
Baru berusia lima tahun, gimnas cilik, Malaiqa An Noura mencuri perhatian apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam kategori Under 6 pada Shine Cup International Rhythmic Gymnastics Competition 2026 di Korea Selatan.
Lebih membanggakan, kejohanan tersebut merupakan pertandingan antarabangsa pertama yang disertai Malaiqa atau lebih mesra dipanggil Aiqa.
Walaupun berdepan rasa gementar kerana berada di negara asing buat pertama kali, Aiqa tetap berjaya memberikan persembahan terbaik sehingga mencatat skor peribadi tertinggi dalam kariernya.

“Saya Nak Menang Pingat Emas Untuk Malaysia”
Menurut ibunya, Intan Liyana, satu perkara yang paling membuatkan mereka sekeluarga bangga bukan sekadar kejayaan Aiqa membawa pulang dua pingat emas.
Sebaliknya, semangat dan keyakinan yang ditunjukkan oleh anak kecil itu sepanjang menyertai pertandingan berkenaan menjadi sesuatu yang cukup bermakna buat mereka.

Malah, sebelum berangkat meninggalkan Malaysia menuju ke Korea, Aiqa sudah menyatakan hasratnya untuk memenangi pingat emas bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk negara.
“Saya nak menang pingat emas untuk Malaysia, Mommy. Bukan untuk diri sendiri,” katanya kepada ibunya sebelum berangkat.
Impian kecil itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Aiqa berjaya membawa pulang dua pingat emas untuk Malaysia.

Dari Gementar Hingga Lebih Berani
Menerusi perkongsian Intan Liyana di Instagram, dia turut menceritakan bagaimana perjalanan anaknya dalam dunia gimnastik sedikit demi sedikit memperlihatkan perubahan.
Katanya, meskipun Aiqa pada awalnya berasa gementar kerana perlu bertanding di negara lain, gimnas cilik itu berjaya mengatasi rasa takut tersebut dan tampil dengan lebih yakin ketika membuat persembahan.
“Walaupun gementar berada di negara lain buat pertama kali, entah bagaimana dia juga berjaya mengatasi rekod markah tertinggi peribadinya.
“Namun, markah bukanlah perkara yang membuatkan kami bangga. Sebaliknya, melihat semangatnya yang semakin berkembang, menyaksikan dia menjadi lebih berani, kuat dan yakin pada setiap pertandingan,” coretnya.

Pernah Menangis, Kini Tersenyum Selepas Persembahan
Bagi Intan, perubahan yang dilalui Aiqa sepanjang menyertai pertandingan merupakan antara perkara paling bermakna untuk disaksikan sebagai seorang ibu.
Daripada seorang kanak-kanak kecil yang dahulunya mudah berasa gementar sehingga menangis ketika pertama kali menyertai pertandingan, kini Aiqa mampu menamatkan persembahannya dengan senyuman di wajah.
“Daripada seorang gadis kecil yang dahulunya gementar sehingga menangis ketika pertama kali menyertai pertandingan… kini terpancar senyuman di wajahnya selepas selesai membuat persembahan.
“Sungguh indah perjalanan ini! Banyak lagi yang bakal menanti, dan semoga lebih banyak pingat emas untuk Malaysia,” tulisnya lagi.
Kejayaan membawa pulang dua pingat emas dari Korea itu pastinya menjadi buah tangan cukup istimewa buat Aiqa, apatah lagi ia hadir daripada pertandingan antarabangsa pertamanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










