
Jelitawan, Nadeen Ayoub yang dinobatkan sebagai Miss Palestine 2022 akhirnya dapat merealisasikan impiannya untuk mewakili negara Palestin dalam pertandingan ratu cantik, tiga tahun kemudian.
Bakal dilangsungkan pada 21 November 2025 di Thailand, Palestin secara sah akan menghatar wakil pertama negara tersebut di pertandingan Miss Universe yang telah memasuki edisi ke-74, tahun ini.
Bagi meraikan berita gembira itu, Nadeen yang menyarungkan busana tradisional ciptaan pereka fesyen Palestin, Hiba Abdelkarim memuat naik pengumuman tersebut di media sosialnya pada 13 Ogos lalu, dan pada masa yang sama menjelaskan mengapa impiannya itu tertunda selama tiga tahun.
“Pada tahun 2022, saya telahpun menjadi wanita Palestin pertama untuk bertanding di Miss Earth di mana saya menamatkan cabaran dalam kalangan peserta Top 5. Saya sepatutnya menyertai Miss Universe pula selepas itu namun terpaksa menangguhkan perancangan tersebut kerana krisis yang berlaku di negara saya.”
BACA: Wakil Palestin Raih Tempat Ketiga Pertandingan Miss Earth 2022, Korea Bergelar Juara – Remaja
“Saya ingin menunjukkan kepada dunia bahawa wanita Palestin bukan hanya kental dan jelita; tetapi juga mempunyai kualiti sebagai pemimpin perekacipta dan boleh membawa perubahan.
“Saya berbangga dapat meneruskan hajat ini pada waktu-waktu di mana kita semua perlu menjadi suara kepada negara Palestin yang sedang berdukacita terutamanya di Gaza,” ujarnya.
Untuk pengetahuan korang, pertandingan Miss Universe 2025 di Thailand juga dijangka akan disertai oleh wakil dari Israel, Melanie Shiraz.
Nadeen membesar di antara tiga buah negara iaitu Palestin, Amerika Syarikat dan Kanada. REMAJA difahamkan wanita ini mempunyai pencapaian akademik dan kerjaya yang menakjubkan!
Nadeen merupakan pemegang ijazah muda sastera dan psikologi. Pada masa yang sama, dia bergelar seorang jurulatih ‘wellness’ dan nutrisi.
Sejak tahun 2022 pula, Nadeen mendekatkan diri dengan banyak inisiatif yang menguatkan suara wanita Palestin dan menyokong perniagaan mereka di sana. Ini termasuklah inisiatif bersama Sayidat Falasteen yang merupakan buah fikiran organisasi Miss Palestine.
Selain itu, Nadeen juga merupakan pengasas Olive Green Academy yang mempromosikan kelestarian dan kempen kesedaran alam sekitar. Menerusinya, Nadeen melatih wanita-wanita Palestin menggunakan media digital bagi melancarkan advokasi alam sekitar masing-masing serta bertindak sebagau duta iklim (climate ambassador).
*
Dalam pada itu, pertandingan Miss Universe Malaysia 2025 masih dilangsungkan sehingga bulan September bagi mencari wakil negara ke Bangkok kelak.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.