
Pasport Malaysia baru-baru ini mencipta sejarah apabila berjaya menduduki tangga ketiga dunia dalam Ranking Pasport Index 2025. Khabar membanggakan ini telah meletakkan Pasport Malaysia sebaris dengan negara-negara maju lain, menandakan betapa dipercayainya dokumen perjalanan rasmi negara di mata dunia.
Menerusi perkongsian rasmi di laman Facebook Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pihaknya menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan antarabangsa ini sekaligus mencerminkan kecekapan serta kredibiliti sistem keselamatan negara.
“Pasport Malaysia kini terus membanggakan apabila menduduki tangga ke-3 dunia dalam Ranking Pasport Index 2025, membolehkan warganegara Malaysia menikmati kemudahan perjalanan tanpa visa ke 174 buah negara di seluruh dunia,” tulis kenyataan itu.
“Pencapaian ini mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap keselamatan dokumen perjalanan Malaysia yang diyakini di mata dunia,” ujar JIM lagi.
BACA: Merdeka 118: Bangunan Ikonik Malaysia Diiktiraf Bangunan Tinggi Terbaik Dunia 2025
BACA: Mempunyai Teman Lelaki Kini Dianggap ‘Memalukan’, Penulis Vogue Cetus Bualan Hangat Netizen
Menurut laman rasmi Passport Index, pasport Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini berada di kedudukan pertama dalam Passport Power Rank, diikuti Singapura dan Sepanyol yang berkongsi tempat kedua.
Pasport Malaysia pula berdiri megah di tangga ketiga bersama 15 lagi negara antaranya Belgium, Perancis, Jerman, Belanda, Finland, Luxembourg, Itali, Denmark, Portugal, Switzerland, Greece, Austria, Norway, Ireland dan Korea Selatan.
Dengan capaian tanpa visa ke 174 buah negara, rakyat Malaysia kini lebih bebas meneroka dunia sama ada untuk belajar, bekerja mahupun bercuti. Maka, tidak hairanlah kalau ramai yang semakin menghargai nilai pasport biru gelap yang sering menjadi kebanggaan di kaunter imigresen luar negara.
Kedudukan tinggi ini juga menggambarkan usaha berterusan pihak Jabatan Imigresen dalam mengekalkan mutu, keselamatan dan kecekapan sistem pasport negara agar terus dipercayai di peringkat global.
Menariknya, lebih daripada sekadar dokumen perjalanan, Pasport Malaysia kini menjadi simbol kepercayaan, kemajuan dan reputasi negara di mata dunia.
Nah! Rasanya kalau tengok prestasi seperti ini, sudah tiba masa untuk anda buka kalendar, cari tarikh cuti dan mula rancang trip luar negara. Dengan Pasport Malaysia di kedudukan ketiga dunia, alasan “tak boleh travel” itu memang tak ‘valid’ untuk digunakan lagi kan!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.