Berita

Norreen Iman Tak Ambil Hati Dikecam, Akui Konten Sendiri Undang Perhatian Netizen

Share

Pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman dilihat kekal tenang berdepan kecaman yang diterimanya di media sosial, khususnya selepas tampil dengan imej tidak bertudung sejak kebelakangan ini.

Bagi Norreen, setiap komen yang diterima adalah lumrah dunia digital, malah dia mengakui kandungan yang dikongsikan di media sosial turut membuka ruang kepada orang ramai untuk memberikan pelbagai pandangan terhadap dirinya.

Akui media sosial buka ruang untuk netizen beri pandangan

Menerusi satu perkongsian di Threads hari ini, Norreen berkata dia sentiasa mengikuti reaksi orang ramai dan menyedari pelbagai komen yang dilemparkan mengenai dirinya.

“Saya sudah melihat dan tahu apa yang orang sedang perkatakan tentang saya. Ada yang kelakar dan ada juga saya rasa agak keterlaluan tetapi tidak tersinggung.

“Sebab perjalanan saya dalam industri ini bermula melalui media sosial. Ada yang suka, ketawa, menyampah dan terdapat juga yang menganggap konten saya terlalu mengada-ngada.

“Saya faham, sebab saya sendiri siarkan konten yang membuka ruang untuk orang berkata-kata. Jadi, saya tidak terkilan apabila orang mengecam atau membuli kerana orang akan terus bercakap berdasarkan hal yang mereka lihat dan dengar,” katanya dalam Threads hari ini.

Pilih memaafkan selagi bukan fitnah

Dalam masa sama, pelakon itu menjelaskan dia tidak menyimpan rasa marah terhadap kecaman yang diterima, malah memilih untuk memaafkan selagi ia tidak melibatkan fitnah atau perkara yang boleh memudaratkannya.

“Selagi perkara itu bukan fitnah, saya maafkan sahaja kalian semua.

“Threads hanyalah satu lagi platform untuk orang bercakap, melepaskan kemarahan, menghabiskan masa, selain menjadi tempat untuk hiburan, mendapatkan maklumat dan ilmu. Jadi, bertenang sebab saya tidak marah.

“Kelakar juga tengok diri sendiri sampai menjadi ‘meme’ tetapi begitulah kehidupan. Kita semua sudah melalui pelbagai perkara dalam hidup, saya juga begitu,” katanya lagi.

Meskipun terus menjadi perhatian dan perbualan netizen, Norreen memilih untuk melihat setiap kritikan dengan hati yang terbuka serta menganggap ia sebagai sebahagian daripada asam garam kehidupan, lebih-lebih lagi sebagai figura yang membina kerjaya menerusi media sosial.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath