Gaya Hidup

#GirlPower: Nur Syafiqah Akhiri Penantian 20 Tahun, Rangkul Emas Pencak Silat Tunggal Puteri Di Sukan SEA 2025

Share

Jaguh silat negara, Nur Syafiqah Hamzah baru-baru ini mencipta detik bersejarah apabila berjaya meraih pingat emas sulung peribadinya di pentas Sukan SEA 2025 selepas menjuarai acara tunggal puteri, pada Ahad.

Difahamkan, kejayaan itu dilakar menerusi persembahan cemerlang pada perlawanan akhir yang berlangsung di Impact Arena, Muang Thong Thani, Bangkok selepas Syafiqah mengumpul 9.960 mata menewaskan pesilat Brunei, Nur Wasiqah Aziemah Rosihan yang meraih 9.920 mata.

Dalam pada itu, aksi kemas dan penuh disiplin dipamerkan atlet kelahiran Malaysia itu sejak awal persembahan, sekaligus meyakinkan barisan juri untuk menobatkannya sebagai juara dalam acara berprestij berkenaan.

“Sejujurnya, perasaan ini sangat istimewa sebab ini emas pertama saya di Sukan SEA. Saya memang sudah lama impikan detik ini, bila akhirnya jadi kenyataan, rasa sangat bersyukur dan terharu,” katanya.

“Tentang persembahan keseluruhan, saya berpuas hati. Saya berjaya kawal emosi, kekalkan fokus dan buat yang terbaik di gelanggang. Kemenangan ini bagi saya bukan penamat, tetapi satu langkah permulaan untuk cabaran yang lebih besar selepas ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pingat emas berkenaan bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi terbaik buat Syafiqah, malah ia juga turut menamatkan penantian panjang Malaysia dalam acara tunggal puteri di Sukan SEA.

Sekadar info, kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara itu adalah menerusi Suzy Sulaiman pada edisi Sukan SEA 2005 di Filipina, menjadikan kejayaan Syafiqah sebagai kebangkitan signifikan selepas hampir dua dekad.

Kemenangan itu sekaligus menyuntik semangat baru dan lebih baik kepada kontinjen pencak silat negara yang terus berusaha mengekalkan dominasi di pentas serantau serta membuktikan keupayaan atlet muda Malaysia bersaing di peringkat tertinggi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE