
Nama Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi menjadi bualan apabila Biduanita Negara itu mengejutkan ribuan peminat dengan satu pengumuman istimewa yang cukup bermakna dalam dunia seni tanah air.
Di hadapan lebih 65,000 penonton yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil, Siti mengumumkan bahawa Auddra Zulkifly, anak kepada penyampai radio popular Sharifah Shahira, kini secara rasmi bernaung di bawah pengurusannya menerusi SN Legacy (SNL).
Pengumuman tersebut dibuat secara spontan ketika konsert berlangsung, sejurus selepas gadis yang mesra disapa sebagai Oddah itu tampil memukau penonton dengan aksi lincah menari mengiringi persembahan lagu bertenaga,
Destinasi Cinta.Momen tersebut nyata mencuri perhatian, apatah lagi apabila Siti sendiri tampil menjelaskan simbolik kehadiran Oddah di atas pentas berprestij itu sebagai sebahagian daripada legasi seni yang ingin diteruskannya.
Sebelum ini, Oddah yang merupakan anak hasil perkahwinan Sharifah Shahirah bersama pelakon Ijoy Azhari sering mencuri perhatian di media sosial. Namanya semakin dikenali selepas kemunculannya di pentas program
Talk To My Manager, sekali gus memperlihatkan potensi besar yang dimilikinya dalam dunia hiburan.Selain kemunculan istimewa Oddah, konsert penuh gilang-gemilang itu turut diserikan dengan kehadiran barisan penyanyi jemputan hebat seperti Hafiz Suip, Noh Salleh serta penyanyi yang kian meningkat naik, Umairah.
Tidak ketinggalan, penyanyi bersuara serak basah dari seberang, Cakra Khan turut tampil memberikan persembahan yang cukup berbekas di hati para peminat.
Terdahulu, Siti Nurhaliza terus membuktikan status legenda apabila memukau penonton dengan lebih 30 buah lagu sepanjang hampir tiga jam menerusi Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Lebih daripada sekadar konsert, malam tersebut menjadi saksi bagaimana seorang legenda mula membuka ruang dan meneruskan legasi buat generasi baharu, ia adalah sebuah perjalanan seni yang tidak hanya meraikan kejayaan, tetapi juga harapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.