
Pelakon wanita terkenal Korea Selatan, Park Min Young baru-baru ini mencuri perhatian selepas mendedahkan bahawa diri beliau hanya minum air kosong sebagai persediaan menjayakan wataknya dalam drama terbaru berjudul ‘Siren’s Kiss’.
Menerusi sebuah sesi pembentangan produksi drama berkenaan, aktres yang kini berusia 40 tahun itu menjelaskan watak Han Seol Ah yang dibawanya merupakan seorang ketua pelelong di Royal Auction yang hidup dalam tekanan emosi dan dikelilingi pelbagai peristiwa tragis. Disebabkan itu, beliau merasakan perubahan fizikal yang ketara perlu dilakukan bagi menjiwai karakter tersebut secara lebih mendalam.
“Watak Han Seol Ah tidak makan dalam drama ini. Banyak perkara tragis berlaku di sekelilingnya, jadi dia tidak makan dan di rumah hanya minum air dan alkohol,” katanya.
Menurutnya lagi, pendekatan itu bukan sekadar tuntutan skrip, sebaliknya membantu Min Young memahami kesunyian dan kerapuhan emosi yang dialami watak tersebut.
“Dia seorang yang berasa sangat sunyi apabila bersendirian dan mengalami gangguan panik. Saya rasa saya tidak sepatutnya menambah berat badan untuk watak ini. Sepanjang penggambaran projek ini, saya berpuasa dan minum tiga liter air sehari,” jelasnya lagi.
Susulan itu, pengakuan beliau nyata mengejutkan ramai pihak. Namun, Min Young menjelaskan bahawa keadaan tersebut hanya berlaku sementara sepanjang tempoh penggambaran.
“Sekarang saya sudah kembali seperti biasa. Saya rasa mengekalkan diri saya dalam keadaan yang lebih gelap memang sesuai dengan watak tersebut. Saya benar-benar berubah menjadi seseorang yang suram,” tambahnya.
Untuk pengetahuan, ini bukan kali pertama pelakon itu melakukan transformasi ‘melampau’ demi watak. Sebelum ini, Min Young pernah menjadi bualan hangat apabila menurunkan berat badan sehingga 37 kilogram untuk menjayakan drama ‘Marry My Husband’ pada tahun 2024, di mana beliau membawakan karakter sebagai pesakit kanser.
BACA: Park Min Young Sanggup Turunkan Berat Sehingga 37KG Demi Jiwai Watak Pesakit Kanser
Sementara itu, drama ‘Siren’s Kiss’ mengisahkan tentang seorang wanita yang disyaki terlibat dalam penipuan insurans, namun memiliki daya tarikan yang sukar ditolak sehingga memukau orang di sekelilingnya. Drama ini turut dibintangi oleh Wi Ha Joon, Kim Jung Hyun, Lee El dan Han Joon Woo.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.