Home Blog Page 11

“Aku Mohon Maaf, Jep” – Shuib Akhirnya Buka Mulut Isu Perselisihan Dengan Jep Sepahtu

0

Selepas hampir seminggu memilih untuk berdiam diri susulan kontroversi dengan Jep Sepahtu, pelawak dan usahawan, Shuib akhirnya tampil memberikan penjelasan secara terbuka berhubung isu yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Menerusi sebuah video, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, mengakui melalui tempoh yang cukup sukar selepas kenyataan Jep pada 8 Oktober lalu, sehingga dirinya bersama isteri, anak-anak, keluarga dan perniagaan turut menerima kecaman.

Menurut Shuib, dia memilih untuk membaca kenyataan yang disediakan bagi mengelakkan sebarang salah faham atau kata-kata yang mungkin disalah tafsir.

“Hampir seminggu saya mendiamkan diri tanpa memberikan apa-apa kenyataan tentang apa yang berlaku antara saya dan Jep Sepahtu.

“Dari hari pertama kenyataan Jep dikeluarkan iaitu pada 8 Oktober sampailah ke hari ini, saya kira saya lalui satu tempoh yang sangat sukar.

“Saya diperli, saya dimaki, saya dihina, dikecam dan ia bukan sahaja berlaku kepada saya, tapi melibatkan juga isteri saya Wati, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya,” katanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu)

Shuib Dakwa Sudah Memohon Maaf Kepada Jep Sepahtu

Dalam penjelasan sama, Shuib mendedahkan bahawa dia sudah menghubungi Jep menerusi WhatsApp kurang daripada 24 jam selepas kenyataan pelawak berkenaan dikeluarkan.

Menurutnya, mesej yang dihantar pada jam 1.51 pagi, 9 Oktober itu bertujuan memohon maaf atas tindakannya bersama Mamat yang didakwa menyindir Jep menerusi episod Dols Podcast bersama Azlee Senario.

“Saya telah pun WhatsApp Jep dengan penuh rendah diri, memohon maaf atas kekhilafan saya dan juga Mamat menyindir dia di Dols Podcast episod bersama Azlee Senario.

“Saya kira dia telah menerima WhatsApp tersebut dan mungkin telah membacanya. Wallahu a’lam.

“Saya penuh kesal dan memohon maaf kepada dia berulang kali. Saya anggap ini ujian untuk saya dan balasan atas kekhilafan saya dalam berkata-kata,” jelasnya.

Rayu Orang Ramai Berhenti Kecam Keluarga Dan Perniagaan

Dalam pada itu, Shuib merayu agar orang ramai menghentikan kecaman, andaian serta dakwaan tidak berasas terhadap dirinya, keluarga dan perniagaannya.

“Janganlah kerana marahkan saya, isteri, anak-anak dan keluarga saya terlibat. Mereka tidak bersalah, saya yang bersalah dalam perkara ini,” ujarnya.

Shuib menjelaskan bahawa perniagaannya termasuk Sepah Penyet, Bubble Bee, Nusara Foods dan Sambal Hitam merupakan sumber pendapatan utama keluarga, selain digunakan untuk melunaskan hutang syarikat Bubble Bee.

Mengenai isu caruman KWSP, Shuib memaklumkan bahawa Bubble Bee telah membuat bayaran secara ansuran sejak Januari 2026 dan dijangka meneruskan pembayaran bagi tempoh 14 bulan lagi.

“Aku Mohon Maaf, Jep” – Shuib Akhirnya Buka Mulut Isu Perselisihan Dengan Jep Sepahtu

“Kita Kenal Dekat 20 Tahun, Aku Takkan Boleh Menidakkan Kenangan Kita”

Bagaimanapun, bahagian paling menyentuh hati adalah apabila Shuib menyampaikan permohonan maaf secara khusus kepada Jep Sepahtu, yang pernah menjadi rakan seperjuangannya.

“Jep, kalau kau tengok video ni, aku mohon maaf. Aku mohon maaf.

“Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah pun kita bina selama ni.

“Segala susah senang yang kita pernah lalui, kejayaan yang pernah kita capai, dan ia akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku.

“Aku minta maaf atas kekhilafan aku dan juga keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya,” luahnya.

Shuib turut menitipkan doa buat Jep bersama isteri, Sarianti dan keluarga agar sentiasa dipermudahkan segala urusan serta mendapat rahmat Allah SWT.

Pada masa sama, dia memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya menerusi podcast berkenaan, selain memaklumkan bahawa dirinya telah memaafkan individu yang mengecam dan menghinanya.

Terdahulu, isu perselisihan Shuib dan Jep Sepahtu kembali menjadi perhatian selepas perkongsian Jep pada 8 Oktober lalu mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dokumentari Raih Skor 100 Peratus, Lisa BLACKPINK Bakal Lancar ‘Tarantino’

Baru-baru ini, bintang terkenal, Lisa BLACKPINK kembali mencuri perhatian apabila mengumumkan single terbarunya berjudul ‘Tarantino’ daripada EP solo, ‘Press Play’. Lagu tersebut dijangka mencetuskan keterujaan peminat yang tidak sabar menantikan kemunculan karya muzik terbarunya.

Difahamkan, ‘Tarantino’ akan dilancarkan pada 23 Oktober ini bersama keseluruhan EP berkenaan. Single itu menyusuli ‘SaWaDiKa’ yang dilancarkan pada September lalu dan berjaya menduduki tangga ke-69 carta Billboard Hot 100 serta tangga ke-23 Billboard Global 200.

Sebelum ini, Lisa atau pemilik nama penuh Lalisa Manobal (29) pernah berkongsi mengenai konsep EP tersebut ketika ditemu bual Jimmy Fallon menerusi rancangan ‘The Tonight Show’. Menurutnya, projek itu menggambarkan perjalanan dirinya serta mengetengahkan unsur budaya Thailand yang dekat dengan identiti beliau.

Dokumentari Raih Skor 100 Peratus, Lisa BLACKPINK Bakal Lancar ‘Tarantino’ Dokumentari Raih Skor 100 Peratus, Lisa BLACKPINK Bakal Lancar ‘Tarantino’

“Apabila semuanya digabungkan, hasilnya seperti sebuah filem. Jadi, anda hanya perlu tekan butang play,” jelasnya ketika menerangkan konsep di sebalik EP tersebut.

Menariknya, judul ‘Tarantino’ turut mencetuskan tanda tanya mengenai konsep sinematik yang dibawakan Lisa, apatah lagi lagu itu menampilkan lirik berunsur provokatif. Perkongsian sedutan lagu dan artwork terbaharu turut memberikan gambaran awal tentang imej berani yang ingin diketengahkan menerusi single berkenaan.

Dalam perkembangan lain, dokumentari ‘Always LALISA’ yang mengisahkan perjalanan Lisa sebagai artis solo turut mendapat perhatian. Filem itu mula ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 12 Oktober selepas membuat tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Toronto, selain mencatatkan skor penonton 100 peratus di Rotten Tomatoes.

Dokumentari Raih Skor 100 Peratus, Lisa BLACKPINK Bakal Lancar ‘Tarantino’ Dokumentari Raih Skor 100 Peratus, Lisa BLACKPINK Bakal Lancar ‘Tarantino’

Untuk rekod, Lisa melancarkan album solo sulungnya, ‘Alter Ego’, pada 2025 dan berjaya mencapai kedudukan ketujuh carta Billboard 200. Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi perjalanan karier solonya selepas mencipta nama bersama kumpulan BLACKPINK.

Pada masa sama, Lisa bakal memulakan siri residensinya di Las Vegas pada 12 November ini di The Colosseum, Caesars Palace. Jadual persembahan yang pada awalnya merangkumi empat malam itu turut ditambah dengan dua tarikh baharu susulan permintaan peminat yang tinggi, selain kerjasama global bersama jenama minuman heytea yang diinspirasikan daripada budaya Thailand.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Anak Pelakon, Zulkifli Ismail Raih Anugerah Kecemerlangan NUS! Dr Zulfati Izazi Komited Perjuangkan Bahasa Melayu Di Singapura

Anak sulung kepada pelakon veteran terkenal, Zulkifli Ismail iaitu Dr Zulfati Izazi Zulkifli (33) tampil membanggakan negara selepas mencipta kejayaan menerima Anugerah Kecemerlangan Pengajaran daripada National University of Singapore (NUS).

Pengiktirafan luar biasa itu menjadi satu pencapaian bermakna buat dirinya yang komited dalam bidang pendidikan, khususnya pengajaran bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Menerusi perkongsian di Instagram, khabar gembira itu dikongsikan sendiri oleh Dr Izazi yang menyifatkannya sebagai detik istimewa dalam perjalanan kerjayanya.

Lebih bermakna lagi, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan pertama yang diterimanya sepanjang bergelar pendidik, sekaligus menjadi pembakar semangat untuk terus memperkasa kaedah pengajaran yang lebih berkesan.

Berkongsi keterujaannya, Dr Izazi meluahkan rasa rasa syukur kerana dapat melakukan perkara yang diminatinya sambil memperoleh penghargaan daripada pihak universiti.

“This is my first ever teaching award! Tidak dinafikan perasaan yang sangat istimewa apabila menerima anugerah hanya kerana bercakap tentang perkara yang kita suka selama berjam-jam.”

Anak Pelakon, Zulkifli Ismail Raih Anugerah Kecemerlangan NUS! Dr Zulfati Izazi Komited Perjuangkan Bahasa Melayu Di Singapura Anak Pelakon, Zulkifli Ismail Raih Anugerah Kecemerlangan NUS! Dr Zulfati Izazi Komited Perjuangkan Bahasa Melayu Di Singapura

Pada masa yang sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut menghargai sokongan pelajar dan rakan sekerja yang banyak membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai pendidik di luar negara.

Tambah Dr Izazi, perjalanan tersebut adakalanya mencabar dan terasa sunyi. Namun kehadiran insan sekeliling menjadikan tempat kerjanya seperti rumah kedua.

Memetik perkongsian beliau bersama SinarPlus, Dr Izazi menjelaskan bahawa peluang mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa asing di Singapura merupakan satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.

Beliau juga berasa bangga apabila usaha serta inovasi yang diketengahkan dalam pengajaran bahasa kebangsaan itu mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada pihak universiti.

Difahamkan, sebelum menyertai NUS, Dr Izazi terlebih dahulu membina pengalaman akademiknya sebagai pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum meneruskan kerjaya di Hankuk University, Korea Selatan.

BACA: Zulkifli Ismail Kembali Ke Kampus, Sambung Master Di UPSI Pada Usia 62 Tahun

Anak Pelakon, Zulkifli Ismail Raih Anugerah Kecemerlangan NUS! Dr Zulfati Izazi Komited Perjuangkan Bahasa Melayu Di Singapura Anak Pelakon, Zulkifli Ismail Raih Anugerah Kecemerlangan NUS! Dr Zulfati Izazi Komited Perjuangkan Bahasa Melayu Di Singapura

Pengalaman merentas institusi pendidikan dan negara berbeza telah memberinya peluang untuk mempelajari pendekatan baharu, memperluas jaringan profesional serta memahami keperluan pelajar daripada latar belakang yang pelbagai.

“Bagi saya, selagi ada peluang untuk belajar benda baru, tak rugi kalau kita mencuba.”

Beliau turut menggalakkan wanita muda supaya tidak meragui kebolehan sendiri, sebaliknya terus mengejar minat dengan bersungguh-sungguh dan konsisten.

Kejayaan Dr Izazi bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga bahkan membuktikan bahawa anak Malaysia mampu membawa bahasa Melayu ke pentas pendidikan antarabangsa melalui usaha dan dedikasi.

Pencapaiannya sewajarnya menjadi inspirasi kepada generasi muda agar berani keluar daripada zon selesa, terus menimba ilmu dan tidak berhenti mengembangkan potensi diri. Semoga kejayaan ini membuka lebih banyak ruang untuk bahasa Melayu terus dikenali serta dihargai dalam kalangan masyarakat dunia.

Sumber: Instagram Dr Izazi & SinarPlus 

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Usia Baru 21 Tahun, Nur Fathiah Raih Anugerah Rektor Meski Galas Tanggungjawab Terhadap Ibu

0

Kasih dan tanggungjawab terhadap ibu tercinta yang menjalani rawatan dialisis tidak pernah menjadi penghalang buat Nur Fathiah Suhaibi, 21, untuk melakar kejayaan cemerlang dalam bidang akademik.

Sebaliknya, pengorbanan wanita yang membesarkannya sejak kecil itu menjadi pembakar semangat buat anak kelahiran Kuala Terengganu ini untuk membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap keluarga dan kejayaan dalam pelajaran mampu berjalan seiring.

Berkat kesungguhan serta usaha tanpa mengenal penat lelah, Nur Fathiah berjaya menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di University College TATI (UC TATI) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96, sekali gus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Rektor sempena Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26, baru-baru ini.

Dibesarkan Ibu Tunggal Sejak Usia Dua Tahun

Di sebalik kejayaan membanggakan itu, tersimpan kisah kehidupan Nur Fathiah yang penuh dengan pengorbanan seorang ibu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu dibesarkan sepenuhnya oleh ibunya selepas kedua-dua orang tuanya berpisah ketika dia baru berusia dua tahun.

Membesar dengan menyaksikan sendiri ketabahan ibunya mengharungi pelbagai cabaran kehidupan membuatkan Nur Fathiah sentiasa meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam setiap keputusan yang diambil.

Usia Baru 21 Tahun, Nur Fathiah Raih Anugerah Rektor Meski Galas Tanggungjawab Terhadap Ibu

Malah, ketika berpeluang menyambung pengajian di tempat lain, dia memilih untuk kekal di Kuala Terengganu agar dapat berada dekat dengan ibunya yang memerlukan perhatian dan menjalani rawatan dialisis.

“Jujur berkata, saya tidak pernah impikan untuk menerima Anugerah Rektor ini, apatah lagi saya hanya pelajar diploma dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Apa yang saya fikirkan hanyalah untuk menamatkan pengajian sepenuhnya demi masa depan saya.

“Pernah terfikir untuk menyambung pengajian di tempat lain, namun kerana kasih kepada ibu, saya memilih UC TATI supaya dapat berada dekat dengannya,” katanya.

Nur Fathiah Suhaibi Bukan Sekadar Cemerlang Dalam Akademik

Menariknya, kecemerlangan Nur Fathiah bukan hanya terbatas dalam dewan kuliah.

Sepanjang tempoh pengajian, dia turut aktif menyertai pelbagai program dan aktiviti anjuran kolej, selain melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Kuala Terengganu.

Penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan kemasyarakatan itu menjadi antara nilai tambah yang melayakkannya menerima pengiktirafan berprestij berkenaan.

Lebih membanggakan, kejayaan meraih PNGK 3.96 bukanlah noktah kepada perjalanan akademiknya.

Nur Fathiah kini meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang yang sama di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Terengganu.

Keputusan itu sekali lagi dibuat dengan mengambil kira keinginannya untuk terus memberikan perhatian kepada ibu tercinta.

Usia Baru 21 Tahun, Nur Fathiah Raih Anugerah Rektor Meski Galas Tanggungjawab Terhadap Ibu

“Kini saya telah menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang yang sama dan masih berpeluang untuk memberikan perhatian kepada ibu saya,” ujarnya.

Anugerah Rektor UC TATI Pengiktirafan Kejayaan Nur Fathiah Suhaibi

Pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 yang berlangsung Sabtu lalu, Nur Fathiah menerima Anugerah Rektor yang disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Dato’ Ir. Kamaluddin Abd Rashid, bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.

Kejayaan yang diraih pada usia 21 tahun itu membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap keluarga bukanlah penghalang untuk seseorang mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Di sebalik pencapaian akademik yang membanggakan, kisah Nur Fathiah Suhaibi turut memperlihatkan betapa kasih sayang terhadap ibu mampu menjadi sumber kekuatan untuk terus berusaha mencapai cita-cita.

Dengan meneruskan pengajian dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, dia kini melangkah ke fasa baharu kehidupan sambil mengekalkan keutamaan untuk berada dekat dengan ibu yang selama ini menjadi pendorong utama kejayaannya.

Sumber : Kosmo

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Evertts Gomes Kesal Peminat Obses ‘Kenenkan’ Karakter Lelaki Dalam Kudrat 1968, Ini Komen Mierul Aiman

Penangan drama bersiri hit, Kudrat 1968 yang kini memasuki episod keempat tayangannya di Astro bukan sekadar mencipta fenomena dari aspek tontonan tetapi juga menghadirkan obsesi para peminat yang seakan berfantasi mengenai karakter-karakter yang ditampilkan dalam drama tersebut.

Kudrat 1968 yang berkisar mengenai era persekolahan zaman lampau iaitu pada tahun 1968 dibintangi oleh pelakon-pelakon muda tanah air termasuklah Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Evertts Gomes, Dai Fuad, Chech Harith dan Akmal Asyraf.

Biarpun hanya menayangkan empat episod sebelum kesudahannya dipaparkan di layar perak tidak lama lagi, namun jalan cerita yang padat dan menarik membuatkan penonton tertunggu-tunggu pada setiap minggu bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan mereka.

Kudrat 1968 Cetus Pelbagai Teori Dalam Kalangan Peminat

Seperti mana fenomena yang pernah tercetus oleh beberapa drama hit tempatan sebelum ini, Kudrat 1968 juga tidak terkecuali daripada menjadi tumpuan wargamaya yang ‘terlalu’ meminati karakter yang ditonjolkan sehingga menimbulkan pelbagai teori.

Antaranya termasuklah sebilangan kecil peminat yang berfantasi mengenai keakraban antara karakter Kuda lakonan Mierul Aiman dan Ghafar lakonan Evertts Gomes.

Menerusi satu sesi live, Evertts, 28 tampil menjelaskan kekesalannya terhadap peminat yang seakan ingin menormalisasikan hubungan sejenis di alam persekolahan hanya disebabkan persahabatan antara dua karakter lelaki dalam babak drama berkenaan.

Ini Pandangan Mierul Aiman Terhadap Kenyataan Evertts Gomes

Ketika ditemui di acara ramah mesra bersama peminat yang dianjurkan oleh jenama tempatan Dr. Cardin, Mierul Aiman menyatakan pandangannya terhadap tindakan Evertts yang lantang bersuara mengenai isu berkenaan.

Evertts Gomes Kesal Peminat Obses 'Kenenkan' Karakter Lelaki Dalam Kudrat 1968, Ini Komen Mierul Aiman
Pelakon Kudrat 1968, Mierul Aiman.

“Saya menghormatilah pandangan Evertts itu dan saya menghormati juga pihak penonton yang enjoy… yang berseronok dalam mengeluarkan minat mereka dari segi kandungan, hantaran dan apa sahaja yang mereka tulis di media sosial mengenai Kudrat 1968. Saya juga menghormati bahagian itu.

“Saya nampak perkara-perkara ini adalah salah satu bahagian yang baik untuk memasarkan naskah ini.”

“Saya percaya tindakan (peminat) masih dalam keadaan terkawal kerana produksi masih aktif memantau apa sahaja hantaran ataupun kandungan yang mereka keluarkan.”

“Setakat ini, kita enjoy kesemua teori yang lalu di ‘FYP’ atau Threads. Saya seronok kerana semua pemasaran ini masih dalam skala yang positif. Tidak lari banyak,” ujarnya.

Mierul Aiman Enggan Campur Sisi Peribadi Evertts Gomes

Beralih kepada personaliti Evertts yang dilihat lantang bersuara di media sosial pula, Mierul memilih untuk tidak terlalu masuk campur dan mengajak orang ramai untuk menghormati pandangan rakan lakonannya itu.

“Saya menghormatinya. Itu sisi dia, peribadinya. Dan itu sedikit sebanyak menyentuh pemikirannya dan saya hormati apa yang dia angkat dan lontarkan. Dan saya juga menghormati bahagian peminat yang berusaha untuk involve dalam proses Kudrat 1968 ini,” kata juara pencarian Hero Remaja 2021.

Evertts Gomes Kesal Peminat Obses 'Kenenkan' Karakter Lelaki Dalam Kudrat 1968, Ini Komen Mierul Aiman

Kongsi Mierul lagi, sebagai salah seorang pelakon Kudrat 1968, misinya adalah untuk memastikan naskah ini sampai ke jiwa penonton dan berjaya menghiburkan mereka.

Teori Peminat Mengenai Karakter Ghafar Terus Jadi Perhatian

Memasuki episod keempat Kudrat 1968 yang akan ditayangkan Jumaat ini, semakin banyak teori yang diperkatakan oleh peminat khususnya di platform Threads dan TikTok.

Bagi korang yang tertanya-tanya mengenai keperibadian ‘pendiam’ karakter Ghafar dalam drama ini, jom lihat kompilasi teori peminat di bawah.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Remaja, MY (@majalahremaja)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Wajah G-Dragon Hiasi Ruang Iklan Di China, Sekatan ‘Hallyu Ban’ Kembali Jadi Sorotan

0

Baru-baru ini, penyanyi rap terkenal, G-Dragon kembali menjadi perhatian apabila wajahnya menghiasi papan iklan gergasi dan ratusan rangkaian restoran jenama terkenal, McDonald’s di seluruh China menerusi kempen kolaborasi terbaru.

Kemunculan bintang BIGBANG itu turut mencetuskan perbincangan memandangkan penglibatan selebriti Korea Selatan dalam kempen ‘Hallyu ban’ berskala besar di negara berkenaan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Difahamkan, menerusi beberapa perkongsian gambar yang tular di media sosial, imej G-Dragon dilihat menghiasi papan iklan digital di Beijing serta dekorasi sebuah restoran McDonald’s di kawasan seni 798. Kempen tersebut turut diperluaskan ke bandar utama lain termasuk Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen.

Wajah G-Dragon Hiasi Ruang Iklan Di China, Sekatan ‘Hallyu Ban’ Kembali Jadi Sorotan
G-Dragon berkolaborasi bersama jenama rangkaian makanan terkenal, McDonald’s.
Wajah G-Dragon Hiasi Ruang Iklan Di China, Sekatan ‘Hallyu Ban’ Kembali Jadi Sorotan
Wajah G-Dragon menghiasi ruangan iklan di China

Menurut seorang pegawai Kedutaan Korea Selatan di China, kempen pengiklanan yang menampilkan selebriti Korea Selatan pada skala nasional seperti ini merupakan sesuatu yang jarang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

“Setakat pengetahuan saya, ini merupakan kali pertama iklan yang menampilkan selebriti Korea Selatan dilaksanakan pada skala seluruh negara seperti ini sejak iklan luar yang menampilkan pelakon Jun Ji Hyun,” katanya.

Untuk rekod, McDonald’s China melancarkan lapan produk baru hasil kolaborasi bersama G-Dragon pada 8 Oktober lalu, melibatkan kira-kira 8,000 cawangan di tanah besar China. Antara menu yang diperkenalkan ialah burger ayam dengan sos mentega gochujang yang dibangunkan di Korea Selatan.

Wajah G-Dragon Hiasi Ruang Iklan Di China, Sekatan ‘Hallyu Ban’ Kembali Jadi Sorotan Wajah G-Dragon Hiasi Ruang Iklan Di China, Sekatan ‘Hallyu Ban’ Kembali Jadi Sorotan

Menariknya, lebih 700 cawangan McDonald’s turut dihiasi dengan tema G-Dragon, manakala 16 cawangan terpilih diubah menjadi cawangan utama dengan ruang pengalaman khas. Malah, beberapa restoran menyediakan pondok telefon yang membolehkan peminat mencuba pengalaman panggilan maya bersama penyanyi itu.

Perkembangan ini turut mencuri perhatian kerana industri hiburan Korea Selatan berdepan cabaran untuk menembusi pasaran China sejak pertikaian berhubung penempatan sistem pertahanan peluru berpandu THAAD pada 2016. Walaupun sekatan terhadap kandungan Hallyu, atau gelombang budaya Korea, sering diperkatakan, kerajaan China tidak pernah mengesahkan secara rasmi kewujudan larangan tersebut.

Selain G-Dragon, beberapa selebriti Korea Selatan turut terlibat dalam kempen pemasaran di China, termasuk Jang Wonyoung daripada IVE, Jin BTS dan pelakon Lee Min Ho. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada perkembangan ini menandakan kelonggaran sekatan Hallyu secara menyeluruh, khususnya bagi industri drama, konsert dan hiburan Korea Selatan yang lain.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Jual Tiket Pada Harga Melampau, KPDN Jangka Muktamadkan Undang-Undang Baharu Tangani ‘Ulat Tiket’ Tahun Hadapan

0

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti cadangan penggubalan undang-undang khusus bagi membendung kegiatan ‘ulat tiket’ yang menjual tiket acara pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, kajian berkenaan dijangka dimuktamadkan sebelum cadangan pelaksanaannya dibawa ke peringkat seterusnya pada tahun hadapan.

Difahamkan, usaha ini dilihat sebagai langkah penting untuk melindungi pengguna daripada amalan penjualan tiket pada harga tidak munasabah, selain mengurangkan risiko penipuan. Ini memandangkan Malaysia masih belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus yang dapat menangani kegiatan tersebut secara menyeluruh.

Jual Tiket Pada Harga Melampau, KPDN Jangka Muktamadkan Undang-Undang Baharu Tangani ‘Ulat Tiket’ Tahun Hadapan

Jual Tiket Pada Harga Melampau, KPDN Jangka Muktamadkan Undang-Undang Baharu Tangani ‘Ulat Tiket’ Tahun Hadapan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Dewan Rakyat berhubung usaha kerajaan merangka peraturan bagi mengawal aktiviti penjualan semula tiket secara tidak terkawal.

Menurut Datuk Dr Fuziah, kajian itu turut merangkumi penelitian terhadap Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengenal pasti kesesuaian peruntukan sedia ada dalam membentuk kerangka kawal selia yang lebih berkesan.

Pada masa yang sama, KPDN turut meneliti pendekatan yang digunakan di Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan dan Singapura sebagai rujukan untuk membangunkan mekanisme yang bersesuaian dengan keadaan pasaran tempatan.

Jual Tiket Pada Harga Melampau, KPDN Jangka Muktamadkan Undang-Undang Baharu Tangani ‘Ulat Tiket’ Tahun Hadapan

Selain itu, antara perkara yang dikaji termasuk penggunaan bot untuk membeli tiket secara pukal, pengesahan identiti pembeli serta pemegang tiket, dan kemungkinan pelaksanaan kawalan harga.

Aspek penguatkuasaan juga menjadi perhatian bagi memastikan peraturan yang bakal diperkenalkan dapat dilaksanakan secara praktikal, khususnya bagi transaksi tiket acara yang berlangsung sekali sahaja. Dalam pada itu, KPDN akan mempergiat usaha advokasi pengguna dan mengadakan perbincangan bersama penganjur acara bagi menggalakkan penjualan tiket yang lebih telus, termasuk penyediaan terma dan syarat pembelian yang jelas.

Datuk Dr Fuziah berharap usaha tersebut dapat menghasilkan mekanisme kawal selia yang lebih berkesan untuk mengekang kegiatan ‘ulat tiket’ serta memperkukuh perlindungan hak pengguna. Jika berjaya dilaksanakan, langkah ini berpotensi membantu mewujudkan ekosistem penjualan tiket yang lebih adil dan selamat kepada orang ramai.

Sumber: Berita Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Hadiah Kahwin Penuh Makna! Peminat Syed Saddiq & Bella Astillah Wakaf Telaga Air Buat Penduduk Guinea

0

Bukan sekadar hadiah berupa barangan mewah, penyatuan pasangan popular Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah turut diraikan dengan satu pemberian cukup bermakna apabila sebuah telaga air diwakafkan untuk kegunaan penduduk kampung di Guinea, Afrika Barat.

Menariknya, inisiatif murni itu diusahakan oleh kelab peminat pasangan berkenaan, Team BASS Official (TBO), sebagai hadiah istimewa sempena perkahwinan dua figura popular tersebut.

Menerusi perkongsian di Threads, TBO memaklumkan bahawa pihaknya mendapatkan bantuan pempengaruh media sosial, Filla Amir bersama suaminya, Adama, bagi menguruskan pembinaan telaga air berkenaan di Guinea.

Usaha peminat Syed Saddiq dan Bella Astillah ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap pasangan tersebut, malah turut membawa manfaat kepada penduduk yang memerlukan kemudahan sumber air untuk kehidupan seharian.

Reaksi Wanita Warga Emas Curi Perhatian

Hadiah Kahwin Penuh Makna! Peminat Syed Saddiq & Bella Astillah Wakaf Telaga Air Buat Penduduk Guinea

Bagaimanapun, apa yang lebih mencuit hati adalah apabila pihak TBO berkongsi rakaman video memperlihatkan seorang wanita warga emas di kampung berkenaan yang kelihatan begitu bersemangat ketika menyampaikan ucapan di hadapan kamera.

Pada mulanya, mereka menyangka wanita tersebut sedang memarahi seseorang kerana nada suaranya yang kedengaran lantang.

Namun, sangkaan itu ternyata meleset selepas Filla menjelaskan bahawa wanita berkenaan sebenarnya sedang meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan wakaf telaga air tersebut.

“Dak aih dia tak marah, dia bagi ucapan kesyukuran dekat semua yang wakaf, dia sangat berterima kasih sebab bagi telaga air ni,” kongsi TBO mengenai penjelasan Filla.

Malah, pihak TBO sendiri tidak dapat menahan rasa terhibur apabila menyedari mereka tersalah tafsir reaksi wanita tersebut.

Dalam perkongsian sama, TBO turut memaklumkan bahawa rakaman penuh akan dimuat naik tidak lama lagi.

Walaupun pada awalnya mencetuskan salah faham, reaksi spontan wanita warga emas itu akhirnya menjadi antara detik paling menyentuh hati dalam perkongsian berkenaan.

Ucapan yang disampaikan dengan penuh semangat itu jelas menggambarkan rasa penghargaan terhadap sumbangan yang diterima oleh penduduk kampung tersebut.

Hadiah Daripada Peminat Syed Saddiq dan Bella Astillah Yang Membawa Manfaat

Hadiah Kahwin Penuh Makna! Peminat Syed Saddiq & Bella Astillah Wakaf Telaga Air Buat Penduduk Guinea

Apa yang menjadikan pemberian ini lebih istimewa adalah apabila peminat memilih untuk meraikan hari bahagia pasangan kesayangan mereka dengan melakukan amal kebajikan yang turut memberi manfaat kepada masyarakat di luar negara.

Menerusi pembinaan telaga air tersebut, penduduk kampung berkenaan berpeluang menikmati kemudahan sumber air yang penting untuk kegunaan harian.

Pada masa sama, inisiatif itu turut memperlihatkan bagaimana sokongan peminat terhadap selebriti kesayangan mereka boleh diterjemahkan melalui usaha kebajikan yang memberi impak positif kepada kehidupan orang lain.

Lebih menyentuh hati, ucapan penuh kesyukuran daripada wanita warga emas berkenaan menjadi gambaran betapa besarnya erti sumbangan tersebut kepada komuniti setempat.

Wakaf Telaga Air Jadi Kenangan Bermakna

Inisiatif wakaf telaga air yang diusahakan oleh Team BASS Official ini turut menunjukkan bahawa hadiah perkahwinan boleh diraikan dengan cara yang lebih bermakna, khususnya apabila ia melibatkan usaha membantu golongan yang memerlukan.

Lebih menarik, penglibatan Filla Amir dan suaminya, Adama, dalam menguruskan pembinaan telaga tersebut turut menjadi sebahagian daripada usaha merealisasikan hasrat murni kelab peminat berkenaan.

Bagi peminat Syed Saddiq dan Bella Astillah, usaha ini pastinya menjadi satu cara istimewa untuk meraikan pasangan kesayangan mereka sambil berkongsi kegembiraan dengan masyarakat yang memerlukan.

Sumber :Threads teambassofficial

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Dua Pelajar USIM Harumkan Nama Malaysia Menerusi Penyelidikan Herba & Sabun, Raih Anugerah Cemerlang Di Moscow

Terbaru, dua penyelidik muda daripada Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih perhatian apabila berjaya mengharumkan nama negara menerusi pencapaian membanggakan dalam pertandingan penyelidikan sains antarabangsa yang berlangsung di Moscow, Rusia.

Menerusi sebuah perkongsian di Facebook Kolej PERMATA Insan, USIM, kedua-dua pelajar itu berjaya membawa pulang Anugerah Gangsa (Bronze Award) dalam pertandingan XVI International Fair of Scientific and Technical Works of High School Students “Scientists of the Future” yang berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober 2026.

Difahamkan, Syafiq Danial Syazwan Hazimin menerima anugerah menerusi kajian pembangunan lozeng herba daripada ekstrak pucuk mata itik bagi melegakan batuk. Sementara itu, Putri Nur Hidayah Norsazzally turut meraih anugerah gangsa menerusi penyelidikan sebatian aktif dan ciri antimikrob beberapa bahan semula jadi untuk penghasilan sabun, selain menerima Special Award from Jury (2nd Degree Award).

Dua Pelajar USIM Harumkan Nama Malaysia Menerusi Penyelidikan Herba & Sabun, Raih Anugerah Cemerlang Di Moscow Dua Pelajar USIM Harumkan Nama Malaysia Menerusi Penyelidikan Herba & Sabun, Raih Anugerah Cemerlang Di Moscow

“Setinggi-tinggi tahniah kepada semua murid atas pencapaian cemerlang ini! Semoga kejayaan di pentas antarabangsa ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan dalam bidang penyelidikan dan inovasi, sekaligus melahirkan generasi pelajar pintar dan berbakat Muslim yang menyumbang kepada kesejahteraan ummah,” menurut perkongsian tersebut.

Lebih membanggakan, pertandingan berkenaan menerima kira-kira 4,000 permohonan, namun hanya sekitar 400 peserta terpilih untuk bertanding. Kejayaan kedua-dua pelajar itu membuktikan kemampuan anak muda Malaysia untuk bersaing dalam bidang penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Kedua-dua penyelidikan tersebut turut mengetengahkan potensi bahan semula jadi sebagai sumber inovasi yang boleh diteroka untuk kegunaan harian. Usaha ini memperlihatkan kreativiti pelajar dalam mengaplikasikan ilmu sains bagi menghasilkan idea yang mempunyai nilai praktikal.

Dua Pelajar USIM Harumkan Nama Malaysia Menerusi Penyelidikan Herba & Sabun, Raih Anugerah Cemerlang Di Moscow

Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan USIM, malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus meneroka ilmu, berani mencuba dan menghasilkan penyelidikan yang berkualiti. Ia juga membuktikan bahawa golongan muda mampu menyumbang kepada perkembangan sains dan inovasi sejak di bangku persekolahan.

Dalam pada itu, semoga kejayaan Syafiq Danial dan Putri Nur Hidayah menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Sumber: Facebook Kolej PERMATA Insan, USIM

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Guru Wanita Mengaku Tidak Bersalah, Didakwa Cuai Hingga Pelajar Tingkatan Satu Maut Di SMK Tanjong Mas

Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Selasa atas dua pertuduhan berkaitan insiden melibatkan dua pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada April lalu.

Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah. Dia memilih untuk dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Guru Wanita Mengaku Tidak Bersalah, Didakwa Cuai Hingga Pelajar Tingkatan Satu Maut Di SMK Tanjong Mas

Berdepan Pertuduhan Berkaitan Kematian Pelajar

Mengikut pertuduhan pertama, Sakinah didakwa melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di kawasan surau sekolah berkenaan pada jam 1.40 tengah hari, 12 April lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Satu Lagi Pertuduhan Melibatkan Pelajar Berbeza

Selain itu, Sakinah turut berdepan pertuduhan kedua atas dakwaan cuai ketika memandu sebuah kereta jenis Honda HR-V sehingga melanggar seorang lagi pelajar perempuan Tingkatan Satu di lokasi dan pada waktu yang sama.

Perbuatan tersebut didakwa membahayakan nyawa mangsa, sekali gus menyebabkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala Sakinah diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi.

Guru Wanita Mengaku Tidak Bersalah, Didakwa Cuai Hingga Pelajar Tingkatan Satu Maut Di SMK Tanjong Mas

Pelajar Maut Di Lokasi Kejadian

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau sebuah sekolah.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Guru Wanita Mengaku Tidak Bersalah, Didakwa Cuai Hingga Pelajar Tingkatan Satu Maut Di SMK Tanjong Mas

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Sinar Harian