
Penyanyi rap terkenal Offset atau nama sebenarnya Kiari Kendrell Cephus (35) baru-baru ini dilaporkan cedera selepas ditembak dalam satu kejadian di Florida, Amerika Syarikat. Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat serta industri hiburan antarabangsa.
Memetik laporan BBC, Offset kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital. Jurucakapnya memaklumkan bahawa beliau sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan selepas mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Menurut pihak polis, kejadian berlaku pada petang Isnin di luar sebuah hotel dan kasino terkenal di Florida. Insiden tersebut dilaporkan berlaku di kawasan valet selepas waktu petang, sebelum keadaan menjadi tegang dan mencetuskan tembakan.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa mengesahkan dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan. Di samping itu, seorang rapper Amerika Syarikat, Lil TJay atau nama sebenarnya Tione Jayden Merritt, turut didakwa atas kesalahan gangguan awam.
Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kejadian tersebut. Polis juga tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung motif insiden berkenaan.
Offset sebelum ini dikenali sebagai anggota kumpulan hip-hop terkenal Migos bersama Quavo dan mendiang Takeoff. Kumpulan itu mencipta nama menerusi lagu popular berjudul ‘Versace’, ‘Bad and Boujee’ dan ‘MotorSport’.
Dalam kehidupan peribadi, Offset pernah berkahwin dengan penyanyi rap terkenal Cardi B pada tahun 2017 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata. Namun, pasangan itu dilaporkan berpisah dan memfailkan perceraian pada tahun 2024.
Sementara itu, insiden ini turut mengingatkan peminat terhadap tragedi yang menimpa mendiang Takeoff atau nama sebenar Kirsnick Khari Ball pada November 2022 apabila beliau ditembak mati pada usia 28 tahun di Houston, Texas. Kejadian tersebut sekali lagi menimbulkan perbincangan mengenai isu keselamatan dalam industri muzik hip-hop.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.