Home Blog Page 22

Harumkan Nama Malaysia Di Osaka, Pelajar SAHUT Raih Tiga Pengiktirafan Di Universal Robotics Challenge 2026

0

Siapa kata anak muda Malaysia hanya hebat di dalam kelas? Sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) membuktikan kemampuan mereka dalam bidang teknologi apabila berjaya membawa pulang tiga pengiktirafan menerusi pertandingan Universal Robotics Challenge 2026 di Osaka, Jepun.

Bersaing dengan 58 pasukan dari 13 buah negara, wakil SAHUT berjaya meraih tempat ketiga bagi Kategori Python selain turut menerima dua pengiktirafan khas iaitu Engineering Award dan Creativity Award.

Pencapaian tersebut diraih menerusi pertandingan yang berlangsung di OMM Building Exhibition Hall, Osaka pada 19 September lalu.

Kejayaan di Universal Robotics Challenge 2026 itu bukan sahaja menjadi pencapaian membanggakan buat warga sekolah, malah memperlihatkan kemampuan pelajar Malaysia membawa kemahiran dalam bidang teknologi, programming dan robotik ke pentas antarabangsa.

Harumkan Nama Malaysia Di Osaka, Pelajar SAHUT Raih Tiga Pengiktirafan Di Universal Robotics Challenge 2026

Harumkan Nama Malaysia Di Osaka, Pelajar SAHUT Raih Tiga Pengiktirafan Di Universal Robotics Challenge 2026

Robot Sebagai Penyelamat Di Universal Robotics Challenge 2026

Membawakan tema Robots to the Rescue, edisi URC kali ini mencabar para peserta untuk menghasilkan inovasi robotik yang mampu menangani pelbagai situasi berkaitan bencana.

Cabaran yang diberikan bukan sekadar memerlukan peserta menghasilkan robot yang mampu bergerak dan berfungsi dengan baik.

Sebaliknya, kebolehan mereka dalam aspek reka bentuk, programming, kreativiti, kejuruteraan serta problem-solving turut diuji bagi memastikan setiap inovasi yang dibangunkan benar-benar memenuhi tugasan diberikan.

Ia sekali gus menjadikan pertandingan tersebut sebagai medan untuk para peserta menggunakan pengetahuan yang dipelajari dalam situasi cabaran sebenar. Setiap pasukan bukan sahaja perlu memikirkan bagaimana sesebuah robot boleh menjalankan tugas, malah perlu memastikan idea dan penyelesaian yang diketengahkan mempunyai elemen kreativiti serta kejuruteraan.

Dalam persaingan sengit itu, pasukan SAHUT berjaya mencuri perhatian apabila menamatkan saingan di tempat ketiga bagi Kategori Python, sekali gus membuktikan kemampuan pelajar sekolah Malaysia bersaing dalam bidang robotik dan programming di pentas antarabangsa.

Pencapaian dalam Kategori Python turut menjadi sesuatu yang cukup bermakna memandangkan para peserta perlu menggabungkan kemahiran programming dengan pemahaman terhadap fungsi robot bagi menyelesaikan cabaran yang diberikan sepanjang pertandingan.

Harumkan Nama Malaysia Di Osaka, Pelajar SAHUT Raih Tiga Pengiktirafan Di Universal Robotics Challenge 2026

Harumkan Nama Malaysia Di Osaka, Pelajar SAHUT Raih Tiga Pengiktirafan Di Universal Robotics Challenge 2026

Dua Lagi Anugerah Khas

Lebih membanggakan, pencapaian SAHUT di Osaka tidak terhenti dengan kedudukan podium sahaja.

Empat lagi murid sekolah berkenaan turut mendapat perhatian juri menerusi hasil inovasi mereka sehingga berjaya membawa pulang dua pengiktirafan khas, masing-masing menerusi Engineering Award dan Creativity Award.

Dua pengiktirafan tersebut melengkapkan pencapaian SAHUT di Universal Robotics Challenge 2026 selepas wakil sekolah berkenaan turut berjaya memperoleh tempat ketiga dalam Kategori Python.

Secara keseluruhan, SAHUT pulang dengan tiga pengiktirafan daripada URC 2026, satu pencapaian yang cukup manis selepas menempuh perjalanan jauh dari Hulu Terengganu sehingga ke Osaka demi membawa nama sekolah dan Malaysia.

Universal Robotics Challenge 2026 Tonjol Potensi Pelajar Malaysia

Pencapaian ini juga memperlihatkan potensi besar generasi muda negara dalam bidang STEM, coding dan robotics, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah mampu menguji kemahiran serta idea masing-masing bersama peserta dari pelbagai negara.

Penyertaan di pentas antarabangsa seperti Universal Robotics Challenge 2026 turut memberi peluang kepada pelajar untuk melihat bagaimana kemahiran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik boleh diterjemahkan kepada inovasi yang mempunyai fungsi tertentu.

Dalam masa sama, pengalaman berdepan peserta antarabangsa memberikan ruang kepada mereka untuk menguji bukan sahaja pengetahuan teknikal, tetapi juga kreativiti, kemampuan menyelesaikan masalah dan kebolehan bekerja dalam satu pasukan ketika berdepan sesuatu cabaran.

Lebih menarik, kejayaan meraih pengiktirafan dalam tiga aspek berbeza memperlihatkan bahawa pencapaian pasukan SAHUT bukan hanya tertumpu kepada satu kemahiran. Kedudukan dalam Kategori Python menunjukkan kemampuan dari sudut programming, manakala Engineering Award dan Creativity Award pula memberi pengiktirafan kepada aspek kejuruteraan serta kreativiti yang diketengahkan menerusi inovasi mereka.

Bagi pelajar sekolah, peluang membawa hasil usaha sendiri sehingga ke peringkat antarabangsa pastinya menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan. Lebih-lebih lagi apabila mereka berpeluang bersaing dengan 58 pasukan dari 13 buah negara dalam pertandingan yang sama.

Dari Hulu Terengganu ke Osaka, Jepun, ternyata perjalanan jauh itu cukup berbaloi. Tahniah SAHUT!

Sumber : Facebook Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Ketepikan Impian Jadi Tentera, Pelajar UPNM Tangguh Pengajian Demi Jaga Ayah

0

Impian untuk bergelar seorang anggota tentera sudah lama tersimpan dalam hati Siti Nurdiana. Namun ketika perjalanan mengejar cita-cita itu baru bermula, pelajar UPNM ini memilih untuk berhenti seketika demi insan yang paling bermakna dalam hidupnya.

Sebagai anak tunggal, Siti Nurdiana mengambil keputusan menangguhkan pengajian selama enam bulan bagi menjaga bapanya, Mohamad Bistawi yang kini menghidap kanser paru-paru.

Keputusan tersebut dibuat selepas keadaan kesihatan bapanya semakin merosot dan kerap dimasukkan ke wad sehingga memerlukan penjagaan lebih rapi.

Bagi Siti Nurdiana, pengorbanan itu adalah caranya membalas jasa seorang ayah yang membesarkannya sendirian sejak kehilangan ibu pada tahun 2009 akibat komplikasi penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

Impian Pelajar UPNM Jadi Tentera Terpaksa Ditangguhkan

Siti Nurdiana kini mengikuti pengajian dalam jurusan Pengurusan Rantaian Bekalan dan Logistik di UPNM.

Menurutnya, impian untuk menyertai bidang ketenteraan sudah dipasang sejak kecil. Namun buat masa ini, keadaan bapanya menjadi keutamaan.

Ketepikan Impian Jadi Tentera, Pelajar UPNM Tangguh Pengajian Demi Jaga Ayah

Sebelum mengambil keputusan menangguhkan pengajian, Siti Nurdiana pernah meminta bantuan jiran untuk memantau keadaan bapanya serta menyediakan makanan ketika dia perlu kembali ke kampus.

Namun, apabila kesihatan bapanya semakin merosot dan kerap dimasukkan ke hospital, dia sedar bapanya memerlukan dirinya di sisi.

Keputusan yang dibuat pelajar UPNM itu bermakna perjalanan pengajiannya perlu dihentikan sementara. Dalam keadaan bapanya yang semakin uzur, Siti Nurdiana memilih untuk memberikan perhatian kepada penjagaan bapanya di rumah.

Kini, rutin hariannya banyak tertumpu kepada menjaga keperluan Mohamad Bistawi termasuk menyediakan makanan, menguruskan rumah serta menyuap makan dan minum.

Dia juga memandikan bapanya di sebuah ruang tandas kecil yang dibina berhampiran dinding rumah bagi memudahkannya mengangkat dan menguruskan bapanya seorang diri.

Bapanya yang semakin uzur turut memerlukan lampin pakai buang sekitar dua hingga tiga kali sehari.

RM500 Sebulan Besarkan Anak Hingga Ke Universiti

Sebelum jatuh sakit, Mohamad Bistawi bekerja sebagai pembuat pasu di Gunung Keriang dengan pendapatan sekitar RM500.

Walaupun jumlah itu tidak besar, hasil titik peluh tersebut digunakan untuk membesarkan Siti Nurdiana sehingga anak tunggalnya berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

Perjalanan Siti Nurdiana hingga bergelar pelajar UPNM juga tidak dapat dipisahkan daripada pengorbanan bapanya yang bekerja keras membesarkannya selepas pemergian ibunya.

Tidak mahu terus membebankan bapanya, Siti Nurdiana juga pernah bekerja sambilan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi menampung keperluan sepanjang pengajian.

Kini, wang simpanan daripada pekerjaan tersebut digunakan untuk membeli barangan keperluan bapanya termasuk makanan dan lampin pakai buang.

Pelajar UPNM Masih Berharap Dapat Sambung Pengajian

Dalam pada itu, Siti Nurdiana masih menyimpan harapan untuk kembali meneruskan pengajian pada semester ketiga sekiranya keadaan kesihatan bapanya bertambah baik.

Biarpun terpaksa memperlahankan perjalanan mengejar cita-cita buat sementara waktu, peluang untuk berada di sisi bapanya dianggap jauh lebih berharga.

Penangguhan selama enam bulan itu tidak bermakna impiannya untuk meneruskan pengajian dan mengejar cita-cita dalam bidang ketenteraan berakhir. Sebaliknya, buat masa ini Siti Nurdiana memilih untuk memberikan sepenuh perhatian kepada insan yang telah membesarkannya sejak kecil.

“Saya tidak akan mensia-siakan peluang menjaga ayah selagi hayatnya masih ada,” katanya.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang diketuai pengerusinya, Zuraini Kamal.

Selain menyampaikan sumbangan wang tunai dan susu formula khas, CSM turut akan menyumbangkan sebuah katil pesakit bagi membolehkan Mohamad Bistawi berehat dengan lebih selesa.

Bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu keperluan Mohamad Bistawi yang kini memerlukan penjagaan rapi, selain memudahkan Siti Nurdiana menguruskan bapanya di rumah.

Sumber : Terengganu Voice, Harian Metro

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Diserang Strok, Ayah Tetap Gagahkan Diri Hantar Anak Daftar UUM

Biarpun berdepan keadaan kesihatan yang belum pulih sepenuhnya, seorang bapa dari Terengganu tetap menggagahkan diri mengiringi anaknya mendaftar pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kisah Mohd Nazri dari Kampung Desa Jaya, Sungai Tong, Terengganu ini menjadi bukti kasih seorang bapa yang sanggup mengetepikan keterbatasan diri demi memastikan anaknya memperoleh peluang melanjutkan pengajian ke menara gading.

Tetap kuat demi masa depan anak

Mohd Nazri sebelum ini bekerja sebagai pekebun sekolah, namun kehidupannya berubah selepas diserang angin ahmar pada tahun lalu.

Dalam keadaan fizikal yang masih dalam proses pemulihan, pergerakannya kini terbatas dan dia perlu dipapah oleh isterinya untuk berjalan.

Namun begitu, keadaan tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk melihat anaknya, Nor Nazlieya Natasya meneruskan pengajian.

Menerusi Misi Ziarah Kasih UUM pada 10 September lalu, rombongan yang diketuai Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Mohamad Zulkurnal Ghazali, berkesempatan menziarahi keluarga berkenaan.

Diserang Strok, Ayah Tetap Gagahkan Diri Hantar Anak Daftar UUM

Pertemuan itu berlangsung dalam suasana penuh emosi apabila Mohd Nazri dilihat berjalan perlahan dengan dipapah isterinya.

Walaupun jelas masih menanggung kesakitan akibat strok yang dialami, wajahnya tetap menggambarkan rasa bangga terhadap pencapaian anaknya.

Anak gigih kumpul wang pendaftaran

Dalam pada itu, keadaan kewangan keluarga yang semakin terbatas tidak menghalang Nor Nazlieya daripada mengejar impiannya.

Malah, selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dia mengambil inisiatif bekerja di sebuah kedai makan di pekan bagi mendapatkan pendapatan serta mengumpul wang untuk keperluan pendaftaran universiti.

Nor Nazlieya menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat Dengan Kepujian di UUM.

Bagi dirinya, peluang tersebut bukan sahaja membuka laluan untuk mendapatkan pendidikan tinggi, malah menjadi satu langkah penting dalam usaha mengubah kehidupan keluarganya.

“Tiada harta dunia yang dapat ayah wariskan”

Biarpun tidak mampu menyediakan kemewahan untuk anaknya, Mohd Nazri tetap mahu mewariskan sesuatu yang lebih bermakna, iaitu semangat untuk menuntut ilmu.

“Tiada harta dunia yang dapat ayah wariskan, melainkan semangat untuk menuntut ilmu,” bisik sang ayah dalam esakan yang memecah kesunyian.

Dia turut menitipkan pesanan agar Nazlieya terus berjuang bersungguh-sungguh sejak semester pertama, selain menyimpan harapan untuk melihat anaknya menjadi antara insan terbaik dari bumi Setiu.

Diserang Strok, Ayah Tetap Gagahkan Diri Hantar Anak Daftar UUM

Sanggup tempuh ratusan kilometer

Keazaman Mohd Nazri untuk memastikan anaknya memulakan kehidupan sebagai mahasiswa bukan sekadar kata-kata.

Walaupun masih dalam keadaan fizikal yang terbatas, dia tetap berusaha mengiringi sendiri Nazlieya menempuh perjalanan ratusan kilometer dari Terengganu ke Sintok, Kedah.

Pada hari pendaftaran di Inasis BSN, UUM, Selasa lalu, kelibat Mohd Nazri yang dipapah sambil menemani langkah anaknya mencuri perhatian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Adeola Fay Robert Gemilang! Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Sukan Asia 2026 Pada Usia 20 Tahun

0

Penampilan sulung Adeola Fay Robert di temasya Sukan Asia telah menjelmakan pingat emas pertama untuk Malaysia bagi edisi kali ini yang sedang berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun.

Atlet karate wanita berusia 20 tahun itu mencipta kejayaan membanggakan negara menerusi acara kumite bawah 55 kilogram (kg), sekali gus membuka akaun pingat emas kontinjen Malaysia pada temasya tersebut.

Adeola Fay Robert Tewaskan Wakil Iran Di Final

Gadis kelahiran Sabah itu tampil dengan aksi penuh bertenaga apabila menewaskan atlet dari Iran, Fatemehzahra Saeidabadi dengan keputusan 6-4 pada acara final kumite bawah 55kg pada Selasa.

Kemenangan tersebut menyaksikan Adeola berjaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia dalam penampilan sulungnya di Sukan Asia.

Adeola Fay Robert Gemilang! Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Sukan Asia 2026 Pada Usia 20 Tahun

Pencapaian itu pastinya cukup istimewa buat atlet muda berkenaan apabila berjaya menaiki podium tertinggi pada usia 20 tahun, apatah lagi selepas berdepan tentangan daripada beberapa atlet antarabangsa sepanjang saingan.

Rentetan Positif Adeola Fay Robert Di Pentas Antarabangsa

Kejayaan membanggakan itu merupakan rentetan positif buat atlet berkenaan di temasya antarabangsa selepas pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025.

Daripada membawa pulang gangsa di Sukan SEA kepada meraih emas di Sukan Asia, pencapaian terbaharu ini menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan karier atlet kelahiran Sabah berkenaan.

Lebih membanggakan, pingat emas yang dimenangi Adeola ini telah menamatkan penantian skuad karate wanita Malaysia untuk meraih pingat emas di Sukan Asia.

Kali terakhir kejayaan tersebut dicatatkan adalah menerusi Syakilla Salni yang melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Terdahulu, Adeola telah menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan dengan keputusan 5-4 di peringkat separuh akhir.

Sebelum itu, dia turut mencatat kemenangan ke atas Asrar Jasem dari Kuwait dengan keputusan 9-1 dan Sevinch Raakhimova dari Uzbekistan 8-7 pada pusingan terdahulu.

Keputusan tersebut memperlihatkan laluan yang cukup mencabar buat atlet negara itu. Namun, Adeola berjaya meneruskan momentum kemenangan sehingga ke aksi final sebelum mengatasi Fatemehzahra Saeidabadi dari Iran 6-4.

Adeola Fay Robert Gemilang! Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Sukan Asia 2026 Pada Usia 20 Tahun

Emas Pertama Malaysia Di Sukan Asia 2026

Kemenangan ini bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi bermakna buat Adeola, malah turut memberikan detik membanggakan buat kontinjen negara apabila ia menjadi pingat emas pertama Malaysia pada edisi Sukan Asia kali ini.

Lebih istimewa, kejayaan berkenaan hadir dalam penampilan sulungnya di temasya Sukan Asia. Pada usia 20 tahun, Adeola berjaya melalui beberapa perlawanan sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan di pentas final.

Emas tersebut turut mengembalikan skuad karate wanita negara ke kedudukan teratas podium Sukan Asia selepas penantian sejak kejayaan Syakilla Salni pada 2014.

Selepas kejayaan meraih gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025, pencapaian kali ini meneruskan perkembangan positif Adeola di pentas temasya antarabangsa.

Kejayaan Membanggakan Buat Karate Wanita Malaysia

Bagi skuad karate wanita Malaysia, kejayaan tersebut mempunyai nilai tersendiri kerana penantian untuk kembali meraih emas di temasya berkenaan akhirnya berakhir.

Daripada pusingan awal sehingga aksi final, Adeola berdepan wakil Uzbekistan, Kuwait, Kazakhstan dan Iran sebelum memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia.

Catatan kemenangan 8-7 ke atas Sevinch Raakhimova diikuti kemenangan besar 9-1 ke atas Asrar Jasem. Adeola kemudian melepasi cabaran Bella Samasheva dengan keputusan tipis 5-4 sebelum melengkapkan perjalanan tersebut menerusi kemenangan 6-4 ke atas Fatemehzahra Saeidabadi dalam final.

Ia merupakan satu permulaan yang cukup manis buat atlet berusia 20 tahun itu dalam penampilan sulungnya di Sukan Asia dan pada masa sama mencipta satu lagi detik membanggakan buat sukan karate negara.

Tahniah Adeola!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Tak Putus Asa Cari Rezeki, Ibu Tunggal OKU Tetap Hantar Makanan Walau Berjalan Kaki

Ketika kebanyakan penghantar makanan memilih menggunakan motosikal untuk memudahkan urusan menghantar pesanan, seorang ibu tunggal, Nur Rahimah Alia Salehuddin pula memilih untuk berjalan kaki atau menunggang basikal demi mencari rezeki buat anaknya.

Nur Rahimah yang merupakan individu autisme serta orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, dia sudah terbiasa menggalas beg penghantaran walaupun perlu menempuh jarak yang jauh ketika menjalankan tugas.

Malah, dia pernah berjalan kaki sehingga kira-kira 20 kilometer semata-mata untuk menghantar makanan kepada pelanggan.

“Kalau dapat kerja dua hingga tiga jam saja saya sudah bersyukur, itu yang saya boleh buat kerana sekarang jadual penghantaran tidak banyak,” katanya.

Tak Putus Asa Cari Rezeki, Ibu Tunggal OKU Tetap Hantar Makanan Walau Berjalan Kaki

Bermula Dengan Berjalan Kaki

Menurut Nur Rahimah, dia pada awalnya melakukan kerja penghantaran dengan berjalan kaki sebelum menerima sebuah basikal menerusi satu program pada penghujung 2020.

Basikal tersebut banyak membantunya untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain ketika menghantar pesanan.

Bagaimanapun, kemudahan itu tidak dapat digunakan lagi selepas basikal lipat miliknya dicuri baru-baru ini, menyebabkan dia terpaksa kembali berjalan kaki untuk meneruskan pekerjaan.

“Saya selalu menggunakan basikal atau berjalan kaki untuk menghantar makanan tapi baru-baru ini, basikal lipat saya dicuri jadi saya terpaksa menghantar makanan berjalan kaki semula.

“Basikal itu dicuri walaupun saya sudah menguncinya berhampiran MRT (transit aliran massa) Surian. Kunci basikal itu dipotong dan hanya rantainya yang tinggal,” katanya lagi.

Pernah Bekerja Dalam Bidang Teknologi Maklumat

Sebelum bergelar penghantar makanan, Nur Rahimah sebenarnya mempunyai pengalaman dalam bidang teknologi maklumat dan pengujian perisian.

Namun, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada 2018 bagi menjaga ibunya yang ketika itu sedang sakit sebelum ibunya meninggal dunia pada 2020.

Selepas itu, Nur Rahimah mula menceburi pekerjaan sebagai penghantar makanan pada tahun sama selepas usahanya mendapatkan pekerjaan dalam bidang lain tidak membuahkan hasil.

“Saya mula kerja sebagai penghantar makanan pada 2020 selepas banyak kali cuba cari kerja dalam bidang lain, tetapi tidak berhasil sehingga kini. Mungkin sebab mereka tengok saya OKU.

“Selepas itu, saya mendapati semakin sukar mendapatkan pekerjaan tetap semula, malah ada permohonan ditolak kerana dianggap terlebih kelayakan,” tambahnya.

Disahkan Autisme Ketika Sambung Pengajian

Berkongsi mengenai dirinya pula, Nur Rahimah berkata dia disahkan sebagai individu autisme ketika sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma.

Dia pernah berdepan pengalaman dibuli ketika berada di kampus pada 2003, sebelum kemudiannya mengetahui mengenai keadaan autisme yang dialaminya.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan dia kadangkala berdepan kesukaran untuk memahami gurauan, sindiran atau sesuatu perkara yang disampaikan secara tersirat oleh orang lain.

“Saya bukan tidak boleh bergurau, tapi sukar untuk memahami maksud tersirat yang disampaikan orang lain,” ujarnya.

Tak Putus Asa Cari Rezeki, Ibu Tunggal OKU Tetap Hantar Makanan Walau Berjalan Kaki

Masih Mencari Peluang Pekerjaan Tetap

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Nur Rahimah masih meneruskan pekerjaan sebagai penghantar makanan bagi menyara kehidupan dan keluarganya.

Pada masa sama, dia turut berharap dapat memperoleh pekerjaan tetap yang bersesuaian dengan kemahiran, pengalaman serta kelayakan yang dimilikinya.

Buat masa ini, kerja penghantaran makanan menjadi antara cara yang masih boleh dilakukannya untuk meneruskan kehidupan sambil terus mencari peluang pekerjaan yang lebih stabil.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Jerebu Berpotensi Jadi Lebih Teruk, Dijangka Berlarutan Hingga Tahun Depan

0

Terbaru, masalah jerebu yang melanda negara dijangka berlarutan hingga awal tahun depan susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berterusan, selain peningkatan risiko pembakaran terbuka di beberapa kawasan. Situasi itu dijangka menjadi lebih mencabar sekiranya keadaan cuaca kering berpanjangan tanpa menerima taburan hujan yang mencukupi.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, fenomena El Nino yang sedang berlaku turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut, dengan fenomena berkenaan dijangka mencapai tahap lebih kuat pada penghujung tahun ini dan berpotensi berterusan sehingga awal 2027.

“Negara sedang berhadapan dengan El Nino kuat dan berpotensi mencapai tahap ‘Super’ (sangat kuat) bermula Oktober hingga Januari 2027,” katanya.

Jerebu Berpotensi Jadi Lebih Teruk, Dijangka Berlarutan Hingga Tahun Depan Jerebu Berpotensi Jadi Lebih Teruk, Dijangka Berlarutan Hingga Tahun Depan

“Keadaan kering berpanjangan akan meningkatkan risiko berlaku kebakaran terbuka, terutama di kawasan mudah terbakar, sekaligus berpotensi memburukkan keadaan jerebu,” jelasnya lagi.

Menurut Datuk Seri Arthur, keadaan jerebu kali ini berpotensi mengambil tempoh lebih panjang untuk pulih berbanding situasi sebelum ini yang lazimnya berlaku sekitar satu hingga dua bulan. Cuaca yang semakin panas tanpa hujan yang mencukupi juga boleh menyebabkan keadaan sedia ada menjadi lebih buruk.

Dalam perkembangan sama, Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyumbang kepada pencemaran jerebu, khususnya di Kalimantan yang dilaporkan mempunyai lebih 1,400 titik panas. Bantuan yang ditawarkan termasuk operasi pemadaman kebakaran dari udara menggunakan helikopter, pesawat amfibi serta pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA).

Jerebu Berpotensi Jadi Lebih Teruk, Dijangka Berlarutan Hingga Tahun Depan

Difahamkan, tawaran tersebut dibuat menerusi surat yang dikemukakan kepada Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia pada 9 September lalu sebelum mendapat persetujuan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Bentuk bantuan akan diselaraskan bersama pihak Indonesia mengikut keperluan di lapangan, dengan penglibatan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, NADMA, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, MET Malaysia dan TUDM.

Pada masa yang sama, usaha menangani isu jerebu dan cuaca kering turut diperkukuhkan menerusi kerjasama serantau. Malaysia sebelum ini membawa perkara berkenaan ke peringkat ASEAN dengan menggesa negara anggota meningkatkan langkah pencegahan, pemantauan dan kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko kebakaran serta pencemaran jerebu merentas sempadan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Saya Tak Akan Tinggalkan Drama” –Nadhir Nasar Tak Akan Tinggalkan Drama, Tetap Jadi Ruang Asah Bakat Lakonan

Aktor versatil, Nadhir Nasar menegaskan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia drama meskipun kini semakin aktif menerokai filem dan karya untuk platform penstriman seperti over-the-top (OTT).

Menurut pelakon berusia 30 tahun itu, drama mempunyai kedudukan tersendiri dalam perjalanan karier seninya, malah medium tersebut menjadi antara ruang penting untuk dirinya terus mengasah kemahiran lakonan.

“Saya Tak Akan Tinggalkan Drama” –Nadhir Nasar Tak Akan Tinggalkan Drama, Tetap Jadi Ruang Asah Bakat Lakonan

Drama Tetap Ada Tempat Istimewa

Jelas Nadhir, pengalaman membintangi drama banyak membantunya membina asas sebagai pelakon sebelum membawa karakter ke layar yang lebih besar.

“Saya tidak akan tinggalkan drama. Saya suka berlakon drama kerana bagi saya, itu antara tempat untuk mengasah lagi bakat lakonan sebelum dibawa ke filem dan skrin besar.

“Saya Tak Akan Tinggalkan Drama” –Nadhir Nasar Tak Akan Tinggalkan Drama, Tetap Jadi Ruang Asah Bakat Lakonan

“Saya seronok buat drama dan paling saya suka apabila dapat melihat ibu menonton lakonan saya di kaca televisyen.

“Ramai juga peminat yang masih mengikuti drama saya. Bagi saya, drama sangat penting kerana masih ada makcik-makcik yang suka tengok drama saya,” katanya.

“Saya Tak Akan Tinggalkan Drama” –Nadhir Nasar Tak Akan Tinggalkan Drama, Tetap Jadi Ruang Asah Bakat Lakonan

Terbuka Kepada Drama, Filem Dan OTT

Dalam pada itu, bekas peserta Hero Remaja itu turut mengulas mengenai kecenderungan sesetengah pelakon baharu yang lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada filem atau karya OTT.

Bagi Nadhir, perkara tersebut merupakan pilihan peribadi setiap pelakon dan banyak bergantung kepada rezeki serta kesesuaian sesebuah tawaran dengan diri mereka.

“Bagi saya, pilihan masing-masing dan semuanya bergantung kepada rezeki. Saya masih terbuka untuk buat drama, filem atau OTT kalau naskhah itu bagus dan kena dengan diri saya.

“Kalau sekadar mahu buat filem tetapi karakter itu tidak sesuai dengan kita, untuk apa? Ada ramai pelakon di luar sana yang mungkin boleh membawakan karakter itu dengan lebih baik.

“Jadi, saya rasa setiap orang ada pilihan dan rezeki masing-masing untuk menentukan di mana mereka mahu berada,” ujarnya.

“Saya Tak Akan Tinggalkan Drama” –Nadhir Nasar Tak Akan Tinggalkan Drama, Tetap Jadi Ruang Asah Bakat Lakonan

Bagi Nadhir, apa yang lebih penting adalah memastikan sesuatu karya dan karakter yang dipilih benar-benar bersesuaian dengan dirinya, tanpa mengira sama ada ia hadir menerusi drama, filem mahupun platform penstriman.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Minta Pengurus Ambilkan Ubat Tidur Secara Jarak Jauh, Psy Didenda 5 Juta Won

Penyanyi terkenal, Psy baru-baru ini mencuri perhatian selepas beliau dikenakan denda sebanyak 5 juta Korea Won (kira-kira RM14,800) selepas didakwa mendapatkan preskripsi ubat tidur dan beberapa jenis ubat lain secara jarak jauh, sebelum meminta pengurusnya mengambil ubat tersebut bagi pihaknya.

Menerusi sebuah kenyataan oleh sumber perundangan pada 21 September, Hakim Yejin Choi dari Bahagian 12 Mahkamah Daerah Barat Seoul telah mengeluarkan perintah ringkas pada 15 September lalu, yang menetapkan Psy atau pemilik nama sebenar Park Jae-sang (49) perlu membayar denda berkenaan. Penyanyi itu sebelum ini telah didakwa secara ringkas atas tuduhan melanggar Akta Perkhidmatan Perubatan.

Menurut laporan, Psy didakwa mendapatkan preskripsi bagi ubat psikotropik yang digunakan untuk merawat masalah keresahan serta gangguan tidur di sebuah hospital universiti di Seoul dari 2022 hingga tahun lalu tanpa menjalani pemeriksaan atau rundingan secara bersemuka dengan doktor.

Minta Pengurus Ambilkan Ubat Tidur Secara Jarak Jauh, Psy Didenda 5 Juta Won

Lebih mengejutkan, ubat berkenaan didakwa diambil oleh pengurusnya dan beberapa pihak lain bagi pihak penyanyi itu. Berdasarkan undang-undang perubatan yang sedang berkuat kuasa di Korea Selatan, preskripsi lazimnya hanya boleh dikeluarkan selepas pesakit diperiksa sendiri oleh pegawai perubatan, manakala pengambilan ubat oleh wakil hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu.

Susulan siasatan yang dijalankan, pihak pendakwaan kemudiannya mendakwa Psy atas dakwaan melanggar undang-undang tersebut sebelum mahkamah mengeluarkan perintah ringkas yang menetapkan denda sebanyak 5 juta Korea Won. Bagaimanapun, Psy masih mempunyai hak untuk memohon supaya kes berkenaan dibicarakan secara rasmi.

Selain itu, beliau boleh mengemukakan permohonan untuk perbicaraan rasmi dalam tempoh tujuh hari selepas menerima pemberitahuan mengenai keputusan tersebut. Sekiranya permohonan berkenaan tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan, denda tersebut akan menjadi keputusan yang muktamad.

Minta Pengurus Ambilkan Ubat Tidur Secara Jarak Jauh, Psy Didenda 5 Juta Won

Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas muncul laporan yang mendakwa Psy mendapatkan preskripsi ubat secara jarak jauh dan meminta individu lain mengambil ubat berkenaan untuknya. Perkara itu kemudiannya membawa kepada siasatan pihak berkuasa sebelum kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Untuk rekod, Psy sememangnya antara penyanyi Korea Selatan yang mempunyai pengaruh besar di peringkat antarabangsa. Namanya melonjak ke seluruh dunia menerusi lagu popular ‘Gangnam Style’ dan sehingga kini beliau masih aktif dalam bidang muzik sebagai penyanyi serta penerbit, selain mengetuai agensi hiburan miliknya, P Nation.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Usia Baru Lima Tahun, Malaiqa An Noura Bawa Pulang Dua Emas Dari Korea -“Nak Menang Untuk Malaysia”

 Baru berusia lima tahun, gimnas cilik, Malaiqa An Noura mencuri perhatian apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam kategori Under 6 pada Shine Cup International Rhythmic Gymnastics Competition 2026 di Korea Selatan.

Lebih membanggakan, kejohanan tersebut merupakan pertandingan antarabangsa pertama yang disertai Malaiqa atau lebih mesra dipanggil Aiqa.

Walaupun berdepan rasa gementar kerana berada di negara asing buat pertama kali, Aiqa tetap berjaya memberikan persembahan terbaik sehingga mencatat skor peribadi tertinggi dalam kariernya.

Usia Baru Lima Tahun, Malaiqa An Noura Bawa Pulang Dua Emas Dari Korea -“Nak Menang Untuk Malaysia”

“Saya Nak Menang Pingat Emas Untuk Malaysia”

Menurut ibunya, Intan Liyana, satu perkara yang paling membuatkan mereka sekeluarga bangga bukan sekadar kejayaan Aiqa membawa pulang dua pingat emas.

Sebaliknya, semangat dan keyakinan yang ditunjukkan oleh anak kecil itu sepanjang menyertai pertandingan berkenaan menjadi sesuatu yang cukup bermakna buat mereka.

Usia Baru Lima Tahun, Malaiqa An Noura Bawa Pulang Dua Emas Dari Korea -“Nak Menang Untuk Malaysia”

Malah, sebelum berangkat meninggalkan Malaysia menuju ke Korea, Aiqa sudah menyatakan hasratnya untuk memenangi pingat emas bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk negara.

“Saya nak menang pingat emas untuk Malaysia, Mommy. Bukan untuk diri sendiri,” katanya kepada ibunya sebelum berangkat.

Impian kecil itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Aiqa berjaya membawa pulang dua pingat emas untuk Malaysia.

Usia Baru Lima Tahun, Malaiqa An Noura Bawa Pulang Dua Emas Dari Korea -“Nak Menang Untuk Malaysia”

Dari Gementar Hingga Lebih Berani

Menerusi perkongsian Intan Liyana di Instagram, dia turut menceritakan bagaimana perjalanan anaknya dalam dunia gimnastik sedikit demi sedikit memperlihatkan perubahan.

Katanya, meskipun Aiqa pada awalnya berasa gementar kerana perlu bertanding di negara lain, gimnas cilik itu berjaya mengatasi rasa takut tersebut dan tampil dengan lebih yakin ketika membuat persembahan.

“Walaupun gementar berada di negara lain buat pertama kali, entah bagaimana dia juga berjaya mengatasi rekod markah tertinggi peribadinya.

“Namun, markah bukanlah perkara yang membuatkan kami bangga. Sebaliknya, melihat semangatnya yang semakin berkembang, menyaksikan dia menjadi lebih berani, kuat dan yakin pada setiap pertandingan,” coretnya.

Usia Baru Lima Tahun, Malaiqa An Noura Bawa Pulang Dua Emas Dari Korea -“Nak Menang Untuk Malaysia”

Pernah Menangis, Kini Tersenyum Selepas Persembahan

Bagi Intan, perubahan yang dilalui Aiqa sepanjang menyertai pertandingan merupakan antara perkara paling bermakna untuk disaksikan sebagai seorang ibu.

Daripada seorang kanak-kanak kecil yang dahulunya mudah berasa gementar sehingga menangis ketika pertama kali menyertai pertandingan, kini Aiqa mampu menamatkan persembahannya dengan senyuman di wajah.

“Daripada seorang gadis kecil yang dahulunya gementar sehingga menangis ketika pertama kali menyertai pertandingan… kini terpancar senyuman di wajahnya selepas selesai membuat persembahan.

“Sungguh indah perjalanan ini! Banyak lagi yang bakal menanti, dan semoga lebih banyak pingat emas untuk Malaysia,” tulisnya lagi.

Kejayaan membawa pulang dua pingat emas dari Korea itu pastinya menjadi buah tangan cukup istimewa buat Aiqa, apatah lagi ia hadir daripada pertandingan antarabangsa pertamanya.

Usia Baru Lima Tahun, Malaiqa An Noura Bawa Pulang Dua Emas Dari Korea -“Nak Menang Untuk Malaysia”

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Najwa Latif Tersentuh Ramai ‘Back Up’ Dirinya, Akui Sudah Hadap Kebencian Sejak Usia 16 Tahun

0

Penyanyi, Najwa Latif akhirnya bersuara selepas namanya menjadi perhatian susulan isu buli siber yang tercetus menerusi sebuah hantaran di platform Threads baru-baru ini.

Isu berkenaan bermula apabila seorang individu bertindak membandingkan fizikal dan penampilan Najwa selepas bersalin dengan beberapa selebriti tempatan lain.

Bagaimanapun, hantaran tersebut mengundang kecaman warganet yang menyifatkan tindakan membandingkan penampilan seseorang wanita, lebih-lebih lagi selepas melalui proses kehamilan dan melahirkan anak, sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, pelantun lagu Carta Hati  itu mengakui sudah terbiasa berdepan dengan kata-kata negatif sejak berusia 16 tahun sehingga tidak pernah mengharapkan orang lain untuk tampil mempertahankan dirinya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by OfficialNajwaLatif (@njwalatif)

 “Sebagai seseorang yang sudah berdepan dengan kebencian sejak berusia 16 tahun, saya tidak pernah mengharapkan sesiapa untuk mempertahankan saya.

“Saya sentiasa percaya bahawa setiap orang berhak mempunyai pendapat masing-masing. Saya mungkin tidak menerimanya, tetapi saya tetap menghormatinya walaupun saya tidak menerima penghormatan yang sama,” tulisnya.

Luahan tersebut memperlihatkan bagaimana penyanyi berkenaan sudah berdepan dengan pandangan serta kata-kata negatif daripada orang ramai sejak usia remaja. Walaupun sudah lama melalui situasi sedemikian, sokongan yang diterimanya kali ini nyata memberi makna tersendiri buat dirinya.

Anak Bukan Beban, Tetapi Anugerah

Dalam perkongsian sama, Najwa turut menegaskan bahawa anak perempuannya tidak pernah menjadi beban dalam kehidupannya, sebaliknya merupakan satu anugerah yang cukup indah.

“Saya membaca semuanya. Ketahuilah bahawa anak perempuan saya tidak pernah menjadi beban. Dia adalah satu anugerah yang indah.”

Kenyataan itu turut menjelaskan pendiriannya mengenai kehidupan selepas bergelar ibu. Kehadiran anak perempuannya bukan sesuatu yang dianggap membebankan, malah disifatkan sebagai anugerah indah dalam kehidupannya.

Tersentuh Dengan Sokongan Orang Ramai

Najwa Latif Tersentuh Ramai ‘Back Up’ Dirinya, Akui Sudah Hadap Kebencian Sejak Usia 16 Tahun

Najwa Latif yang jarang berkongsi mengenai perasaannya secara terbuka di media sosial turut mengakui tersentuh melihat sokongan dan kata-kata positif yang diterimanya daripada orang ramai.

“Saya jarang bercakap tentang apa yang saya rasa di media sosial, tetapi saya benar-benar tersentuh dengan kasih sayang dan kebaikan anda semua.

“Terima kasih kerana memahami, kerana mempertahankan saya walaupun ketika saya sendiri tidak melihatnya dan kerana memilih untuk berbuat baik kepada saya.

“Saya tidak tahu apa yang saya lakukan sehingga layak menerima semua ini, tetapi saya berharap segala kebaikan anda akan kembali kepada anda. Insya-Allah, amin.

“Terima kasih kerana membantu menyembuhkan sebahagian daripada diri saya yang berusia 16 tahun dahulu,” luahnya.

Kata-kata tersebut turut menunjukkan betapa sokongan yang diterimanya memberi kesan secara peribadi, khususnya apabila dikaitkan dengan pengalaman yang sudah dilaluinya sejak berusia 16 tahun.

Warganet Terus Beri Kata-Kata Semangat

Perkongsian tersebut sekali lagi mendapat perhatian warganet yang terus menitipkan kata-kata semangat buat Najwa, selain mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memberikan komen mengenai fizikal dan perubahan tubuh seseorang.

Najwa mendirikan rumah tangga dengan Akwa Arifin pada November 2022 dan pasangan berkenaan menyambut kelahiran cahaya mata perempuan pertama mereka pada Mei lalu.

Sejak mendirikan rumah tangga, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Cinta Muka Buku itu tidak terlalu kerap berkongsi mengenai kehidupan peribadinya. Justeru, luahan mengenai sokongan yang diterimanya kali ini menjadi antara perkongsian yang memperlihatkan perasaannya secara lebih terbuka kepada orang ramai.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.