan penyertaan dari 15 negara ini turut disertai oleh pasukan dari Thailand, Singapura, Vietnam, Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mongolia, Türkiye, Perancis, Afrika Selatan, dan Indonesia sendiri.

Kejayaan pasukan cilik negara ini bukan sahaja membuka mata dunia terhadap kehebatan bakat muda tanah air, malah menjadi dorongan kepada pembangunan sukan alternatif di Malaysia untuk lebih diketengahkan pada masa akan datang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE