Home Blog Page 30

Taanusiya Chetty Cipta Sejarah Gemilang Miss World 2026, Ulangi Kejayaan Lina Teoh Selepas 28 Tahun

Taanusiya Chetty melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan saingan di pentas ratu cantik Miss World 2026 di kedudukan ketiga terbaik daripada 111 orang peserta yang bertanding.

Taanusiya, 26, sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah dicipta oleh Lina Teoh pada tahun 1998 apabila turut meraih kedudukan pemenang tempat ketiga dan menyandang gelaran Miss Asia Oceania World pada edisi tersebut.

Taanusiya Chetty Cipta Sejarah Gemilang Miss World 2026, Ulangi Kejayaan Lina Teoh Selepas 28 Tahun

Selain kedudukan cemerlang itu, Taanusiya juga telah dinobatkan sebagai penerima gelaran Miss Asia Oceania dan juara kategori Beauty With A Purpose.

Taanusiya Chetty Curi Perhatian Di Miss World 2026

Perjalanan gadis kelahiran Cheras, WP Kuala Lumpur ini dalam Miss World edisi ke-75 yang bertempat di Vietnam sememangnya telah menarik perhatian pemerhati dunia ratu cantik apabila ramai yang terkesima dengan kecantikan dan kebijaksanaan yang dimilikinya.

Profesion Taanusiya sebagai seorang guru juga meyakinkan ramai pihak bahawa beliau merupakan wakil yang harus diberikan perhatian memandangkan dia memahami kepentingan pendidikan kanak-kanak berkualiti sejak usia kecil dan bagaimana elemen tersebut cukup disukai oleh pihak organisasi Miss World.

Di pentas akhir Miss World yang berlangsung pada Sabtu malam, Taanusiya awalnya mara ke peringkat Top 40 menerusi kecemerlangannya dalam segmen Beauty With A Purpose dalam kalangan wakil-wakil dari rantau Asia Oceania.

Sebagai info, Beauty With A Purpose merupakan salah satu komponen utama yang mengetengahkan usaha kemanusiaan dan impak sosial peserta dalam pertandingan Miss World.

Taanusiya Chetty Cipta Sejarah Gemilang Miss World 2026, Ulangi Kejayaan Lina Teoh Selepas 28 Tahun

Advokasi Be The Change Malaysia Bawa Taanusiya Chetty Lebih Jauh

Taanusiya menerusi advokasi ‘Be The Change Malaysia’ yang diasaskannya sejak 2022 telah berjaya meyakinkan juri apabila usahanya untuk memberi manfaat kepada kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia seperti komuniti Orang Asli menampakkan konsistensi dan hasil.

Dia kemudiannya mara ke Top 20 apabila dinamakan sebagai dua wakil terbaik bagi kategori sama.

Taanusiya terus melangkah penuh cemerlang apabila mengenepikan saingan wakil dari Zimbabwe dalam kategori Beauty With A Purpose, sekali gus mara sehingga ke peringkat Top 6.

Kejayaan dalam kategori tersebut turut memperlihatkan bagaimana usaha kemasyarakatan yang dibawa oleh Taanusiya bukan sekadar menjadi sebahagian daripada penyertaannya dalam pertandingan, sebaliknya merupakan sebuah advokasi yang telah digerakkan secara konsisten sejak beberapa tahun lalu.

Taanusiya Chetty Cipta Sejarah Gemilang Miss World 2026, Ulangi Kejayaan Lina Teoh Selepas 28 Tahun

Taanusiya Chetty Berdepan Segmen Soal Jawab Top 6

Dalam kelompok Top 6, Taanusiya dan lima wakil lain iaitu Eritrea, Afrika Selatan, Vietnam, Sepanyol dan Dominican Republic masing-masing berdepan segmen soal jawab bersama juri.

Taanusiya disoal mengenai tanggungjawab melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang dan bagaimana beliau ingin memberikan inspirasi kepada kanak-kanak untuk sama-sama menjayakan usaha tersebut.

Taanusiya Chetty Cipta Sejarah Gemilang Miss World 2026, Ulangi Kejayaan Lina Teoh Selepas 28 Tahun

Jawabnya dengan tenang, Taanusiya menekankan mengenai kepentingan pendidikan kanak-kanak sejak usia muda bagi mengasuh minda mereka mengenai cara menjaga alam sekitar.

Sebagai seorang tenaga pengajar di sekolah, Taanusiya percaya bahawa setiap individu memerlukan masa untuk mengadaptasi kepada gaya hidup cintakan alam sekitar. Oleh itu, perubahan yang memberi impak hanya boleh disaksikan sekiranya setiap individu dididik sejak kecil mengenai kepentingan alam sekitar yang sejahtera.

Pendekatan tersebut selari dengan latar belakang Taanusiya sebagai seorang guru yang melihat pendidikan sebagai antara asas penting dalam membentuk pemikiran dan tindakan generasi akan datang.

Taanusiya Chetty Cipta Sejarah Gemilang Miss World 2026, Ulangi Kejayaan Lina Teoh Selepas 28 Tahun

Kejayaan Taanusiya Chetty Ulangi Sejarah Lina Teoh

Kejayaan Taanusiya sebagai pemenang tempat ketiga di Miss World 2026 rata-rata disambut dengan penuh rasa bangga oleh masyarakat tempatan.

Pencapaian tersebut turut mengimbau kembali kejayaan Lina Teoh pada tahun 1998, sekali gus menjadikan perjalanan Taanusiya antara pencapaian paling membanggakan buat Malaysia di pentas Miss World.

Selepas 28 tahun, Malaysia sekali lagi menyaksikan wakil negara berada dalam kelompok terbaik pertandingan tersebut dengan kedudukan tempat ketiga, selain membawa pulang pengiktirafan dari rantau Asia Oceania.

Taanusiya Chetty Cipta Sejarah Gemilang Miss World 2026, Ulangi Kejayaan Lina Teoh Selepas 28 Tahun

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Remaja, MY (@majalahremaja)

Kemenangan dalam Beauty With A Purpose pula memberikan makna tersendiri kepada perjalanan Taanusiya kerana kategori tersebut berkait rapat dengan usaha yang dilakukannya menerusi Be The Change Malaysia serta latar belakangnya dalam bidang pendidikan.

Taanusiya Chetty yang bakal pulang ke Malaysia tidak lama lagi dijangka akan diraikan dengan penuh meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas mencipta pencapaian membanggakan buat negara di pentas Miss World 2026.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Remaja, MY (@majalahremaja)

Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya

0

Pada usia 25 tahun, Meerqeen sudah memiliki apa yang mungkin menjadi impian ramai anak muda sebaya dengannya. 

Daya populariti, kerjaya yang terus berkembang dan peluang berkolaborasi dengan jenama besar; rata-rata sudahpun berada dalam genggamannya. Namun bagi pelakon ini, setiap pencapaian tersebut bukanlah alasan untuknya mendabik dada. Sebaliknya, ia hanyalah permulaan kepada sasaran seterusnya.

ketua jenama FZ AIMMAN teks DARWISY FARAIN peletakan grafik ZULSAIFUL ABDUL AZIS penerbit video IZZUDDIN ISMAIL & ZUHDI ZAID pembantu penerbit SURIA NUR AMIRA juruvideo AFIQ NAQIUDDIN, IKRAM MASDY & EZZAT SHUKRI pembantu juruvideo ATIQAH MD AKHAIR foto EHSAN XIAOMI MALAYSIA 

Istimewa untuk paparan Remaja edisi digital bagi September 2026 kali ini, Meerqeen secara rasmi ditampilkan sebagai duta siri REDMI Note 17 Series bagi pasaran Malaysia. 

Kami mendekati Meerqeen secara eksklusif bagi mendalami aspirasi terbaru yang disemat olehnya (bayangan: Meerqeen memilih imej trofi Anugerah Akademi – Oscars sebagai screensaver!), kejayaan yang dinikmati selepas 6 tahun bertapak dalam industri seni hiburan dan tentunya, mengenai pemilihan REDMI Note 17 Series baharu yang kini menjadi sebahagian penting daripada rutin hariannya.

Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya

Tahun 2026 membuka satu lagi lembaran penting dalam perjalanan kerjaya Meerqeen apabila dia secara rasmi diperkenalkan sebagai duta model REDMI Note 17 Series bagi pasaran Malaysia.

Lebih istimewa, pelantikan ini mencatat satu pencapaian baharu buat Meerqeen apabila Xiaomi Malaysia merupakan jenama telefon pintar pertama yang pernah diwakili olehnya sepanjang kerjaya.

Hubungan bersama pihak Xiaomi Malaysia terjalin dengan cukup mudah apabila Meerqeen melihat ada persamaan antara prinsip yang dibawa oleh jenama itu dengan cara dia sendiri mendepani kehidupan dan kerjaya.

“Salah satunya adalah disebabkan oleh slogan yang mereka pilih sendiri iaitu ‘Cas Sekali Tahan Tiga Hari’ bagi merujuk kepada ketahanan bateri model telefon terbaru ini. Bila mereka memilih slogan berkenaan, they really mean it dan ia benar-benar dibuktikan. Saya sendiri adalah antara pengguna yang mengakuinya. 

“Orang cakap, walk the talk and they really mean it. Slogan itu sendiri menunjukkan Xiaomi tidak main-main. Saya suka jenama yang jujur,” ujarnya.

Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya

Bagi Meerqeen, kata-kata perlu hadir bersama bukti. Prinsip tersebut tidak jauh jika dibandingkan dengan caranya membentuk perjalanan kerjaya selama ini. Angan-angan sahaja tidak akan membawa seseorang ke mana-mana sekiranya ia tidak disertakan dengan keberanian untuk mencuba serta kesungguhan untuk merealisasikannya.

Peluang yang hadir ini bukan sekadar menyatukan dua nama besar menerusi sebuah kempen. Bahkan, ia dibina atas dasar hubungan, keyakinan dan kepercayaan terhadap apa yang mereka wakili untuk dipersembahkan kepada pasaran di Malaysia.

BILA TEKNOLOGI JADI SEBAHAGIAN RUTIN

Sukar untuk menafikan keperluan telefon pintar dalam kehidupan seharian pada zaman ini.

Daripada urusan kerja dan komunikasi shinggalah sebagai sumber hiburan, informasi dan bagi memperkasakan gaya hidup peribadi; sebahagian besar rutin harian dilakukan dengan bantuan gajet yang sentiasa berada dalam genggaman.

Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya

Sebagai seorang selebriti yang sentiasa bergerak aktif (kongsinya, dia perlu berlepas ke Bangkok Thailand pula selepas penemuan kami ini!), keperluan untuk memiliki telefon pintar yang efisien itu lebih terasa.

Ada waktunya telefon diperlukan untuk kerja. Tidak kurang juga keperluan telefon untuk dijadikan  sebagai kamera berkredibiliti bagi merakam konten baharu yang ingin dikongsikan kepada pengikutnya.

Di sebalik gaya hidup yang serba pantas itu, Meerqeen turut mendedahkan satu tabiat dirinya yang membuatkan aspek ketahanan telefon menjadi faktor penting untuk memiliki REDMI Note 17 Series. Siapa sangka, selebriti kegemaran anda ini merupakan seorang yang clumsy! 

“Kadang-kadang telefon saya terjatuh, kadang-kadang pula saya tertumpah air ke atas skrin,” selorohnya sebelum memuji, “Masuk dalam air pun tak rosak. Kalau terjatuh pun, walaupun kita tengah shooting for ads, kita campak banyak kali pun, dia still maintain. Campak-campak terus boleh guna semula seperti biasa.”

Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya

“Seperkara lagi, the battery is so powerful. This is my first time using this kind of technology.. 

“Sebelum REDMI Note 17 Series, belum pernah lagi bateri telefon saya boleh bertahan selama tiga hari berturut-turut. Seperti yang anda dapat lihat sekarang (menunjukkan paparan skrin telefonnya) baterinya masih bertahan sebanyak 29 peratus.

“So I can say with REDMI Note 17 Series; the camera is good, the audio is good and the battery is complete. Itu merupakan tiga perkara yang saya utamakan apabila memilih telefon pintar baharu,” jelasnya.

MASIH BANYAK FASA YANG INGIN DIKEJAR

Jika mengamati langkah Meerqeen yang bermula sebagai pemenang tempat ketiga pencarian Hero Remaja 2020, ya, telah banyak yang berubah mengenai sosok jejaka tampan ini. 

Rata-rata perubahan yang kami perhatikan dari jauh lebih terjurus ke arah cara dia mengendalikan langkah seterusnya bagi menempatkan diri di aras yang lebih tinggi.

Kata-kata khalayak mengenai mungkin bercampur baur antara yang manis dan tidak kurang jika yang menyinggung – another downside of being a public figure – sukar untuk kita menutup mulut orang, bukan? But like he said, action definitely speaks louder than words.

Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya

Seribu kata cacian mampu ditutup dengan satu kejayaan dan Meerqeen pada fasa ini memilih untuk fokus kepada pencapaian.

Satu demi satu peluang yang hadir membolehkan portfolio dan perhatian ke arahnya berkembang melangkaui dunia hiburan di Malaysia.

Dengan segala yang sudah berada dalam genggamannya, mudah untuk seseorang menganggap Meerqeen mendabik dada. Realiti yang sebenar jauh dari telahan orang ramai di mana kejayaan tidak pernah dijadikan sebagai titik penamat buat Meerqeen.

“Untuk saya, perjalanan kerjaya saya masih belum lengkap. Dalam diri ini, sentiasa ada rasa dahagakan pencapaian yang lebih banyak dan memperbaiki diri pada setiap hari.”

“I’m a risk taker… a hard worker. What I want, I will get it.”

Setiap kejayaan yang berpihak kepada Meerqeen dijadikan dorongan untuknya menyasarkan sejauh mana lagi dirinya mampu pergi.

Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya

Apabila kami menyifatkan pencapaiannya hari ini sebagai satu bentuk ‘benchmark’ buat generasi muda yang mengikuti perjalanannya pula, Meerqeen sedikit keberatan untuk menerima label sebesar itu.

“Benchmark is a big word. Kalau orang rasa macam itu, Alhamdulillah. 

“Apa yang saya tahu, saya sentiasa bersedia untuk meletakkan sasaran seterusnya. Tidak pernah puas dengan kejayaan yang dicapai setakat ini. I always try to aim to be the first person to do a thing. Ia salah satu cara saya mengawal mindset saya sendiri untuk sentiasa mempunyai rasa ‘lapar’ mengejar impian,” simpulnya.

Ringkas namun cukup kuat menerangkan bagaimana Meerqeen berdepan dengan aspirasi kerjaya dan kehidupan. Dia berani mengambil risiko, tahu apa yang dimahukan dan apabila sasaran sudah tercapai, dia terus beralih kepada perkara lain yang perlu diusahakan olehnya pula.

Meerqeen Buka Lembaran Baharu Bersama Redmi Note 17 Series Selari Dengan Gaya Hidup Sibuknya

Daripada seorang remaja belasan tahun yang sedang mencari ruang dalam industri enam tahun yang lalu, hari ini, Meerqeen berdiri dengan deretan pencapaian termasuk menggalas peranan baharu sebagai duta REDMI Malaysia. Semua itu bagaimanapun tidak menoktahkan keinginnya untuk terus bergerak, mencabar diri dan mengejar sesuatu yang lebih besar.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Remaja, MY (@majalahremaja)

Kontroversi ‘Madu Atau Racun’: Fasha Sandha Minta Elisya Kuat, Kamal Adli Rayu Jangan Heret Anak Dalam Kontroversi Uqasha

Kontroversi drama Madu Atau Racun bukan sahaja mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, malah turut mendapat perhatian insan terdekat kepada dua pelakon utamanya, Elisya Sandha dan Uqasha Senrose.

Di saat drama tersebut terus diperkatakan susulan beberapa adegan yang didakwa tidak sesuai dengan budaya serta pegangan agama masyarakat, kakak kepada Elisya, Fasha Sandha tampil memberikan kata-kata semangat buat adiknya.

Dalam masa sama, bekas suami Uqasha, Kamal Adli turut bersuara dan berharap agar kecaman yang dilemparkan tidak melibatkan urusan peribadi serta keluarga pelakon berkenaan.

Kontroversi ‘Madu Atau Racun’: Fasha Sandha Minta Elisya Kuat, Kamal Adli Rayu Jangan Heret Anak Dalam Kontroversi Uqasha

Fasha Sandha Minta Elisya Terus Kuat

Menerusi satu hantaran di Threads, Fasha dilihat menitipkan pesanan penuh kasih sayang kepada Elisya agar tidak terlalu terbeban dengan pandangan negatif yang diterima.

Menurut Fasha, tidak semua komen perlu diambil hati dan adiknya perlu terus melangkah sambil mengambil pengajaran daripada setiap perkara yang berlaku.

“Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza. Ambil apa yang boleh dipelajari, abaikan perkara negatif dan teruskan melangkah, Elisya.

“Jangan biarkan komen-komen negatif membebankan hati adik Angah. Berlembutlah dengan diri sendiri, biarkan segala bunyi bising itu berlalu dan ingatlah bahawa saat ini juga akan berlalu.

“Akak sentiasa ada untuk adik. Sayang adik sangat-sangat,” katanya.

Kontroversi ‘Madu Atau Racun’: Fasha Sandha Minta Elisya Kuat, Kamal Adli Rayu Jangan Heret Anak Dalam Kontroversi Uqasha

Kamal Adli Harap Jangan Libatkan Hal Peribadi Uqasha

Sementara itu, Kamal Adli pula terpanggil untuk memberikan pandangannya berhubung kecaman yang diterima bekas isterinya, Uqasha Senrose.

Menerusi ciapan di Threads, pelakon filem Abang Long Fadil itu mengakui dirinya bukan individu yang layak untuk mengulas lebih lanjut mengenai isu drama berkenaan.

Namun begitu, Kamal berharap agar orang ramai tidak membawa kecaman tersebut ke arah kehidupan peribadi Uqasha sehingga turut melibatkan anak mereka.

“Salam rakyat, minta maaf sangat. Saya tahu saya tak layak cakap apa-apa tapi pasal isu drama Madu Atau Racun itu.

“Saya harap sangat korang jangan attack personal Uqasha sampai melibatkan nama anak saya dan benda lain,” tulisnya.

Kamal turut menjelaskan bahawa meskipun dia tidak menyokong perkara yang menjadi isu, itu bukanlah alasan untuk mana-mana pihak melampaui batas dalam memberikan kritikan.

“Saya tidak sokong tapi janganlah sampai libatkan personal dan rezeki Uqasha ya.

“Terima kasih rakyat, sayang rakyat comel,” tambahnya.

Kontroversi ‘Madu Atau Racun’: Fasha Sandha Minta Elisya Kuat, Kamal Adli Rayu Jangan Heret Anak Dalam Kontroversi Uqasha

Drama Madu Atau Racun Terpalit Kontroversi

Terdahulu, drama Madu Atau Racun yang dibintangi Uqasha Senrose, Aliff Aziz dan Elisya Sandha menjadi perhatian selepas beberapa adegannya didakwa tidak sesuai dengan budaya serta pegangan agama masyarakat.

Kontroversi itu turut menyaksikan ada pihak yang meminta agar drama tersebut ditarik balik daripada tayangan.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan penayangan drama berkenaan kerana didakwa menimbulkan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Pihak MIG turut tampil membuat permohonan maaf kepada orang ramai susulan kontroversi yang tercetus, termasuk dakwaan bahawa drama tersebut menyentuh sensitiviti agama dan isu LGBTQ.

Susulan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengarahkan kesemua 12 episod Madu Atau Racun disunting semula sebelum dikemukakan kepada panel penilai untuk penilaian lanjut.

Enam episod yang telah disiarkan menerusi platform penstriman iQIYI juga perlu diturunkan buat sementara waktu sehingga proses suntingan selesai dan keputusan rasmi dibuat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Pernah Jadi ‘Akak Cleaner’ Selama 6 Tahun, Kini Bergelar Pensyarah Kanan UM & Miliki Syarikat Sendiri

Setiap kejayaan pasti ada cerita di sebaliknya. Begitu juga dengan kisah seorang wanita yang kini bergelar pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM), selepas pernah bekerja sebagai cleaner selama enam tahun ketika masih menyambung pengajian.

Menerusi perkongsian di Threads, wanita tersebut menceritakan bagaimana dia pernah bekerja sebagai janitor atau lebih mesra dikenali sebagai ‘akak cleaner’ sambil meneruskan pengajian demi mengejar impian.

Pernah Jadi ‘Akak Cleaner’ Selama 6 Tahun, Kini Bergelar Pensyarah Kanan UM & Miliki Syarikat Sendiri

Enam tahun bukan tempoh yang singkat, namun segala penat lelah itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya mencapai impiannya dan bergelar pensyarah.

“Sebelum saya jadi pensyarah kanan saya bekerja sebagai janitor atau dengan lebih senang dikenali sebagai akak cleaner yang usung vacuum setiap hari.

“6 tahun saya kerja ni sambil sambung belajar. Kita akan boleh berjaya jika kita berusaha sebaik-baiknya.

Pernah Jadi ‘Akak Cleaner’ Selama 6 Tahun, Kini Bergelar Pensyarah Kanan UM & Miliki Syarikat Sendiri

“Tapi saya masih buat part time cleaner sebab dah ada syarikat sendiri. Sekarang suami je uruskan syarikat tu,” tulisnya.

Menariknya, meskipun kini sudah bergelar pensyarah kanan dan memiliki syarikat sendiri, dia masih meneruskan kerja sebagai cleaner secara part-time.

Pernah Jadi ‘Akak Cleaner’ Selama 6 Tahun, Kini Bergelar Pensyarah Kanan UM & Miliki Syarikat Sendiri

Bagaimanapun, urusan syarikat tersebut kini diuruskan oleh suaminya.

Perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian netizen yang kagum dengan kesungguhan dan perjalanan hidupnya dalam mengejar impian.

Pernah Jadi ‘Akak Cleaner’ Selama 6 Tahun, Kini Bergelar Pensyarah Kanan UM & Miliki Syarikat Sendiri

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Lebih 20 Tahun Dedikasi Dalam Kerja Kebajikan, Lelaki Ini Sedia Ribuan Peralatan Perubatan Pinjaman Secara Percuma

Baru-baru ini, seorang lelaki bernama Wong Kwok Kheong mencuri perhatian apabila inisiatif kebajikannya membantu golongan memerlukan mendapatkan peralatan perubatan tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos. Usaha tersebut bukan sahaja meringankan beban pesakit, malah memberi peluang kepada keluarga menggunakan wang mereka untuk keperluan harian yang lain.

Memetik laporan BERNAMA, Wong (59) yang sudah kira-kira 20 tahun terlibat dalam kerja kebajikan, terdorong untuk membantu selepas menyaksikan seorang pesakit kanser muda terpaksa berbaring di lantai kerana tidak mempunyai katil yang sesuai sekitar sedekad lalu. Pengalaman itu kemudiannya membawa kepada penubuhan Persatuan Kebajikan I-Kasih pada 2016, yang menyediakan perkhidmatan pinjaman peralatan perubatan secara percuma.

“Tolong orang jangan kira bangsa. Orang Islam kita tolong, Hindu kita tolong, Cina kita tolong. Asalkan dia perlukan bantuan, kita bantu,” katanya.

Lebih 20 Tahun Dedikasi Dalam Kerja Kebajikan, Lelaki Ini Sedia Ribuan Peralatan Perubatan Pinjaman Secara Percuma Lebih 20 Tahun Dedikasi Dalam Kerja Kebajikan, Lelaki Ini Sedia Ribuan Peralatan Perubatan Pinjaman Secara Percuma

Difahamkan, kini I-Kasih mempunyai kira-kira 430 katil hospital dan lebih 2,000 kerusi roda untuk dipinjamkan kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, persatuan berkenaan turut menyediakan pelbagai keperluan lain termasuk kerusi tandas, tongkat, alat bantuan berjalan, tilam udara antidekubitus serta peralatan rehabilitasi.

“Kalau dia perlu dua atau tiga tahun, pakailah. Kalau sampai 10 tahun pun tidak mengapa. Apabila sudah tidak diperlukan, pulangkan kepada kita supaya boleh diberikan kepada orang lain pula,” jelasnya lagi.

Lebih menarik, kemudahan tersebut boleh dipinjam tanpa had tempoh selagi masih diperlukan oleh pesakit. Peralatan yang dikembalikan pula akan melalui proses pembersihan, nyah kuman, pemeriksaan dan pembaikan sebelum disalurkan semula kepada penerima lain, sekaligus memastikan manfaatnya dapat diteruskan kepada lebih ramai individu.

BACA: Kanak-kanak 10 Tahun Ini Derma Sel Stem Demi Selamatkan Bapa Hidap Leukemia, Namun Meninggal Dunia Akibat Komplikasi

Lebih 20 Tahun Dedikasi Dalam Kerja Kebajikan, Lelaki Ini Sedia Ribuan Peralatan Perubatan Pinjaman Secara Percuma
Antara penerima manfaat daripada I-Kasih, Elizyana Abu Bakar.

Menurut Wong, inisiatif berkenaan sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga menjimatkan perbelanjaan yang boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit, khususnya ketika mereka sedang berdepan kos rawatan dan keperluan harian. Antara penerima manfaat ialah Elizyana Abu Bakar yang kini berusia 48 tahun, dari Skudai, yang mengalami strok kira-kira sebulan lalu.

Suaminya, Jefry Mohd Noor (54), berkata bantuan kerusi roda, alat bantuan berjalan dan tongkat daripada I-Kasih amat bermakna buat keluarga mereka yang berdepan kekangan kewangan. Kisah Wong dan I-Kasih membuktikan bahawa satu usaha kecil yang dilakukan dengan ikhlas mampu memberi impak besar kepada kehidupan orang lain, terutama ketika mereka berada pada saat paling memerlukan.

Sumber artikel & foto: BERNAMA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

‘Nyawa & Roh’ Sudah Tiada, Secangkir Cafe Tutup Operasi Selepas Pemergian Pemilik

Buat pelanggan yang pernah menjadikan Secangkir Cafe sebagai tempat untuk menikmati secawan kopi dan sepotong kek, hari ini mungkin menjadi kunjungan terakhir mereka ke kafe tersebut.

Secangkir Cafe dijadualkan membuka pintunya buat kali terakhir pada Jumaat, 4 September 2026, sebelum menamatkan sepenuhnya operasi yang sebelum ini dibangunkan oleh pemiliknya, Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan.

Pengumuman mengenai penutupan itu dikongsikan oleh abang kepada Allahyarham menerusi hantaran di Threads, @iqiekazama.

‘Nyawa & Roh’ Sudah Tiada, Secangkir Cafe Tutup Operasi Selepas Pemergian Pemilik

Keluarga Tidak Mampu Teruskan Legasi Arwah

Menurutnya, keputusan untuk menghentikan operasi Secangkir Cafe bukan dibuat dengan mudah.

Selepas pemergian Allahyarham Sofiya, keluarga berdepan kesukaran untuk meneruskan legasi yang begitu sinonim dengan dirinya.

Malah, antara perkara yang menjadi identiti Secangkir Cafe adalah hasil kek air tangan arwah sendiri yang tidak mudah untuk dihasilkan semula oleh orang lain.

Setiap minggu, kek yang dihasilkan mempunyai keistimewaan dan kelainan tersendiri. Justeru, keluarga mengakui mereka tidak mempunyai kepakaran untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Allahyarham sebelum ini.

“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di cafe tersebut sudah tiada,” luahnya menerusi hantaran tersebut.

‘Nyawa & Roh’ Sudah Tiada, Secangkir Cafe Tutup Operasi Selepas Pemergian Pemilik

Hanya Kopi & Kek Untuk Hari Terakhir

Bagi menghargai semua yang pernah menyokong perjalanan Secangkir Cafe, pihak keluarga akan membuka kafe tersebut buat kali terakhir dari jam 3 petang hingga 9 malam.

Namun, jualan pada hari terakhir akan dilakukan dalam jumlah yang terhad.

Hanya dua menu utama akan disediakan iaitu kopi dan kek, dengan setiap pelanggan dibenarkan membeli maksimum satu potong kek bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung.

Sebanyak 300 cawan kopi pula akan disediakan untuk jualan.

Jadi, buat mereka yang ingin kembali ke Secangkir Cafe untuk mengimbau kenangan atau sekadar menikmati hasil jualannya buat kali terakhir, inilah peluang terakhir sebelum kafe itu menutup tirainya.

‘Nyawa & Roh’ Sudah Tiada, Secangkir Cafe Tutup Operasi Selepas Pemergian Pemilik

Baki Peralatan Akan Dilelong

Bukan hanya operasi kafe yang bakal berakhir, malah keluarga juga memaklumkan baki stok serta peralatan yang terdapat di Secangkir Cafe akan dilelong.

Gambar barangan yang akan dilelong dijangka dikongsikan kepada orang ramai pada hari ini.

Apa yang lebih menyentuh hati, hasil daripada jualan terakhir dan lelongan tersebut akan digunakan untuk menguruskan sekiranya terdapat hutang atau urusan kewangan Allahyarham yang masih belum diselesaikan.

Ia merupakan antara usaha keluarga untuk memastikan segala urusan yang masih tertunggak atas nama arwah dapat dilunaskan.

Dalam masa sama, abang Allahyarham turut menzahirkan penghargaan kepada semua pelanggan yang pernah menyokong Secangkir Cafe sejak awal penubuhannya.

Kehilangan Tiga Ahli Keluarga Dalam Kemalangan

Terdahulu, Allahyarham Sofiya dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh.

Dalam kejadian itu, suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, turut terkorban.

Ketika kemalangan berlaku, keluarga tersebut dilaporkan menaiki sebuah Proton S70, manakala seorang lelaki yang menaiki Honda CR-V turut terkorban.

Nahas berkenaan turut membabitkan beberapa jenis kenderaan lain termasuk bas ekspres, lori tangki simen, trak pikap, MPV, SUV dan beberapa buah kereta.

‘Nyawa & Roh’ Sudah Tiada, Secangkir Cafe Tutup Operasi Selepas Pemergian Pemilik

Kini, selepas pemergian insan yang menjadi jiwa di sebalik Secangkir Cafe, keluarga terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan sebuah legasi yang pastinya menyimpan begitu banyak kenangan bersama Allahyarham.

Bagi pelanggan setia Secangkir Cafe, mungkin yang tinggal selepas ini hanyalah memori. Namun, setiap sokongan dan kenangan yang pernah tercipta di situ pastinya akan terus menjadi sebahagian daripada perjalanan Allahyarham Sofiya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Mingyu SEVENTEEN Tampil Dengan Gaya Rambut ‘Buzz Cut’, Bakal Jalani Latihan Khidmat Tentera 10 September Ini

0

Penyanyi K-Pop terkenal, Mingyu SEVENTEEN baru-baru ini mencuri perhatian peminat menerusi penampilan terbarunya dengan gaya rambut ‘buzz cut’ ketika menghadiri sebuah acara di Seoul, Korea Selatan.

Menerusi beberapa perkongsian yang tular di media sosial, Mingyu atau nama penuhnya Kim Min-gyu (29) dilihat tampil segak dalam persalinan sut ‘double-breasted’, lengkap dengan kaca mata hitam serta rantai emas ketika bergaya di hadapan kamera.

Penampilan tersebut nyata mengundang perhatian ramai apabila foto dan video Mingyu yang dirakam peminat mula tersebar di media sosial. Ramai tidak menyangka anggota kumpulan popular itu akan tampil dengan imej rambut yang jauh lebih pendek berbanding penampilannya sebelum ini.

Mingyu SEVENTEEN Tampil Dengan Gaya Rambut 'Buzz Cut', Bakal Jalani Latihan Khidmat Tentera 10 September Ini Mingyu SEVENTEEN Tampil Dengan Gaya Rambut 'Buzz Cut', Bakal Jalani Latihan Khidmat Tentera 10 September Ini

Lebih menarik lagi, gaya ‘buzz cut’ berkenaan diperlihatkan hanya beberapa hari sebelum Mingyu dijadualkan memulakan khidmat ketenteraan alternatif pada 10 September ini.

Difahamkan, potongan rambut pendek sebegitu sememangnya sering dikaitkan dengan persiapan golongan lelaki di Korea Selatan sebelum memulakan perkhidmatan ketenteraan. Justeru, penampilan baharu Mingyu turut menandakan bahawa beliau kini semakin hampir untuk menjalani tanggungjawab tersebut.

Dalam pada itu, peminat dilihat memberikan pelbagai reaksi terhadap perubahan imej berkenaan, malah ada yang berpendapat gaya rambut ‘buzz cut’ tetap menyerlahkan aura serta penampilan Mingyu sebagai seorang selebriti.

Mingyu SEVENTEEN Tampil Dengan Gaya Rambut 'Buzz Cut', Bakal Jalani Latihan Khidmat Tentera 10 September Ini Mingyu SEVENTEEN Tampil Dengan Gaya Rambut 'Buzz Cut', Bakal Jalani Latihan Khidmat Tentera 10 September Ini

Penampilan tersebut juga menjadi antara momen terakhir Mingyu bersama jenama berkenaan sebelum beliau memulakan khidmat ketenteraan. Kehadirannya di acara itu sekaligus memberikan peluang kepada peminat untuk melihat imej baharunya secara lebih dekat.

BACA: Mingyu, Seungkwan & Dino Seventeen Bakal Jalani Khidmat Ketenteraan Mulai September

Selain Mingyu, beberapa anggota SEVENTEEN yang lain termasuk Seungkwan dan Dino juga bakal menjalani khidmat ketenteraan masing-masing tidak lama lagi, menjadikan tempoh mendatang sebagai satu lagi fasa penting buat kumpulan berkenaan dan para peminat mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Berteraskan semangat “Darah Kita Sama”, Kudrat 1968 mengembalikan penonton ke era yang menjadi titik mula legasi Projek: High Council.

Menampilkan lakonan mantap Mierul Aiman dan Zarif Ghazzi, drama ini mengangkat kisah persahabatan, prinsip dan pencarian identiti dalam dunia yang dibentuk oleh kesetiaan, kuasa dan konflik.

Sebagai penerbitan tempatan pertama yang memperkenalkan konsep “satu cerita, dua format”, naratif Kudrat 1968 bermula menerusi empat episod Astro Originals sebelum berkembang ke layar perak.

konsep & penyelaras FZ AIMMAN perletakan grafik & arahan seni AZNIZA AZIZ teks ZOE@ZULAIKHA fotografi HAIKAL SHUIB suntingan foto HEZRY ROKMAN penerbit video SURIA NUR AMIRA videografi AYP CREATIVE PRODUCTION suntingan video ADAM penata gaya ARIF YUSOFF solekan HELMY SHARIP dandanan FAIZAL AZHAR 

 

“Darah Kita Sama” – Ikatan Yang Membentuk Legasi

Diterajui oleh Mierul Aiman yang membawakan watak Kuda dan Zarif Ghazzi yang diperkenalkan ke dalam universe Kudrat 1968 menerusi watak Abbas, naskhah terbaharu terbitan Astro Shaw ini bukan sekadar menguji kemampuan lakonan mereka, malah mengajar erti kepercayaan, konsep brotherhood dan keberanian dalam menjiwai karakter yang jauh berbeza daripada diri sendiri.

Kudrat 1968 juga bakal memperlihatkan bagaimana ikatan, kesetiaan dan rasa kekitaan menjadi tunjang yang menyatukan mereka dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Mierul Aiman Sebagai Kuda

Mierul Aiman membuka bicara dengan menyentuh mengenai situasi ketika dia menerima tawaran untuk membintangi Kudrat 1968.

Sebagai peminat universe High Council, juara pencarian Hero Remaja 2021 ini mengakui sudah mengikuti setiap perkembangan francais tersebut sebelum ini.

“Saya memang peminat premis High Council. Bila dapat tahu Kudrat 1968 akan diterbitkan, saya teruja nak tahu cerita kali ini.”

Namun keterujaan itu bertukar menjadi kejutan apabila Mierul diminta membawa watak baharu, Kuda, walaupun pernah muncul sebagai Fakhri dalam universe yang sama.

“Pada mulanya saya agak keliru kerana situasi membawakan dua watak yang berbeza biarpun mereka adalah pelajar sekolah lelaki adalah sangat asing di Malaysia. Bila saya buat research, rupanya di peringkat antarabangsa pun ia sangat jarang dilakukan.

“Antara tajuk yang pernah saya temui dan rasa paling sinonim dengan Kudrat 1968 ialah siri Young & Dangerous. Dua pelakon utamanya, Jason Chu dan Roy Cheung; masing-masing memegang karakter berbeza dalam premis yang sama tapi pada musim yang berlainan.

“Jadi, saya tidaklah merasakan tanggungjawab yang perlu saya lunaskan ini bersifat ‘alien’ atau tidak pernah dilakukan sebelum ini. Sekurang-kurangnya, saya mempunyai reference yang kukuh untuk melakukan homework sebelum masuk ke set,” jelas pelakon berbakat itu.

Selepas menempuh uji bakat yang penuh persaingan, Mierul akhirnya diberi kepercayaan untuk menggalas watak Kuda antara nadi penting dalam Kudrat 1968.

Sejak diperkenalkan, watak tersebut segera mencuri perhatian di media sosial, mencetuskan perbualan dan tanda tanya dalam kalangan peminat. Liputan yang meluas ini sekali gus memberi petanda bahawa penonton mula meletakkan Kudrat 1968 dalam radar mereka, terutamanya selepas kejayaan siri Original Astro terdahulu, Good Boys Go To Heaven.

Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Berbeza dengan Mierul Aiman, Zarif Ghazzi pula menerokai perspektif pengalaman yang berbeza apabila dia baru-baru ini telah diperkenalkan sebagai wajah baharu bagi memperkukuhkan universe siri pelajar sekolah tersebut yang telahpun mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Zarif, 22 yang menerima watak Abbas hadir bersama rasa syukur dan sedikit rasa tertekan dalam masa yang sama.

“Saya selalu dibuai dengan persoalan yang sama. ‘Boleh ke aku buat ni?‘. Sebab saya tahu universe ini popular dan diminati ramai. Mereka telahpun terbiasa dengan pelakon sedia ada.

“Namun keyakinan yang diberikan oleh pengarah, Zulaikha Zakaria sedikit demi sedikit menghilangkan rasa ragu berkenaan

“Bila pengarah memberikan signal seperti, ‘It’s a good take‘, saya terus merasa lega. Masa itu saya sedar, kita kena percaya pada pengarah dan sebab mengapa kita sesuai dengan watak yang diberikan menerusi pandangan beliau yang lebih arif dalam hal berkenaan,” ujarnya.

Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Kuda Hidup Dalam ‘Dunia Kelabu’

Jika Fakhri terkenal dengan perjuangannya menentang sistem, Kuda pula merupakan individu yang membina sistem itu sendiri.

Menurut Mierul, perbezaan kedua-dua watak bukan sahaja pada penampilan, malah cara mereka berfikir dan melihat dunia.

“Kuda bukan watak hitam atau putih. Dia berada di kawasan kelabu. Konflik dalaman yang dipendam oleh Kuda menjadi cabaran terbesar saya sepanjang proses penggambaran. Saya kena tunjukkan apa yang dia rasa tanpa terlalu menunjukkan emosinya,” kongsinya.

Kuda baginya mengajar mengenai  satu nilai yang cukup penting iaitu kebebasan memilih. Watak berkenaan sanggup kehilangan apa sahaja asalkan masih ada maruah dan kebebasan untuk membuat pilihan; dan untuk Mierul, keunikan yang ada pada watak berkenaan akan menarik minat ramai penonton untuk terus mengikuti siri tersebut sehingga tamat.

Selain pengalaman membawakan watak Kuda, Mierul, 28 turut menyifatkan suasana di lokasi penggambaran Kudrat 1968 sebagai antara perkara paling bermakna sepanjang kariernya.

Bekerjasama dengan pelakon berpengalaman seperti Rusdi Ramli dan Nabila Huda membuka perspektif baharu tentang profesionalisme dalam industri.

“Saya tidak nampak kasta di set. Tidak kira pelakon lama, pelakon baharu ataupun kru teknikal, semua memberikan tenaga yang sama. Suasana itu menjadikan proses pembelajaran lebih selesa dan menyeronokkan bagi saya,” katanya.

Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Memahami Abbas Sebelum Membawanya Ke Layar

Bagi Zarif pula, cabaran terbesar bukan sekadar melakonkan Abbas tetapi memahami keseluruhan perjalanan hidup watak tersebut.

“Saya kena baca skrip episod satu hingga empat supaya saya betul-betul faham siapakah Abbas yang sebenar. Ternyata, ia berbeza dengan pengalaman hidup saya sendiri yang bersekolah di institusi harian dan sedikit janggal dengan cara remaja membesar di institusi asrama.

“Namun, Abbas bagi saya masih dekat dengan jiwa kehidupan remaja hari ini yang pernah saya lalui satu masa lalu. Semua orang pernah melalui fasa mencari identiti, masuk sekolah baharu dan cuba menyesuaikan diri.

“Cuma bagi Abbas, kisahnya disingkap dengan visi yang mungkin berbeza berbanding dengan remaja lain,” katanya.

Kongsinya lagi, sepanjang berada di set, Zarif memilih untuk datang dengan satu prinsip iaitu sentiasa merendah diri.

“Saya tahu set ini dipenuhi pelakon yang sangat berkualiti. Jadi saya datang untuk belajar dan ambil segala ilmu yang mereka beri. Segala nasihat daripada pelakon senior banyak membantu meningkatkan keyakinannya sepanjang penggambaran.”

Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Brotherhood Yang Dibentuk Oleh Kehidupan Asrama

Antara tema utama Kudrat 1968 ialah persahabatan lelaki yang terbina dalam dunia sekolah berasrama.Mierul yang pernah melalui pengalaman tersebut percaya, hubungan persahabatan ini banyak dipengaruhi konsep tough love. Kedengaran seperti negatif, namun Mierul percaya konsep berkenaan telah berjaya membentuk perwatakan dirinya yang lebih matang pada hari ini.

“Brotherhood selalu bagi kita sedar tentang bitter truth, bukan comfort lies. Tempoh lima tahun saya berada di sekolah berasrama mengajar bahawa keluarga bukan sekadar mereka yang mempunyai pertalian darah. Di sekolah pun kita bina pertalian adik-beradik sendiri.

“Pengalaman itulah yang banyak membantunya memahami hubungan Kuda dengan karakter-karakter lain dalam Kudrat 1968.”

Abbas Adalah Cerminan Remaja Hari Ini

Buat Zarif pula, walaupun kisah ini berlatarbelakangkan era 1968, dia percaya perjalanan Abbas masih dekat dengan realiti generasi hari ini.

“Ramai boleh relate dengan perjalanan Abbas kerana semua orang pernah melalui proses menyesuaikan diri dalam tempoh kita membesar dan mula mengenali dunia.

“Jika ditanya sama ada saya mampu bertahan jika benar-benar hidup pada era berkenaan mungkin saya tidak akan menjadi sekuat Abbas kerana kekuatan saya dalam menyelesaikan setiap masalah yang saya hadapi adalah melalui doa daripada keluarga dan perbincangan bersama mereka.

“Ia sedikit sebanyak membuatkan saya mempunyai appreciation lebih terhadap watak Abbas yang tidak seringkas yang penonton sangkakan.”

Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Sebelum mengakhiri perbualan kami bersama Mierul dan Zarif yang saling berganti giliran memasuki set penggambaran Majalah Remaja edisi terbaharu ini, kami bertanyakan mengenai suasana yang mereka lalui di set penggambaran Kudrat 1968.

“Suasana di lokasi banyak membantu kami menghayati zaman persekolahan yang terjadi hampir 60 tahun yang lepas.

“Bukan hanya skrip; malah set, kostum dan the air surrounding Kudrat 1968 sudah cukup membuatkan kami berasa seperti benar-benar hidup pada zaman tersebut. Set itu benar-benar memberikan tenaga kepada kami.”

Zarif pula memberi tumpuan kepada cara pertuturan dan artikulasi agar dialog kedengaran autentik tanpa terikat dengan bahasa yang terlalu klasik.

“Berbeza dengan watak-watak yang pernah saya jayakan selama ini, pertuturan Abbas berada pada garisan antara baku tapi tidaklah terlalu baku. Cuma penekanan lebih saya berikan kepada konsonen setiap huruf dan perkataan. Mungkin itu yang dimaksudkan Mierul dengan ‘roh set’ yang masuk ke dalam jiwa kami berdua dan pelakon yang lain.”

Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Di sebalik konflik dan perjuangan yang dipaparkan, Kudrat 1968 akhirnya kembali kepada satu nilai yang cukup universal – persahabatan dan kemanusiaan.

Bagi Mierul Aiman, “Kesamarataan diukur daripada toleransi dan kasih sayang, bukan kelas dan status.”

Manakala Zarif Ghazzi menutup pertemuan hari itu dengan satu mesej yang cukup ringkas namun bermakna.

“Walaupun latar belakang kita berbeza, darah kita tetap sama.”

  • Jangan lepaskan siri terbaru terbitan Astro Shaw, Kudrat 1968 High Council, yang akan mula ditayangkan pada September ini. Strim melalui X3 dan aplikasi sooka.
  • Ikuti saluran media sosial rasmi Astro Malaysia dan Astro Shaw untuk perkembangan serta maklumat terkini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Anak Yatim Intan Nazura Dijaga Keluarga Tionghua, Kini Bakal Sambung Pengajian Di UUM

0

Di sebalik kejayaan memperoleh keputusan cemerlang PNGK 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), siapa sangka perjalanan hidup bakal mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Intan Nazura Yusra Purwadi dipenuhi pelbagai ujian sejak kecil.

Intan Nazura, 20, bakal memulakan lembaran baharu dalam hidupnya apabila dijadualkan mendaftar sebagai pelajar baharu UUM pada 15 September ini bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi.

Namun, kegembiraan melangkah ke menara gading hadir bersama kerisauan mengenai perbelanjaan yuran, makan minum serta keperluan sepanjang berada di kampus.

Lebih-lebih lagi apabila Intan kini meneruskan kehidupan tanpa ibu dan bapanya di sisi.

Kehilangan Bapa Tempat Bergantung

Anak Yatim Intan Nazura Dijaga Keluarga Tionghua, Kini Bakal Sambung Pengajian Di UUM

Sejak kecil, Intan dibesarkan oleh bapanya selepas ibunya meninggalkan mereka.

Bapanya menjadi satu-satunya tempat Intan bergantung dan insan yang bekerja keras bagi memastikan anak tunggalnya itu dapat meneruskan kehidupan serta pendidikan.

Namun, kehidupan mereka berubah apabila bapanya meninggal dunia akibat masalah jantung pada tahun lalu.

Kehilangan tersebut bukan sahaja meragut insan paling penting dalam hidup Intan, malah meninggalkannya tanpa ibu atau bapa sebagai tempat bergantung.

Bagaimanapun, di sebalik ujian berat itu, Intan menerima kasih sayang daripada insan yang langsung tidak mempunyai pertalian darah dengannya.

Intan Nazura Anggap Pang Sin Lian Seperti Ibu Sendiri

Anak Yatim Intan Nazura Dijaga Keluarga Tionghua, Kini Bakal Sambung Pengajian Di UUM

Keluarga Tionghua yang merupakan majikan kepada arwah bapanya tampil menjaga kebajikan Intan selepas pemergian lelaki berkenaan.

Sebelum ini, Intan dan bapanya hanya menyewa sebuah bilik di kediaman keluarga tersebut.

Namun selepas bapanya meninggal dunia, keluarga berkenaan tidak membiarkan Intan berdepan kehidupan seorang diri.

Pang Sin Lian, 65, khususnya menjadi figura penting dalam kehidupan Intan dan kini dianggap seperti ibunya sendiri.

Tanpa mengira perbezaan bangsa, agama mahupun ketiadaan pertalian darah, keluarga tersebut terus memberikan tempat berlindung serta menjaga Intan seperti sebahagian daripada keluarga mereka.

Kisah mereka menjadi bukti bahawa nilai kemanusiaan dan kasih sayang mampu melangkaui segala perbezaan.

Kerja Sambilan, Namun Pelajaran Tetap Jadi Keutamaan

Tidak mahu terlalu membebankan keluarga yang menjaganya, Intan turut mengambil inisiatif bekerja secara sambilan bagi menampung keperluan hidup.

Dalam kesibukan bekerja dan berdepan kehilangan besar dalam hidup, anak muda itu tetap tidak mengetepikan pendidikan.

Anak Yatim Intan Nazura Dijaga Keluarga Tionghua, Kini Bakal Sambung Pengajian Di UUM

Hasil usaha dan kegigihannya, Intan Nazura berjaya memperoleh PNGK 3.92 dalam STPM sekali gus membuka peluang untuknya melanjutkan pengajian ke UUM.

Pencapaian tersebut pastinya cukup bermakna buat Intan selepas segala cabaran yang dilaluinya, selain menjadi hadiah istimewa buat arwah bapanya yang pernah berusaha keras membesarkannya.

Kini, Intan hanya selangkah lagi untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa dalam bidang Sains Ekonomi.

UUM Tampil Hulurkan Bantuan Kepada Intan Nazura

Kerisauan Intan mengenai persiapan memasuki universiti turut mendapat perhatian UUM menerusi Program Ziarah Kasih Madani UUM.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri hadir menyantuni Intan bersama keluarga yang menjaganya.

Kunjungan itu turut melibatkan Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Pusat Zakat dan Wakaf UUM (PWZ) serta Bahagian Perkhidmatan dan Kebajikan Pelajar (SSSD).

Menerusi kunjungan tersebut, bantuan disalurkan bagi meringankan beban Intan dalam membuat persiapan sebelum memulakan pengajiannya tidak lama lagi.

Daripada seorang anak yang kehilangan tempat bergantung kepada bakal mahasiswa dengan keputusan STPM membanggakan, perjalanan Intan Nazura membuktikan bahawa ujian hidup tidak semestinya menjadi noktah kepada sebuah impian.

Lebih menyentuh hati, di saat Intan kehilangan keluarga tempatnya berpaut, hadir insan tanpa pertalian darah yang memilih untuk terus berada di sisinya.

Sumber : Facebook Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Jerebu Sampai Malaysia, Menteri Kehutanan Indonesia Tegaskan “Asap Tak Kenal Sempadan”

Isu jerebu yang turut memberi kesan kepada Malaysia mendapat perhatian Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni, yang menegaskan bahawa asap akibat kebakaran hutan dan tanah sememangnya tidak mengenal sempadan negara.

Malah, beliau menggunakan ungkapan “asap tidak ada Kartu Tanda Penduduk (KTP)” bagi menggambarkan bagaimana asap boleh bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada arah angin.

Jerebu Sampai Malaysia, Menteri Kehutanan Indonesia Tegaskan “Asap Tak Kenal Sempadan”

Asap Boleh Bergerak Ikut Arah Angin

Menurut Raja Juli, keadaan angin ketika ini menyebabkan asap daripada kebakaran bergerak ke kawasan tertentu. Namun begitu, situasi sama juga boleh berlaku apabila asap dari negara jiran memasuki wilayah Indonesia.

“Kalau arah anginnya dari sana, kebakaran yang berlaku di sana juga boleh masuk ke Indonesia kerana memang asap tidak ada KTP,” katanya di pejabat Kementerian Kehutanan di Jakarta pada Selasa.

Ungkapan tersebut digunakan bagi menjelaskan bahawa asap tidak mempunyai batasan seperti manusia yang mempunyai kad pengenalan atau kewarganegaraan tertentu.

Jerebu Sampai Malaysia, Menteri Kehutanan Indonesia Tegaskan “Asap Tak Kenal Sempadan”

Indonesia Komited Kurangkan Kesan Jerebu

Susulan isu berkenaan, Raja Juli berkata kerajaan Indonesia akan terus melakukan usaha sebaik mungkin bagi mencegah pencemaran jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah.

“Kita akan terus berusaha semaksimum mungkin supaya tidak memberikan kesan negatif atau kemudaratan kepada negara jiran,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Indonesia akan meneruskan kerjasama dengan negara-negara jiran bagi mengawal kebakaran hutan serta mengelakkan kejadian jerebu rentas sempadan daripada terus berlaku.

Keselamatan Rakyat Jadi Keutamaan

Dalam pada itu, Raja Juli turut mengingatkan mengenai arahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto supaya keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan ketika berdepan dengan kebakaran hutan.

Katanya, anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Nasional Indonesia (Polri) serta pasukan Manggala Agni kini terus digerakkan bagi mengawal kebakaran dan membantu melindungi penduduk yang terjejas.

Jerebu Sampai Malaysia, Menteri Kehutanan Indonesia Tegaskan “Asap Tak Kenal Sempadan”

Orang Ramai Diminta Elak Pembakaran

Raja Juli pada masa sama menyeru masyarakat serta syarikat-syarikat besar supaya tidak menjalankan aktiviti pembersihan tanah menggunakan kaedah pembakaran, khususnya ketika musim kering sepanjang September.

Menurutnya, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan yang bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk di Indonesia, malah berpotensi membawa kesan kepada negara jiran.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.