Berita

Peguam Berjaya Raih PhD Pada Usia 86 Tahun, Bukti Semangat Belajar Tak Pernah Pudar

Share

Di usia ketika ramai memilih untuk berehat, Datuk Dr G. Rethinasamy, 86, tampil membuktikan bahawa keinginan menimba ilmu tidak pernah mengenal garis masa.

Beliau baru sahaja menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) pada Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM), sekali gus menjadi inspirasi bahawa semangat menuntut ilmu boleh kekal membara walau di usia emas.

Masih mengendalikan firma guamannya di Butterworth, Rethinasamy terus aktif menerima pelanggan, khususnya golongan berpendapatan rendah yang memerlukan khidmat guaman asas. Lebih istimewa, prinsip kerja yang dipegang sejak puluhan tahun tetap utuh: beliau menerima semua pelanggan tanpa janji temu dan tidak mengenakan bayaran untuk sesi konsultasi awal.

Jika saya yakin boleh membantu menyelesaikan masalah mereka, barulah saya buka fail. Ramai antara mereka orang susah, jadi saya selesaikan kerja dahulu sebelum mengambil sedikit bayaran,” katanya kepada pemberita.

Namun perjalanan hidupnya jauh daripada mudah. Rethinasamy pernah terpaksa menamatkan persekolahan tingkatan enam lebih awal selepas tujuh bulan apabila ayahnya kehilangan pekerjaan, memaksanya memikul tanggungjawab menyara keluarga di usia sangat muda.

Situasi itulah yang membawa beliau ke bidang kejururawatan pada tahun 1959. Selepas berkhidmat di beberapa hospital, minat mendalam terhadap undang-undang mendorongnya menyambung pengajian di Lincoln’s Inn, United Kingdom.

Kembalinya beliau ke Malaysia menyaksikan penubuhan firma guamannya sendiri pada tahun 1975, dan hampir lima dekad sejak itu, beliau terus berkhidmat kepada masyarakat dengan integriti.

Selain dunia guaman, ayah kepada empat cahaya mata ini juga pernah menjadi antara pemaju terawal yang membangunkan projek perumahan kos rendah di Pulau Pinang, termasuk 265 unit pangsapuri kos rendah di Tasek Gelugor yang dijual kurang RM50,000 pada tahun 1989 hingga 1990.

Rahsia beliau kekal aktif pada usia 86 tahun? Rethinasamy memilih gaya hidup sihat dengan melakukan senaman harian, selain meluangkan masa menjaga kucing jalanan di kawasan rumahnya setiap hari. Sederhana, tetapi penuh makna.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Bernama

Published by
Fath